Kisah 5.4 (Cinta Alam Siber III)
Saat sedang hangat bercinta itu memang indah dan manis. Lebih manis kalau nak dibandingkan dengan secawan kopi yang tertuang selori gula. Malah lebih manis dari madu yang meleleh dari sarang lebah dan menitis terus ke dalam mulut. Walaupun madu paling tidak disukai oleh kaum hawa.
Kenapa agaknya? Tetapi saat bercinta alam siber yang
berjauhan beribu juta batu jalan dan beribu juta molekul air Laut China Selatan yang memisahkan ntara aku dan C amat mencabar rasanya. Dalam kemanisan banyak kelatnya, dalam indah banyak kelamnya.
Sampai bilakah aku mampu bertahan dengan keadaan yang sebegini? Mampukah aku untuk setia seperti setianya aur dengan tebing? Atau setiakah aku seperti setianya Romeo dengan Julietnya (tapi setahu aku Mat Romeo confirm tak setia kan?) Lantas persoalan itu akan dijawab oleh hati aku sendiri. Memang aku pun tidak pasti adakah aku mampu untuk setia walaupun aku tau dia setia dengan cinta kami.
Keraguan hatiku sendiri akhirnya terjawab. Memang aku tidak setia. Aku tewas dengan permainan hati sendiri. Tanpa rasa bersalah aku telah curang di dalam diam. Dalam meniti ranjau percintaan jarak jauh dengan C aku masih melayan hobiku berchatting.
Di antara ramai-ramai kenalan melalui dunia chatting itu, tiba-tiba pulak ada seorang awek yang aku panggil sebagai FF telah hadir untuk menjadi kenalanku. Aku telah berikan nombor telefonku kepada tanpa rasa segan-silu dan bersalah.
Secara diam-diam (tapi masa aku berborak di dalam telefon dengan dia suasana taklah diam sangat) FF sering menelefonku. Dari hari ke hari hingga membawa bulan demi bulan kami sering berbual-bual malah semakin menimbulkan bibit-bibit kemesraan.
Oleh kerana permintaanku, pada suatu hari FF telah menghantar surat untukku yang di dalamnya disertakan dengan sekeping foto. Di dalam surat itu juga dia telah meluahkan segala isi hatinya bahawa dia mula sayangkan aku kerana kemesraan dan cara layananku semasa berbicara di dalam telefon telah memikat hatinya. Lagipun aku bagitau yang aku masih solo. Memang aku solo sebab belum kawin kan? Aku sengaja menempah bala?
Secara rasminya aku telah menerima luahan hati FF. Aku sendiri pun tidak faham kenapa terlalu mudah untuk FF meluahkan rasa hatinya dan terlalu mudah untuk aku menerimanya. Walaupun aku dah mula ada awek baru tapi aku masih tetap tak berubah dan masih meneruskan hubungan aku dengan C seperti biasa. Seoalah-olah tiada apa yang berlaku. Masih berjalan lancar seperti kereta Proton yang baru l diservis dengan minyak pelincir Petronas (aku tidak pasti betul atau tidak tetapi iklan selalu cakap macam tu).
Setelah genap 3 bulan berhubungan dengan FF melalui surat dan panggilan telefon (sebab FF tiada handphone) maka kami telah mengukir janji untuk bertemu di satu bandar yang bernama bandar S. Pertemuan itu pun dirancang memandangkan aku akan balik bercuti ke tempat kelahiran dengan menumpang kereta kawan yang secara kebetulan akan balik bercuti ke kampungnya. Maklumlah masa ni aku belum ada lesen kereta apatah lagi kereta memang lagilah belum ada. Jadi kami bertemu di sebuah stesen minyak Petronas di bandar S.
Kali pertama memandangnya secara berhadapan jantungku berdebar-debar seperti ingin terkeluar dari rongga toraks. Hatiku berkata bahawa FF ni jauh lebih cute dari rupanya di dalam gambar. Malangnya kami tidak sempat untuk berbual panjang dan melepaskan rindu kerana aku pun segan hendak membiarkan kawan aku itu menunggu dalam kereta lama-lama. Aku sedar dan insaf yang aku hanya menumpang keretanya. Lagipun perjalanan untuk balik ke kampung masih jauh.
Jadi pertemuan pertama aku dengan FF hanyalah berlangsung selama 30 minit tetapi itu sudah cukup bermakna bagiku. Sebelum aku beredar, sekali lagi aku terkesima kerana secara tiba-tiba FF menarik tanganku dan bersalam sambil terus mencium tanganku. Seperti terkena renjatan elektrik, aku terpaku kerana seumur hidupku inilah kali pertama aku bersalaman dengan seorang perempuan yang bukan muhrimku.
"Selepas ini balik ke rumah aku kena balut tangan ini dengan plastik sebab tidak mahu kesan salaman tadi hilang.” Aku berkata kepada diriku sendiri.
Lapan jam menempuhi perjalanan yang panjang memang agak memenatkan. Sampai sahaja di kampung aku merasa keseronokan yang tidak tergambar dengan kata-kata dan sedikit kelegaan memenuhi ruang minda kerana di sini suasananya damai. Tiada gangguan ngauman enjin kenderaan. Sementelah lagi aku pun sudah agak lama tidak bercuti bercuti panjang ke kampung.
Dalam ketenangan itu cuma terganggu sedikit lubuk hati kerana bibit-bibit perasaan bersalah mula timbul kerana tanpa sedar aku berlaku curang. Dalam masa yang sama aku mempunyai 2 orang awek. Eh, buayakah aku? Akukah buaya? Atau buaya itu sememangnya seekor buaya? Macam mana aku nak menyesuaikan diri dengan kehidupan baruku yang telah mempunyai 2 orang awek sekaligus walaupun seorang lagi begitu jauh di mata? Agak-agak apa yang berlaku selepas ini?
...Seperti biasa bersambung lagi di dalam episod 5.5..