Kisah 3.5 (Cinta Pertama III)

Dalam dok beremail dengan awek tu, tup-tup ada satu hari tu kalau tak silap aku masa 1 April aku pun ada send satu email kat dia. Di dalam email tu aku tulis yang aku berminat nak jadikan dia sebagai couple aku. Asalnya tujuan aku masa tu saja-saja nak buat april fool. Tiada niat nak serius pun untuk bercouple. Maklumlah masa tu jiwa dah sebati dengan thrashmetal ni beb (konon-kononnya la). Mana layan awek-awek ni (uwek nak termuntah dengan kenyataan hipokrit diri sendiri). Lagipun aku tak berapa minat sangat nak couple masa ni (agak makin menyampah dengan ayat ni). Entah la..

Hendak dijadikan cerita, boleh pulak awek tu reply email aku dan dia bagitau yang dia sudi jadi awek aku. Aduhai macam mana ni?Adakah dia pun cuba mengApril fool kan aku jugak? Sudah jadi makin complicated pulak. Aku bermain-main ke atau dia yang sedang menyambung permainan aku? Atau bagaimana kalau dia serius? Apa harus aku buat? Memang tiada cara lain lagi, maka aku telah membalas email tersebut dan meminta untuk bertemu dengannya secepat mungkin.

Keesokkan harinya, aku cepat-cepat bergegas menuju ke arah Pusat Komputer setelah tamat kuliah semata-mata untuk membaca email. Untuk pengesahan adakah M telah membalas emailku? Kalau nak cari M di kolej pun aku tak tergamak nak buat macam tu, jadi biarlah email sahajalah yang menjadi penghubung kami. Setelah memeterai janji melalui email, aku menanti dengan penuh debaran dan hampir nak terkucil memandangkan bagi aku inilah first date. Puas ku perhatikan jam di tangan sebab aku memang pakai jam kat tangan dan bukannya di kaki. Masa masih ada lagi 20 minit. Sengaja aku datang awal sebab terlalu excited kot?

Dari kejauhan aku nampak M datang bersama kawannya. Memang aku yang menyuruh dia bawak kawan sebab aku tak suka sangat dating berduaan. Kononnya masa itu aku kan budak baik! Setelah bercakap sepatah dua, kami terus masuk ke dalam KFC. Selepas memesan makanan, kami bertiga menuju ke tempat duduk yang paling sesuai untuk berbicara dari hati ke hati.

“Betul ke awak nak bercouple dengan M ni? Tiba-tiba pulak persoalan itu keluar dari mulut kawan M dan bukan dari mulut dia sendiri.
“Iye betul saya serius. Mulanya saya ingat nak “april fool” ajer tapi alang-alang saya pun rasa macam dah suka kat dia, jadi tak salah kan?”
“Tapi awak kena ingat, M ni belum pernah bercinta pun sebelum ni. Jadi saya tak mahu awak main-mainkan dia ok?” Khutbah si tukang cakap itu lagi sambil tangannya semakin rancak menguliti ayam goreng KFC.
“Insya-Allah. Saya ikhlas dan akan cuba menjadi couple yang baik,” jawabku sambil memandang M yang masih belum bersuara dari tadi. Mahal sangat kot suaranya sampai terdiam ajer dari tadi?
“Oklah saya bagi peluang awak berdua pulak bercakap. Biar saya tunggu kat luar,” sambung jurucakap rasmi itu lagi. Eleh mentang ayam dah habis 2 ketul baru nak keluar, ejek aku dalam hatiku sendiri......

Setelah jurucakap rasmi itu keluar menunggu di luar, aku meneruskan perbualan dengan M. Tiada apa sangat yang hendak dibualkan kerana masing-masing masih kekok dengan suasana dan keadaan yang baru. Maklumlah baru sahaja membuat deklarasi pengisytiharan sebagai sepasang kekasih. Suasana yang ekok tidak berlarutan agak lama kerana sudah sampai masanya untuk kami menamatkan pertemuan itu.

Dah tak pasal-pasal aku mendapat seorang awek kerana kononnya bermula dengan gurauan April fool. Jadi aku pun layan la sebab sebenarnya hendak juga merasa ada awek. Bermula 1 April secara automatik pertama kalinya dalam sejarah hidup aku mendapat seorang awek yang sebenarnya dan bukannya lagi menjalinkan cinta di dalam diam atau sekadar sekadar syok sendiri sebagaimana sebelum ni. Kira ok la kan?

Cuma yang agak peliknya, walaupun kitaorang sedang couple tetapi aku jarang keluar date dengan M. Kalau keluar pun aku pasti akan suruh M bawak member. Tak pernah dating berdua-duan sahaja sebab aku takut nanti jadi bertigaan atau berempatan. Al-maklumlah masa tu aku masih suci lagi murni kononnya. Tapi cinta aku ni tetap berjalan dengan lancar walaupun kami jarang bertemu dan masing-masing sibuk dengan kuliah dan asignment. Walaupun aku selalunya buat-buat sibuk sahaja.

Bertambah pelik lagi ajaib dalam bercinta dengan M aku boleh pulak terminat dengan seorang awek di fakultiku yang akan aku ceritakan di dalam siri akan datang. Bercinta dengan M tetapi merindui orang lain? Apa ke gila aku ni? Kemuncak perhubungan kami apabila berlaku satu peristiwa. Aku dan M bergaduh hanya kerana berlaku satu kes. Kisahnya ada satu hari M mengajak aku dating dan pi jalan-jalan naik motor bukan dengan kaki.


Apalah nasib malang pulak motor aku tengah rosak masa tu. Jadi aku bagitau yang aku tak dapat pi sebab motor aku rosak. Dia cakap takpe, boleh bawak motor dia sambil aku boncengkan dia. Isyk ni yang hangin. Aku ni mana boleh naik motor dengan perempuan lain yang bukan muhrim sebab masa tu aku kan tengah suci lagi murni kononnya. Tengah alim-alim kucing la katakan. Member aku yang selalu naik motor dengan awek dia pun selamba aje aku selalu sound "HARAM". Jadi takkan la diri sendiri pulak nak buat benda macam tu kan? Tak senonoh tu cakap tak serupa bikin!

Maka terjadilah pergaduhan antara aku dan M dan isu itu mula berbangkit. M menuduh aku kolot. Isyk, geram punya pasal sampai sebulan aku tak contact dia (masa ni dia dah keluar kolej, rumah sewa dia ada telefon). Sedangkan aku ni pulak masih duduk kat kolej jadi nak menunggu giliran nak guna public phone pun aku dah fed-up, apa lagi nak call dia.

Jadi bila dah tak berjumpa dan tak berhubungan melalui telefon aku pun mengganggp segalanya sudah berakhir kot? Ataupun kira-kiranya aku biarkan dia merajuk sepuas-puas hatinya. Sikit punya bagus kan? Betapa terserlah tidak senonohnya perangai aku pada masa tu. Tapi tak adil untuk salahkan aku 100 peratus kan? Maklumlah dah la tak berapa ready sangat nak bercinta, lepas tu tak berapa suka pulak buat benda-benda yang tak berapa elok masa tengah couple. Hisyk budak baik ke aku ni?
Tanpa ada sebarang kata putus, aku telah menganggap cinta pertama aku itu telah tamat begitu sahaja. Tanpa sebarang ucapan selamat tinggal kerana keegoanku sendiri. Maka dengan itu, aku terus mengakhiri kisah cinta pertama yang terjadi tanpa dirancang dan di luar keinginan.

...Kisah selanjutnya akan datang...

Kisah 3.4 (Cinta Pertama II)


Diam tak diam sempat jugak la aku kerja kat kilang beehoon itu dalam masa lebih kurang 2 bulan. Cuma yang tak berapa best kalau kena shift malam. Alamak meremang bulu roma kalau nak balik sebab habis kerja pukul 12 malam. Tambah menyeramkan kena balik melalui jalan yang gelap dan di penuhi hutan pokok gelam. Ngeri jugak kadang-kadang sampai meremang bulu roma. Paling lawak sambil bawak motor kapcai aku akan membaca ayat Al-Quran dengan sekuat-kuat hati seorang diri di tengah malam-malam buta sewaktu melalui kawasan yang agak menegakkan bulu roma...

Hendak dijadikan cerita selepas sahaja abis cuti semester, aku pun menyambung kembali pengajianku di UPM juga dengan course rahsia. Selepas beberapa bulan aku masih lagi solo dan komited dengan study. Di dalam kisah cinta secara senyap aku dalam episod terdahulu iaitu tentang kisah aku yang dah terminat kat seorang junior tetapi tiada respon kerana aku sendiri yang tiada inisiatif dan keberanian untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

Jadi cinta yang tak kesampaian itu berakhir sehinggalah masuk bulan ke-4 aku study setelah aku mengetahui bahawa budak tersebut telah selamat menjadi awek salah seorang seniorku. Berakhirlah sudah kisah cinta syok sendiri dan aku still solo lagi. Masuk semester 2, hendak dijadikan cerita semasa tengah sibuk membeli makanan di kafeteria yang terletak di Kolej 5, aku pun ternampak awek ni iaitu M yang sama kerja dengan aku masa di kilang beehon tempohari. Dunia ini sempit sahaja rupanya!

Tiba-tiba ada pulak kuasa ajaib tahap dewa tenuk ilmu sinar gamma menembusi dinding peringkat 8 telah memberikan aku keberanian untuk menegur dia. Tanpa rasa segan atau rendah diri aku menegur M.
"Eh, rasanya saya macam pernah nampak la awak ni. Awak pernah kerja kat kilang beehoon tu kan?"
Sambil tersenyum dia pun menjawab.
"Aaa yela. Eh awak pun sambung study sini erk.?"
Laa memang la aku sambung study kat sini. Takkan la study kat Britain pulak tapi lunch kat Malaysia ujarku kepada diriku sendiri di dalam hati tanda meloyar buruk!
Aku pun jawab.
“Iyerlah, hari tu cuti, jadi sekarang saya dah sambung degree. Anyway siapa nama awak erk?”
“Nama saya M. Awak pulak?”
“Just call me Jemmy. Oklah pergi dulu, kawan tengah menanti. Ada jodoh jumpa lagi.”

Itu sahajalah perbualan ringkas kitaorang kerana aku rasa korang sendiri pun faham-faham sahajalah maca mana perangai aku kalau berhadapan dengan awek. Mujur tak sampai menggigil tahap tak hingat dunia punya. Percakapan pun dah lawas tak lawas macam kambing menghidap sembelit sebab termakan biji guli, hehehehe.

Jadi bermula dari perbualan itu, pertemuan kami sekali itu sahaja dan tiada pertemuan susulan. Hendak dijadikan jalan cerita, ketika itu pantang ada masa free dan sewaktu ketiadaan kuliah sahaja aku pergi melepak di Pusat Komputer UPM. Ini semua gara-gara kawan-kawan aku yang mengajak aku dan untuk kesekiankalinya aku terus menjadi penunggu setia di Pusat Komputer UPM mengalahkan penunggu di waktu malam! Sambil-sambil melayan email dan berchatting di Bulettin Board System(BBS). Pada masa itu, belum ada lagi program chatting yang canggih seperti sekarang. Lagipun sebenarnya tidak boleh sesuka hati berchatting di IRC sebab kena marah dengan pegawai di Pusat Komputer yang kerek tu.

Antara BBS yang popular ketika tahun itu ialah BBS UTM dan BBS KUSZA. Agak ramai jugalah kenalan-kenalan yang aku perolehi dan hampir semuanya adalah terdiri dari pelajar-pelajar universiti lain. Cuma yang tak berapa best bila nak guna komputer terpaksa beratur menunggu giliran. Kadang-kadang sampai 2-3 jam. Tengah aku kebosanan menunggu, nasib aku baik setelah komputer yang aku booking tadi telah pun kosong. Tanpa membuang walaupun sedetik waktu aku terus menuju ke arah komputer tersebut. Baru sahaja aku nak melabuhkan punggungku yang tak berapa besar, tiba-tiba baru aku terperasan (bukan perasan tau) rupanya M yang duduk sebelah kerusi yang aku duduki..

Dengan penuh perasan gentleman aku menegur M.
“Laa jumpa lagi kita hehehe. Tak sangka rupanya UPM ni kecik aje.”
Dia pun tersenyum memandang aku.
“Awak tengah baca email ke?” Tanyaku lagi tanpa mempunyai perasaan malu di muka.
“Aaa,” jawabnya ringkas.
Belum sempat untuk berbual lama, tiba-tiba dia bersuara meminta diri.
“Maaf sebenarnya saya dah nak balik ni. Lagipun kejap lagi saya dah ada kelas.”
Sebelum dia beredar, sempat juga aku meminta alamat emailnya. Masa tu alamat email student UPM menggunakan ID nombor matrik.

Jadi, bila sudah dapat alamat emai makal senang la sikit nak berhubungan melalui email. Masa itu belum lagi berleluasa SMS seperti zaman sekarang. Lagipun mana ada handphone murah-murah macam sekarang kan? Kalau ada pun Nokia pisang mahal tu beb, kalau tak silap aku harganya lebih kurang RM1200. Zaman pelajar ni harga macam itu agak mahal. Mana mampu bebudak U macam aku nak beli. Jadi bermula la episod email antara aku dengan budak itu. Tapi bukan kerap sangat pun beremail. Kadang-kadang sebulan 2-3 kali sahaja. Sampailah ke satu hari. Isyk hari apa erk? Isyk hari.. hari.. alamak hari sambungan untuk cerita ini nanti hehehe...

...Jgn marah beb ada sambungan lagi...

Followers