Kisah 5.6 (Cinta Telah Hadir?)

Hari-hari terakhir percutianku di kampung, sempat lagi aku melakar temujanji kedua dengan R. Kali ni kami membuat keputusan untuk bertemu-janji di tepi pantai yang indah. Alangkah seronok dan damainya menghirup udara segar di pantai. Memijak pasirnya yang memutih dan membilang buih-buih yang terdampar di gigi pantai. Sambil menikmati hembusan bayu pantai, kami berbual-bual tentang kehidupan dan bercerita tentang diri masing-masing.

Dalam rancak bersembang itu, tiba-tiba kami terdiam seribu bahasa seperti kehabisan idea. Seperti segalanya telah habis dibicarakan dalam masa 2 jam pertemuan itu. Dalam keasyikan mendengar merdunya irama ombak yang membelai pantai itu, (ceh, sejak bila aku pandai buat ayat-ayat puitis macam sasaterawan negara ni?) tiba-tiba terpacul dari mulut aku ni satu pertanyaan.

"Awak memang belum berpunya lagi ker?" Tanyaku sekadar memulakan kembali bicara yang tiba-tiba terhenti sejenak sebentar tadi.
"Sebenarnya saya sudah lama tidak bercinta. Hampir 3 tahun," jawapan itu keluar dari ulas bibirnya."
"Kenapa?" Tanyaku lagi.
"Entahlah. Mungkin sebab saya belum sedia dan belum jumpa orang yang betul-betul sesuai," ujar R lagi sambil tersenyum.
"Awak rasa saya ni sesuai tak?" Tiba-tiba soalan maut itu terkeluar dari mulut aku. Seperti rasanya aku ingin melempang mulut sendiri yang gatal-gatal dan celupar kerana mengeluarkan soalan sebegitu.
"Entah, no comment. Saya suka berkawan dengan awak sebab saya rasa kita ni macam ada keserasian walaupun baru 2 kali berjumpa. Lagipun awak ni kelakarlah. Sebab itu saya seronok bila bersembang dengan awak ni. Ada aje lawak-lawak spontan awak tu yang buat saya geli hati." Itu dia ulasan yang panjang lebar terpacul dari mulut R.


Aku yang melopong bercampur dengan kembang-kuncup lubang hidungku yang serasanya mampu untuk memuatkan 8 ekor anak gajah sekaligus dek kerana terlalu seronok menerima pujian dari R.
"Eh kelakar juga rupanya aku ni." Puji diriku sendiri tanpa rasa malu tahap tebuan tanah lagi terhadap diri sendiri di dalam hatiku sendiri. Nasib baik hati aku tak kantoikan dengan mengeluarkan semula apa yang aku perkatakan tadi di dalam hati ke mulut. Kalau tidak, dah tak pasal-pasal malu sendiri sebab masuk bakul angkat sendiri dengan kaki untuk kesekian kalinya.

Hari beransur petang. Hampir 4 jam berbual perut pun dah mula menyanyikan lagu untukmu nasi. Selesai lunch di medan selera yang berhampiran pantai itu, kami pun masing-masing menuju ke arah destinasi masing-masing.

Aku menawarkan diri untuk menghantar R balik ke rumah tetapi dia menolaknya dengan baik kerana tidak mahu menyusahkan aku. Lagipun aku menaiki motorsikal yang aku pinjam dari adikku tentu tidak manis kan? Tanpa melengahkan masa aku pun terus balik ke rumah dengan perasaan dan hati yang semakin berputik bunga-bunga keriangan.

Esoknya pagi-pagi lagi kawan aku dah datang menjemput untuk kembali semula ke JB setelah bercuti selama seminggu. Dalam fikiranku mula terbayangkan keseronokan untuk kali ke-2 kerana berpeluang lagi untuk bertemu dengan FF. Nanti selepas memulakan perjalanan aku akan memberitahu kawanku untuk singgah di stesen Petronas seperti hari itu. Tapi malangnya keberuntungan bukan milikku kali ni.

Baru sahaja aku ingin menyuarakan kehendakku dengan tidak semena-mena seperti dapat membaca fikiranku kawanku memberitahu yang dia nak cuba laluan Kuantan-Mersing-JB dan takkan mengikut laluan ke bandar S. Dah melepas aku kali ini. Ingatkan aku nak jumpa dengan FF sekejap.

Apapun kisah ini sudah menjadi semakin complicated. Mula-mula aku begitu fobia sangat dengan perempuan tetapi sekarang dah mula berani menyimpan koleksi awek. Macam mana agaknya perjalanan kisah aku dengan C dan FF serta mungkinkah kisah dengan R akan tercipta selepas ini? Adakah akan berterusan begini atau adakah akan bertambah lagi kisah lain?


...Sama-samalah kita menantikan sambungannya dalam Kisah 5.7 nanti..

0 comments:

Post a Comment

Followers