Dua tahun tanpa cinta. Kesan penolakan oleh AS memang sedikit sebanyak mempengaruhi perjalanan hidupku. Natijahnya, sehinggakan aku trauma untuk mendekati dan memilik cinta lagi. Walau sekuat mana aku cuba menolak perasaan dan keinginan itu semakin kuat ia memburuku dek kerana kesunyian yang sering menjadi peneman. Setiap hari-hari yang aku lalui adalah kesunyian. Sementelah lagi kini aku hanya tinggal bersendirian. Kawan serumahku telah selamat melangsungkan perkahwinan. Maka bermulah hidupku sendirian di rumah sewa ini dan setiap hari berselimutkan sepi.
Selain itu ku rasakan seisi dunia seolah-olah mengejekku. Ke mana ku pergi, setiap kali bertemu dengan pasangan yang sedang bercinta seakan mereka mentertawakanku. Aku bencikan ini semua. Malang sangatkah menjadi insan seperti aku?
Oh, bosan! Aduhai, sunyi! Kenapa kalian begitu setia menemaniku? Pergilah kalian. Aku ingin mengusir kalian keluar dari diriku. Berkelanalah kalian. Usah temani diriku. Aku sudah tidak betah bertemankan kalian pada saat-saat usia begini.
Apa harus aku lakukan? Menyibukkan diri dengan urusan kerja? Bagaimana hari minggu? Kembali mencari kenalan-kenalan alam siber? Sampai bila? Untuk apa? Untuk kecewa lagi? Untuk diketawakan lagi? Persoalan demi persoalan tanpa jawapan terus bertandang. Apa yang pasti aku tetap begini, sendirian masih bertemankan sunyi dan bosan. Tidak! Aku harus lakukan sesuatu tapi apa yang haru aku lakukan? Pergi bercuti lagi?
Aku mencari damai di hati. Sebaliknya apa yang aku temui di PD hanyalah cebisan-cebisan kenangan luka yang telah lama termendak di dasar hati yang paling dalam. Kenapa harus timbul kembali? Oh, Tuhan. Kuatkanlah hatiku. Aku bukan insan lemah. Aku harus melupakan kenangan yang telah kemas terpaku di lipatan sejarah. Biarlah ia berlalu. Hidup perlu diteruskan.
Kadang-kadang hidup ini agak membosankan tanpa cinta dari seorang wanita yang bergelar kekasih. Tiada apa yang boleh aku lakukan. Masih seperti rutin-rutin terdahulu melayari arena chatting, chatting dan terus berchatting. Kenalan-kenalan yang terdahulu seperti L dan yang lain-lainya semua telah aku tinggalkan. Aku akan bermula semula dari kosong.
Berkenalan, bertukar-tukar ID YM, email atau nombor telefon sudah menjadi kebiasaan bagi aku. Semakin lama aku semakin jemu. Perlukah aku keluar dari dunia siber yang penuh dengan alam fantasi ini? Kalau aku keluar dengan siapa pula aku ingin berkenalan dan mencari cinta? Susahnya juga menjadi manusia yang kompleks seperti aku ini. Adakalanya aku menjadi terlalu pemalu dan pendiam apabila berhadapan dengan manusia dari dunia biasa. Kalau bertemu dengan manusia yang aku kenali dari dunia siber, tahap pemaluku dengan sebegitu mudah hilang begitu sahaja.
Beratus-ratus kenalan malah mungkin mencecah ribuan kenalan melalui alam siber yang telah terkumpul setelah beberapa tahun aku menceburkan diri di alam ini. Tetapi pertemuan dengan seorang gadis melalui cara yang tidak disengajakan telah mengubah hidupku.
Pagi Sabtu yang sunyi. Aku bersiap-siap seadanya. Sekadar menyisir rapi rambut yang dibasahi krim rambut berjenama Follow Me. Aku menyemburkan wangian Polo Blue kegemaranku sedikit di atas pergelangan tangan tempat di ukur denyutan nadi dan sedikit ke bahagian bajuku. Sekurang-kurangnya aroma itu mampu menyegarkan aku untuk seharian. Enjin kereta kesayangan mula ku hidupkan. Aku menghala ke bandar tanpa ku ketahui ke manakah destinasi akan ku tujui? Apa-apa pun aku perlu mengambil duit di mesin ATM kerana yang tinggal dalam walletku hanya RM10.00. Nak isi minyak kereta pun tak lepas.
“Sorry,” hanya itu yang mampu aku tuturkan setelah dalam keadaan tergesa-gesa tadi aku telah terlanggar seseorang.
Terlihat wajah itu kemerahan, dalam keadaan menahan geram atau marah barangkali.
“Maaf sekali lagi. Saya betul-betul tak sengaja. Tadi masa saya sampai saya seorang je. Nak cepat, tak perasan pulak awak tengah beratur kat belakang,” sambil berterusan meminta maaf aku mengutip duitku yang telah terjatuh.
“Tak apa, sikit aje. Bukan jatuh pun,” jawab gadis itu dengan ringkas. Mukanya masih kemerahan.
“Betul awak tak apa-apa kan?”
“Iye., saya takde apa-apa.”
“Kalau bagitu baguslah. Maaf sekali lagi,” aku meminta maaf untuk kali ketiga kerana merasa bersalah dengan kegopohan sendiri dan terus berlalu.
Terasa menyesal pulak kerana aku tidak berani untuk meminta nombor telefon sebagai tanda meminta maaf. Gila ke? Dah la langgar orang lepas itu berani pulak nak mintak nombor telefon? Memang aku belum gila dan tidak berani. Nanti tak pasal-pasal kena marah. Tapi wajah itu, cukup menawan. Boleh membuatkan hatiku beronar di waktu malam mengenangkan wajah itu. Wajahnya yang putih melepak dan kemerah-merahan bila marah boleh membuatkan hati lelaki cair. Pendek kata memang cun habis! Itu belum lagi panjang yang kata. Jatuh cinta lagi ke?
Aku ni betul ke tidak? Takkan aku boleh jatuh cinta dengan orang yang langsung aku tidak kenali. Malah aku tidak tahu siapa pun dia. Dari mana? Tinggal di mana? Apa nama?
Pelik memang pelik. Hatiku begitu meronta-ronta ingin mengenali gadis ini. Tapi bagaimana aku harus mencarinya? Bertemu pun secara tidak disengajakan. Malah aku rasa kalau bertemu sekali lagi pun mungkin dia sudah tidak cam aku lagi. Tapi aku harus menemui dia lagi walau dalam mimpi sekali pun! Setidak-tidaknya untuk melepaskan kerinduan yang bertakung di tasik hati.
Cinta terpendam lagilah nampaknya. Hanya itu yang aku mampu. Aku memang insan yang telah dilahirkan untuk meneruskan kesinambungan cinta-cinta terpendam yang telah aku harungi sebelum ini.
“Ya, Allah. Apa lagi yang harus aku lakukan? Andai betul dia telah ditakdirkan untukku, pertemukanlah aku dengan dia.” Itulah doa yang sering aku panjatkan selepas solat.
Aku memang berharap sangat agar dipertemukan jodoh dengan gadis itu. Seringkali aku solat sunat Istikharah memohon petunjuk-Nya. Tapi masih tiada tanda-tanda yang positif. Hanya sekadar beberapa mimpi yang tidak jelas. Yang hanya menunjukkan sepasang kaki.
Sebulan selepas pertemuan dengan tidak sengaja itu, perlahan-lahan aku sudah mampu untuk melupakan gadis itu. Tiada lagi angau tahap melampau. Tiada lagi rindu keterlaluan. Ah, memang dasar lelaki kan? Hangat-hangat tahi ayam. Tapi apa daya aku? Aku sendiri tidak yakin akan bertemu lagi dengan gadis itu.
Biarlah segalanya berlalu. Perjalanan hidup ini masih panjang (itupun kalau diizinkan Allah).
Maka aku kembali terjerumus ke alam siber. Semakin rancak aku mencari kenalan melalui laman chat kampung. Semakin bertambah kenalan Yahoo Messenger. Aku semakin jauh hanyut di alam fantasi dan jauh meninggalkan alam realiti. Beginilah bila hidup bersendirian di rumah sewa. Sampai bila aku harus begini?
Mencipta dunia sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di luar?
Kalau hari minggu aku mampu mengadap laptop sampai berjam-jam tanpa mempedulikan makan atau minum. Duniaku hanya chat, chat dan chat. Aku perlukan seseorang untuk membangkitkan aku dari keadaan yang tidak menentu ini. Tapi siapa? Mungkinkah gadis itu?
...Menuju alam fantasi...
Blogger Templates
Tiga Permintaan Isteri
6 years ago
2 comments:
Sama-samalah kita duduk di alam fantasi
menanti teman dari realiti
menjengah ke lubuk hati
Masih menanti dia yang pergi
sementara bersiap hadapi hari
untuk melangkah alam tak pasti
very nice hawa....
Post a Comment