Kisah 4.5 (Cinta Masih Terpendam)

Sesekali aku akan terfikir jauh ke dalam sudut hati dan selalunya akan menyoal diri sendiri. Sampai bilakah cintaku ini hanya menjadi sekadar cinta syok sendiri atau cinta terpendam? Apakah jejaka pemalu+pendiam+kurang hensem seperti aku tidak berhak untuk memiliki dan menikmati erti cinta yang sebenarnya?

Bila aku terbaca kisah cerita cinta di dalam novel, segalanya seperti terlalu indah. Watak hero mesti hensem manakala watak heroin mesti cantik. Kalau dalam drama atau sesekali melayan filem hindustan pun sama. Asal kisah cinta sahaja mesti heroinnya cantik dan heronya hensem. Apakah yang cantik hanya layak bagi mereka yang hensem sahaja? Atau adakah yang hensem hanya patut memiliki yang cantik?


Seringkali persoalan itu menerjah ke kotak fikiranku tanpa jemu. Persoalan yang aku sendiri tiada jawapan baginya. Pada masa dan ketika ini, kalau terserempak dengan pasangan kekasih yang lalu-lalang pun aku sudah mula merasa cemburu.

Sesungguhnya jauh tersimpan di sudut hati kecilku, aku pun ingin menikmati keadaan seperti itu. Tapi layakkah aku? Bilakah masanya akan menjemput seorang insan mengisi ruang kamar hatiku yang benar-benar kosong kini? Hidup tanpa cinta seorang insan yang digelar kekasih? (Macam dah makin serius pulak kisah aku ni.)

Tapi macam mana aku harus berfikir tentang kekasih atau apa sahaja pada saat-saat kritikal begini? Putaran roda hidupku sekarang berada di bawah, aku tiada kerja dan tiada duit. Aku hanya ada seorang kawan. Mahu tak mahu untuk meneruskan kehidupanku, aku perlu melakukan sesuatu. Ak tak mahu berterusan menjadi begini.

Setelah puas ke sana sini mencari kerja yang sesuai, akhirnya aku dan kawan baikku telah mendapat perkerjaan sementara di kilang membuat cotton buds yang terletak berhampiran dengan rumah sewa kami. Tapi sekadar kerja part time sahaja. Cukuplah untuk menampung hidup untuk sementara waktu. Tambahan lagi bulan Ramadhan pun dah makin hampir. Nanti kalau takde duit takkan aku nak berpuasa 24 jam plak kan? Lepas tu nak beraya dengan apa? Dah la masa ni aku terpaksa berjimat cermat dengan hanya menghisap rokok secara catuan iaitu sebatang sehari. Kalau nak hisap lebih-lebih kena pow dari member la. Sedih betul.

Hampir sebulan juga aku kerja part time di kilang tersebut. Walaupun di dalam hati teringin untuk berkenalan dengan beberapa orang awek yang agak jambu yang berkerja di situ, tetapi memandangkan aku insaf dan sedar keadaan diri yang tak berupa dan tak berharta, maka aku padamkan sahaja niat tersebut.
Dengan perasaan selamba juga aku langsung tidak menghiraukan soal awek-awek yang berada disekeliling persekitaran aku kerja. Orang nak kata aku sombong ke apa ke lantaklah, yang penting aku mahu terus hidup!

Sebulan pun berlalu, walaupun hidupku tidak semewah semasa bekerja di kilang Sony dulu, hanya sekadar cukup makan sahaja tapi aku tetap bersemangat menerusan perjalanan hidup ini. Tapi sampai bila aku harus hidup begini? Setelah memikirkan semasak-masaknya. Aku telah mengambil keputusan yang amat berat untuk aku lakukan. Aku harus pulang ke kampung dan meneruskan kehidupanku di sana. Aku sudah tidak betah lagi menanggung segala kos kehidupan yang begitu membebankan di sini. Tapi aku malu. Bagaimana harus aku menghadap muka orang tuaku dengan keadaan aku yang belum mempunyai kerja tetap walaupun sudah beberapa bulan tamat pengajian?

Dalam aku berkira-kira dengan perancangan nekad untuk balik ke kampung, tiba-tiba aku menerima panggilan dari Abang Long yang meminta aku mengemaskan segala baranganku dan terus balik ke kampung. Jadi selepas raya aku tidak perlu kembali semula ke Serdang. Walaupun tertanya-tanya kenapa abang long menggesa aku balik ke kampung tetapi aku tidak pernah bertanya kepadanya kenapa aku harus balik. Itu kerana aku memang sudah nekad untuk balik ke kampung.

Maka seminggu sebelum hari raya menjelma, dengan perasaan bercampur-baur aku berangkat ke kampungku dengan menaiki bas tambahan (bas sekolah). Jenuh aku mengangkat barang-barangku terutamanya komputer kesayanganku ke tempat simpanan barang di bahagian bawah bas. Buat kali terakhirnya aku berada di Seri Serdang barangkali? Tempat jatuh lagikan dikenang, apa lagi tempat aku belajar erti kehidupan menuju ke alam dewasa. Banyak kenangan indah dan pahit yang terpahat di sini. Sayu juga hati ingin meninggalkan tempat yang telah aku diami selama 6 tahun.

Seminggu aku berada di kampung, walaupun seronok tidak terkata menyambut hari Lebaran bersama keluarga tercinta tetapi jauh di sudut hati masih ada ruang kekosongan yang dapat aku rasakan. Apakah perasaan ini? Kenapa aku begitu merindukan dia? Dalam kemeriahan ini, ingatan ku terhadap SZ masih belum terpadam. Kesunyian yang hadir membuatkan segala memori di kampus dahulu menjelma kembali satu persatu. Terkenangkan itu semua aku menjadi terlalu rindu. Rindu dengan si dia, cintaku yang masih terpendam sehingga kini.....

Agaknya Abang Long mula perasan apabila aku hanya banyak termenung dan tidak bercakap semenjak aku balik ke kampung. Adakalanya aku lebih suka menyendiri menikmati suasana alam dan kedamaian kampung. Dengan tidak semena-mena, sedang aku asyik memerhati sepasang burung merbah mencari makanan, aku disapa Abang Long.

“Jauh mengelamun. Masih teringatkan orang di Serdang ke?”
“Ada jugak teringat sikit-sikit, Cuma yang termenung ni sebab memikirkan apa nak buat lepas ni? Dah la belum ada kerja lagi,” aku menjawab persoalan yang dilontarkan Abang Long.
“Sebenarnya tujuan Abang Long suruh engkau balik ke kampung terus ni ada sebabnya. Saja Abang Long tak nak bagitau dulu. Hari tu surat tawaran untuk jawatan engkau mintak dulu tu dah sampai tapi engkau kena sambung belajar dulu selama setahun.” Kata-kata Abang Long yang membuatkan bibirku menguntum senyuman dan bibit-bibit kegembiraan mula berputik di hati.

“Yahooooo!” Aku menjerit di dalam hati kerana terlalu gembira sehinggakan bakteria yang ada di dalam badan aku mengigil ketakutan dek kerana terkejut yang amat sangat. Aku agak ajalah. Itu kira ok aku menjerit di dalam hati je. Buatnya aku menjerit sekuat-kuat dan semahunya mungkin boleh menyebabkan lembu orang kampung yang suka tidur di halaman rumah aku tercirit seminggu.

Jadi, selepas aku dapat menyambung belajar di tempat yang berhampiran dengan rumahku, maka bermulah episod baru dalam kisah hidupku. Sepertinya aku telah bangkit kembali dari kekalahan. Memburu kisah percintaan yang baru. Walaupun aku tidak pasti bagaimanakah perjalanan kisah cinta aku nanti. Apa yang aku harapkan, mendung dalam percintaan akan berganti dengan sinar mentari cinta yang sebenanya dan mampu memberi kekuatan untuk aku meneruskan langkah dalam perjalanan hidup!


...Berakhirnya Kisah 4...

0 comments:

Post a Comment

Followers