Kisah 5.2 (Cinta Alam Siber I)

Dalam kesibukan beremail dengan C, aku walaupun terasa seperti menyukai dia dan melayaninya agak istimewa jikalau dibandingkan dengan kenalan-kenalan email yang lain tapi aku tetap meneruskan hobi biasa iaitu berchatting dan bermail dengan ramai lagi kenalan-kenalan perempuan yang lain. Lagipun aku masih single dan berhak untuk berkawan dengan sesiapapun walau dengan beribu-ribu orang sekali pun kan?


Malah kalau orang utan sekalipun nak berkawan dengan aku, takkan la aku nak menolaknya kan? Eh orang utan? Isyk mana boleh, kalau orang yang duduk kat dalam hutan baru boleh. Tapi dalam ramai-ramai kawan email atau siber itu, memang aku tak pernah berjumpa secara berdepan walaupun seorang sebab aku nak menjaga status dan pangkat aku sebagai lelaki pemalu + pendiam!

Dalam pada itu pun, aku masih menyibukkan diri dengan study (Sibuk ker? Aku rasa lebih banyak melepak sambil main-main sahaja masa study sebab tak susah mana pun). Dalam diam tak diam dah hampir setahun jugak la aku berada di sini.

Banyak kenangan indah yang aku lakarkan bersama dengan kawan-kawan di sini. Saat paling seronok masa belajar bagi aku kot? Maklumlah ada bermacam-macam aktiviti yang aku ikuti seperti camping beramai-ramai dan bersama-sama berkelah di Pulau Redang. Memang agak menyeronokkan.
Berbalik dengan hubunganku dengan kenalan emailku, semakin lama aku makin menambahkan stok kawan yang boleh dikatakan agak rapat dan mesra serta selalu berutusan email walaupun tidak pernah bersua muka. Kira-kira dalam 4 orang kot? Pertama si C, kemudian kedua si A, lepas itu yang ketiga si Z dan yang keempat si ZF. Amacam meriah tak? Tapi biasa la, dalam ramai-ramai tu tiada seorang pun yang aku luahkan perasaan untuk dijadikan couple. Cuma sekadar kenalan siber sahaja. Tapi apapun di dalam hati memang mula ada putik-putik cinta kepada C.

Penghujung tahun 2000, aku telah berjaya menamatkan pengajianku dengan mendapat keputusan cemerlang. Aku sendiri pun seperti tidak percaya dengan keputusanku itu dek kerana aku ni banyak enjoy sewaktu belajar. Tapi apapun itulah rezeki dari pemberian tuhan.
Setelah tamat pengajian, aku ditempatkan di sebuah negeri selatan tanah air. Tempat yang terlalu asing bagiku kerana seumur hidup aku tidak menjejakkan kakiku ke daerah ini. Aku tiada sesiapa di sini seperti sebatang kara. Memandangkan aku sudah terbiasa hidup di perantauan, maka itu bukanlah menjadi satu permasalahan besar bagiku.

Aku bersama-sama dengan beberapa orang rakan setugas menyewa di taman perumahan yang berhampiran dengan tempat kerja kami. Setelah beberapa bulan berada di sini, aku mula mampu menyesuaiakan diri dengan cara kehidupan yang baru.

Alam perkerjaan yang memerlukan aku sentiasa berpakaian kemas dengan baju kemeja, seluar slack dan bertali leher. Agak jauh berbeza dengan penampilan aku sebelum ini yang rugged. Walaupun aku sudah semakin sibuk dengan alam perkerjaan, tetapi hari minggu seakan begitu membosankan. Tiada aktiviti menarik yang aku boleh lakukan di sini. Oleh sebab itu, aku pun kembali ligat dengan aktivit alam siberku. Asal ada masa lapang atau hari minggu memang aku berkunjung ke CC. Selalu berutus email dengan kenalan-kenalan emailku terutamanya C.

Dari alam email bertukar pula ke alam surat-menyurat tradisional. Maka tercipta era bau dalam perhubungan aku dengan C. Sehingga aku dan C selayaknya mengarang cerpen melalui surat-surat kami kerana adakalanya kepanjangan surat tersebut menjangkau 15 muka surat. Bermacam-macam kisah suka-duka, lawak dan bermacam-macam lagi yang kami saling kongsikan. Agaknya karangan budak sekolah Tingkatan 5 pun kalah dengan tahap kepanjangan isi surat kami. Tetapi walau macam mana panjang pun isi surat tersebut, kami tidak pernah meluahkan apa-apa perasaan yang berkaitan cinta atau sayang....

Sehinggalah pada satu hari, seperti biasa aku menerima surat dari C. Di dalam surat tersebut dia telah meluahkan segala isi hatinya. Bahawa yang selama ini dia sudah lama menyimpan perasaan sayang dan cinta kepadaku lebih dari seorang sahabat. Isyk, macam mana aku nak membalasnya? Bagaimana aku nak menjawab kandungan surat C itu? Adakah aku akan menerima luahan hati dan perasaan cintanya? Atau adakah aku akan mengecewakan hasrat hatinya?


...Apa kata kita tunggu dalam cerita selanjutnya dalam kisah seterusnya...

Followers