Kisah 5.7 (Cinta Mula Berputik Lagi)

Setelah beberapa hari bercuti, agak sukar untuk memulakan kembali kerja. Kerja pun dah macam tak berapa nak rajin. Tapi memandangkan kerja aku ni penting demi kemajuan anak bangsa dan negara untuk membentuk generasi yang mampu membina dan menjaga negara Malaysia yang tercinta ini maka aku menggagahi diri melakukan sekadar yang termampu. (Cewah semangat tu beb!) Sementelah lagi, segala stress dengan kerja dah berjaya dilupakan seketika dengan percutian bersama diri sendiri dan R hari tu.


Kerja tetap kerja, life pun kena jaga. Memang perhubungan aku dengan C masih berjalan lancar walaupun hanya berhubungan melalui SMS dan panggilan telefon sesekali kerana aku bagi alasan nak berjimat-cermat dan takut kena lagi bayar bil sehingga mencecah RM1000 sebulan.

Dalam masa yang sama juga hubungan aku dengan FF tetap berjalan lancar malahan hujung minggu ni FF menyuruh aku datang ke tempatnya untuk bertemu demi melabuhkan rindu yang setelah sekian lama belayar di lautan cinta. Bagaimana pula dengan R? Jangan terkejut kerana aku dengan R pun sudah mula menyemai putik-putik cinta. Parah la macam ni. Akukah buaya? Beliau itukah aku? Oh, ya memang tidak syak lagi bahawa aku telah menjadi buaya itu.

Mungkin ramai wanita yang marah-marah kalau membaca kisah aku ni. Mungkin aku akan dicop sebagai jantan tak guna dan suka mempermain-mainkan perasaan wanita lain. Tetapi seperti yang aku katakan bahawa mungkin pada masa itu aku masih di dalam pencarian destinasi cinta yang sejati. Sudah mencari lumrah sang pencari iaitu akan mencari dan terus mencari yang terbaik dalam hidup. Lantaklah apa orang nak cakap, tapi apa yang penting aku bercinta untuk mencari seseorang yang boleh menjadi bakal isteri yang terbaik dan mampu menjaga serta menyenangkan hidupku untuk selamanya selagi hayat dikandung badan.

Berbalik semula dengan kisah cintaku, memang tidak dinafikan bahawa aku amat sayangkan C. Dia yang pertama hadir ketika aku baru mengenal erti cinta yang sebenarnya. Walaupun tidak pernah bersua muka tapi hatiku terlalu menyayanginya. FF pulak hadir dalam hidupku kerana aku ingin melupakan sejenak kerinduanku terhadap C.

Tapi R? Apa pulak alasanku? (Kejap ye, aku nak fikirkan alasan yang terbaik. Ermm apa erk? Oh, ya R hadir kerana aku perlukan seorang teman ketika bercuti di kampung halamanku.)
Jadi, salah ke aku? Lagipun jiwa lelaki yang menyayangi wanita sepertiku ini sangat halus. Masih terlalu banyak kasih sayang yang boleh aku kongsikan. Bagiku wanita tidak boleh terlalu tamak untuk membolot kesemua cinta yang ada daripada seorang lelaki. Sementelah lagi, aku tidak sampai hati nak menolak luahan cinta mereka.

Walaupun aku ini tiada paras rupa yang hensem dan menarik tetapi mungkin dengan cara aku berkata-kata dan layanan yang baik serta kelawakkan aku membuatkan mereka sukakan aku. (Maaf ni dah masuk bab memerasankan diri sejenak).

Hari minggu itu, aku telah memateri janji untuk bertemu dengan FF. Tanpa meluangkan masa walau sedikit pun, pagi-pagi lagi lebih kurang pukul 7.00 aku dah start enjin motorsikal. Housemate aku macam kepelikkan melihatkan diriku yang telah berpakaian kemas di awal pagi dan mula menghidupkan enjin motorsikal memandangkan selama ini aku tidak pernah keluar pagi-pagi buta. Tapi lantaklah demi temujanjiku dengan FF, maka aku terpaksa bertolak awal.

Dari tempat aku menuju ke bandar S tempat kediaman FF mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam setengah kalau menaiki motorsikal. Demi cinta, aku rela redah aje. Tepat jam 9.30 aku sampai ke bandar S. Sampai sahaja aku terus menghubungi FF dan dia meminta aku menunggunya di stesen Petronas tempat pertemuan pertama kami dahulu.

Kira-kira 10 minit menanti, kelibat FF yang membonceng motorsikal yang ditunggang oleh seorang budak lelaki dalam usia belasan tahun pun muncul. Sesudah FF turun dari motorsikal itu dengan secepat pelesit budak itu terus memecut motorsikalnya ke arah yang destinasi yang aku sendiri pun tidak pasti.

"Ah, lantaklah dia. Budak-budak sekarang memang suka naik motor macam pelesit," getus aku sendirian di dalam hati.
"Dah lama ke abang sampai?" Pertanyaan itu yg terpacul dari mulut FF.
"Lama tu tak lama la tapi kalau hisap rokok dah abis sebatang," jawabku spontan.
"So, kita nak ke mana ni? Tanyaku lagi.
"Mana-mana ajelah tapi jangan jauh-jauh sangat sebab saya tak boleh keluar lama-lama sangat takut nanti abah marah."

Tanpa banyak soal aku pun terus menghidupkan enjin motorsikal, lalu FF pun segera naik lantas memeluk pinggangku. Aku yang agak tergamam dengan kelakuan FF seperti tidak mampu bersuara. Semakin kencang degupan jantungku seperti hendak terkeluar dari sangkar rusuk. Nampaknya aku sudah tertewas kerana cinta.

Aku sudah melanggar prinsip hidupku sekali lagi. Seumur hidupku ini, mana pernah aku membenarkan diri aku sendiri membonceng motorsikal dengan seorang perempuan? Siap memeluk pinggangku lagi. Kan dah tak pasal-pasal dadaku semakin berdebar-debar apabila FF semakin memelukku semakin rapat di atas sebab-sebab yang aku rasa lelaki lain pun mengerti. Matilah aku kalau mak bapak aku tau perangai anaknya dah jadi begini. Kemanakah agaknya aku membawa FF pergi?


...Cerita selanjutnya dalam kisah yang akan datang..

Kisah 5.6 (Cinta Telah Hadir?)

Hari-hari terakhir percutianku di kampung, sempat lagi aku melakar temujanji kedua dengan R. Kali ni kami membuat keputusan untuk bertemu-janji di tepi pantai yang indah. Alangkah seronok dan damainya menghirup udara segar di pantai. Memijak pasirnya yang memutih dan membilang buih-buih yang terdampar di gigi pantai. Sambil menikmati hembusan bayu pantai, kami berbual-bual tentang kehidupan dan bercerita tentang diri masing-masing.

Dalam rancak bersembang itu, tiba-tiba kami terdiam seribu bahasa seperti kehabisan idea. Seperti segalanya telah habis dibicarakan dalam masa 2 jam pertemuan itu. Dalam keasyikan mendengar merdunya irama ombak yang membelai pantai itu, (ceh, sejak bila aku pandai buat ayat-ayat puitis macam sasaterawan negara ni?) tiba-tiba terpacul dari mulut aku ni satu pertanyaan.

"Awak memang belum berpunya lagi ker?" Tanyaku sekadar memulakan kembali bicara yang tiba-tiba terhenti sejenak sebentar tadi.
"Sebenarnya saya sudah lama tidak bercinta. Hampir 3 tahun," jawapan itu keluar dari ulas bibirnya."
"Kenapa?" Tanyaku lagi.
"Entahlah. Mungkin sebab saya belum sedia dan belum jumpa orang yang betul-betul sesuai," ujar R lagi sambil tersenyum.
"Awak rasa saya ni sesuai tak?" Tiba-tiba soalan maut itu terkeluar dari mulut aku. Seperti rasanya aku ingin melempang mulut sendiri yang gatal-gatal dan celupar kerana mengeluarkan soalan sebegitu.
"Entah, no comment. Saya suka berkawan dengan awak sebab saya rasa kita ni macam ada keserasian walaupun baru 2 kali berjumpa. Lagipun awak ni kelakarlah. Sebab itu saya seronok bila bersembang dengan awak ni. Ada aje lawak-lawak spontan awak tu yang buat saya geli hati." Itu dia ulasan yang panjang lebar terpacul dari mulut R.


Aku yang melopong bercampur dengan kembang-kuncup lubang hidungku yang serasanya mampu untuk memuatkan 8 ekor anak gajah sekaligus dek kerana terlalu seronok menerima pujian dari R.
"Eh kelakar juga rupanya aku ni." Puji diriku sendiri tanpa rasa malu tahap tebuan tanah lagi terhadap diri sendiri di dalam hatiku sendiri. Nasib baik hati aku tak kantoikan dengan mengeluarkan semula apa yang aku perkatakan tadi di dalam hati ke mulut. Kalau tidak, dah tak pasal-pasal malu sendiri sebab masuk bakul angkat sendiri dengan kaki untuk kesekian kalinya.

Hari beransur petang. Hampir 4 jam berbual perut pun dah mula menyanyikan lagu untukmu nasi. Selesai lunch di medan selera yang berhampiran pantai itu, kami pun masing-masing menuju ke arah destinasi masing-masing.

Aku menawarkan diri untuk menghantar R balik ke rumah tetapi dia menolaknya dengan baik kerana tidak mahu menyusahkan aku. Lagipun aku menaiki motorsikal yang aku pinjam dari adikku tentu tidak manis kan? Tanpa melengahkan masa aku pun terus balik ke rumah dengan perasaan dan hati yang semakin berputik bunga-bunga keriangan.

Esoknya pagi-pagi lagi kawan aku dah datang menjemput untuk kembali semula ke JB setelah bercuti selama seminggu. Dalam fikiranku mula terbayangkan keseronokan untuk kali ke-2 kerana berpeluang lagi untuk bertemu dengan FF. Nanti selepas memulakan perjalanan aku akan memberitahu kawanku untuk singgah di stesen Petronas seperti hari itu. Tapi malangnya keberuntungan bukan milikku kali ni.

Baru sahaja aku ingin menyuarakan kehendakku dengan tidak semena-mena seperti dapat membaca fikiranku kawanku memberitahu yang dia nak cuba laluan Kuantan-Mersing-JB dan takkan mengikut laluan ke bandar S. Dah melepas aku kali ini. Ingatkan aku nak jumpa dengan FF sekejap.

Apapun kisah ini sudah menjadi semakin complicated. Mula-mula aku begitu fobia sangat dengan perempuan tetapi sekarang dah mula berani menyimpan koleksi awek. Macam mana agaknya perjalanan kisah aku dengan C dan FF serta mungkinkah kisah dengan R akan tercipta selepas ini? Adakah akan berterusan begini atau adakah akan bertambah lagi kisah lain?


...Sama-samalah kita menantikan sambungannya dalam Kisah 5.7 nanti..

Followers