Kisah 5.5 (Akukah Buaya?)

Sepanjang hampir seminggu berada di kampung aku mula merasa kesunyian. Bukan hanya kesunyian berjauhan dari awek-awekku tetapi kesunyian kerana tiada seorang pun kawan-kawan baikku semasa zaman persekolahan dulu berada di kampung. Hampir semuanya telah berkerja di negeri orang.

Tinggallah aku termangu-mangu menghabiskan sisa-sisa cuti di kampung. Mujurlah ada pengubat duka dapat bertemu mak, ayah dan adik-beradik. Paling seronok meladeni keletah dan kerenah anak-anak buah aku yang seramai 12 orang. Mungkin disebabkan aku ni boleh dikatakan ayah saudara yang paling glamour dan yang paling disayangi anak-anak buah ku kot? (Seperti biasa bermulanya sesi masuk bakul angkat sendiri dengan dua kaki.)

Ketika sibuk mengisi masa terluang dengan melayani anak-anak saudara pun, aku tetap setia melayan SMS daripada C. Sebelah malamnya pula aku akan menelefon FF. Tapi kat kampung ni aku taklah bergayut lama-lama sebab segan dengan mak dan ayah aku. Kalau nak bergayut lama sikit mulah aku mencari port yang sesuai di sekitar halaman rumah.

Pernah sampai kena gigit dengan semut api sampai abis berbintat seluruh kaki. Sambil-sambil itu aku tetap cover line supaya tidak terkantoi. Nasib baik jugak sebab awek aku masing-masing berjauhan antara satu sama lain. Masih dikategorikan sebagai selamat lagi.
Entah mengapa aku masih tidak faham dengan perangai diri sendiri. Walaupun tengah bercuti di kampung tanpa rasa segan-silu aku masih meneruskan lagi hobi aku yang satu. Apa lagi kalau bukan pergi ke cyber cafe dan menerobos ke alam chatting di mIRC.

Kali ni aku berchatting sekadar untuk menghilangkan kebosanan terperap di rumah lama-lama. Tapikan kalau dah namanya lelaki seperti aku ini, memang teruklah jugak. Baru sahaja chatting 2-3 kali tu sempat lagi aku berkenalan dengan seorang awek yang aku panggil R. Dia tinggal sama negeri dengan aku.
Apabila sudah dapat nombor telefon apa lagi ditunggu? Tanpa rasa bersalah, pada sebelah malamnya aku saja-saja cuba telefon R. Dah sembang panjang-panjang, kali aku melakukan satu lagi kesalahan dengan berlaku curang terhadap awek-awekku.

Tanpa rasa berdosa aku ajak R buat blind date. Bukan apa, saja nak menghilangkan rasa bosan (ayat cover diri). Dah awek tu pulak sudi berjumpa dengan aku di KFC. So salahkah aku? "Apalah nak jadi dengan diriku ini." Ujarku terhadap diriku sendiri. Sudah jadi pencinta wanita ker? Eh, tapi normal la lelaki cintakan wanita kan? Takkanlah nak paksa kambing jantan yang tidak mengerti apa-apa pergi cintakan wanita itu semua. Aku tidak sanggup!

Kalau dulu, setiap kali hendak berjumpa dengan perempuan aku mesti kecut perut. Tetapi kali ni aku macam dah tak berapa cemas sangat. Kata orang Jawa, dah boleh control macho ler. Ceh, perasan macho konon!
Tepat seperti apa yang telah dijanjikan, aku pun berjumpa dengan awek tersebut di KFC. Kami telah sama-sama berjanji untuk memakai pakaian berwarna biru. Dia pakai baju kurung biru cair dan aku pulak pakai baju biru lembut dengan seluar jeans biru gelap.

Sebagai seorang lelaki yang baru belajar nak memberanikan diri, lantas aku terlebih dahulu menegurnya.
" Awak ni R kan?"
Dia mengangguk sambil aku pun terus memberitahu namaku. Dalam keadaan masing-masing masih kekok dan malu-malu biawak, kami bersama-sama menuju ke arah kaunter untuk memesan makanan. Kemudian kami memilih untuk makan di meja yang agak strategik untuk berbual-bual tanpa ada sebarang gangguan dari pelanggan lain. Maklumlah ramai manusia yang agak busy body di Malaysia ni

Perbualan yang pada mulanya agak lembab kemudian bertukar menjadi rancak setelah masing-masing dapat membiasakan diri. Aku macam biasa dah mula berani membuat lawak kering kontang sampaikan kadang-kadang aku tengok R masih tersipu-sipu malu kerana menahan gelak.
Hampir 3 jam pertemuan itu, dia pun meminta izin untuk mengundur diri. Tapi yang peliknya aku tak nampak pulak dia berjalan sambil berundur. Tak kisahlah yang penting aku dah bertemu lagi dengan seorang member chatting. Lagipun awek itu pun boleh tahan jugak, sedap mata memandang.

Adakah aku dilamun cinta lagi? Arghh, gilalah aku kalau betul aku macam ni. Tapi kenapa aku macam ni? Kenapa? Dah macam semakin mudah pulak untuk jatuh cinta ibarat kanak-kanak meratah ayam goreng KFC yang digoreng ranggup berempah hot and spicy. Isyk, isyk...apakah aku akan menambah koleksi awek lagi untuk masa yang singkat sepanjang seminggu bercuti di kampung?


...Jawapannya selepas disambung dalam kisah 5.6 yang akan datang di skrin anda tidak lama lagi...

Kisah 5.4 (Cinta Alam Siber III)

Kisah 5.4 (Cinta Alam Siber III)


Saat sedang hangat bercinta itu memang indah dan manis. Lebih manis kalau nak dibandingkan dengan secawan kopi yang tertuang selori gula. Malah lebih manis dari madu yang meleleh dari sarang lebah dan menitis terus ke dalam mulut. Walaupun madu paling tidak disukai oleh kaum hawa.

Kenapa agaknya? Tetapi saat bercinta alam siber yang
berjauhan beribu juta batu jalan dan beribu juta molekul air Laut China Selatan yang memisahkan ntara aku dan C amat mencabar rasanya. Dalam kemanisan banyak kelatnya, dalam indah banyak kelamnya.

Sampai bilakah aku mampu bertahan dengan keadaan yang sebegini? Mampukah aku untuk setia seperti setianya aur dengan tebing? Atau setiakah aku seperti setianya Romeo dengan Julietnya (tapi setahu aku Mat Romeo confirm tak setia kan?) Lantas persoalan itu akan dijawab oleh hati aku sendiri. Memang aku pun tidak pasti adakah aku mampu untuk setia walaupun aku tau dia setia dengan cinta kami.

Keraguan hatiku sendiri akhirnya terjawab. Memang aku tidak setia. Aku tewas dengan permainan hati sendiri. Tanpa rasa bersalah aku telah curang di dalam diam. Dalam meniti ranjau percintaan jarak jauh dengan C aku masih melayan hobiku berchatting.

Di antara ramai-ramai kenalan melalui dunia chatting itu, tiba-tiba pulak ada seorang awek yang aku panggil sebagai FF telah hadir untuk menjadi kenalanku. Aku telah berikan nombor telefonku kepada tanpa rasa segan-silu dan bersalah.

Secara diam-diam (tapi masa aku berborak di dalam telefon dengan dia suasana taklah diam sangat) FF sering menelefonku. Dari hari ke hari hingga membawa bulan demi bulan kami sering berbual-bual malah semakin menimbulkan bibit-bibit kemesraan.

Oleh kerana permintaanku, pada suatu hari FF telah menghantar surat untukku yang di dalamnya disertakan dengan sekeping foto. Di dalam surat itu juga dia telah meluahkan segala isi hatinya bahawa dia mula sayangkan aku kerana kemesraan dan cara layananku semasa berbicara di dalam telefon telah memikat hatinya. Lagipun aku bagitau yang aku masih solo. Memang aku solo sebab belum kawin kan? Aku sengaja menempah bala?

Secara rasminya aku telah menerima luahan hati FF. Aku sendiri pun tidak faham kenapa terlalu mudah untuk FF meluahkan rasa hatinya dan terlalu mudah untuk aku menerimanya. Walaupun aku dah mula ada awek baru tapi aku masih tetap tak berubah dan masih meneruskan hubungan aku dengan C seperti biasa. Seoalah-olah tiada apa yang berlaku. Masih berjalan lancar seperti kereta Proton yang baru l diservis dengan minyak pelincir Petronas (aku tidak pasti betul atau tidak tetapi iklan selalu cakap macam tu).

Setelah genap 3 bulan berhubungan dengan FF melalui surat dan panggilan telefon (sebab FF tiada handphone) maka kami telah mengukir janji untuk bertemu di satu bandar yang bernama bandar S. Pertemuan itu pun dirancang memandangkan aku akan balik bercuti ke tempat kelahiran dengan menumpang kereta kawan yang secara kebetulan akan balik bercuti ke kampungnya. Maklumlah masa ni aku belum ada lesen kereta apatah lagi kereta memang lagilah belum ada. Jadi kami bertemu di sebuah stesen minyak Petronas di bandar S.

Kali pertama memandangnya secara berhadapan jantungku berdebar-debar seperti ingin terkeluar dari rongga toraks. Hatiku berkata bahawa FF ni jauh lebih cute dari rupanya di dalam gambar. Malangnya kami tidak sempat untuk berbual panjang dan melepaskan rindu kerana aku pun segan hendak membiarkan kawan aku itu menunggu dalam kereta lama-lama. Aku sedar dan insaf yang aku hanya menumpang keretanya. Lagipun perjalanan untuk balik ke kampung masih jauh.

Jadi pertemuan pertama aku dengan FF hanyalah berlangsung selama 30 minit tetapi itu sudah cukup bermakna bagiku. Sebelum aku beredar, sekali lagi aku terkesima kerana secara tiba-tiba FF menarik tanganku dan bersalam sambil terus mencium tanganku. Seperti terkena renjatan elektrik, aku terpaku kerana seumur hidupku inilah kali pertama aku bersalaman dengan seorang perempuan yang bukan muhrimku.
"Selepas ini balik ke rumah aku kena balut tangan ini dengan plastik sebab tidak mahu kesan salaman tadi hilang.” Aku berkata kepada diriku sendiri.

Lapan jam menempuhi perjalanan yang panjang memang agak memenatkan. Sampai sahaja di kampung aku merasa keseronokan yang tidak tergambar dengan kata-kata dan sedikit kelegaan memenuhi ruang minda kerana di sini suasananya damai. Tiada gangguan ngauman enjin kenderaan. Sementelah lagi aku pun sudah agak lama tidak bercuti bercuti panjang ke kampung.

Dalam ketenangan itu cuma terganggu sedikit lubuk hati kerana bibit-bibit perasaan bersalah mula timbul kerana tanpa sedar aku berlaku curang. Dalam masa yang sama aku mempunyai 2 orang awek. Eh, buayakah aku? Akukah buaya? Atau buaya itu sememangnya seekor buaya? Macam mana aku nak menyesuaikan diri dengan kehidupan baruku yang telah mempunyai 2 orang awek sekaligus walaupun seorang lagi begitu jauh di mata? Agak-agak apa yang berlaku selepas ini?


...Seperti biasa bersambung lagi di dalam episod 5.5..

Followers