Ikan siakap masak tiga rasa telah terhidang di hadapanku yang diibaratkan seekor kucing yang sekian lama menanti hidangan tersebut. Ada ke kucing menolak hidangan ikan? Apalah ertinya hidangan tersebut andainya ku makan sekiranya hidangan itu bukan milikku yang sepatutnya. Aku tidak berhak! Pelawaan G untuk menginap di hotel benar-benar memeranjatkan dan membuatkan aku tertelan air liur untuk kali berapa ratus entah? Adakah ini benar atau hanya sekadar mimpi? Atau sekadar illusi optik? Aku memang insan yang lemah dengan dugaan dan godaan. Aku sedar aku manusia yang jahil dan hina. Iman pun hanya senipis kulit bawang. Tapi.... aku tidak semudah itu untuk hanyut di dalam lembah noda dan dosa yang besar.
“Sorrylah. I tak biasa buat benda-benda macam ni. Walaupun I jahat tapi, belum sampai tahap tidur bersama lagi,” aku berkata dengan tegas sambil memandang G.
“Baiklah ustaz. I tak kacau you lagi. Dah la jom balik.”
Sepanjang perjalanan balik, G hanya terdiam membisu seribu bahasa. Mungkin dia malu sendiri atau geram kerana aku telah menolak ajakannya mentah-mentah. Aku sendiri pun seperti sudah tidak mampu lagi untuk memecahkan tembok kebisuan itu. Akhirnya apabila sampai ke kawasan perumahan yang didiaminya, G masih tidak menuturkan sebarang kata ketika keluar dari keretaku dan hanya berlalu tanpa berpaling lagi. Melihatkan kelakuan G yang begitu maka aku andaikan bahawa tidak mungkin kami akan bertemu lagi selepas ini.
Biarlah aku tak dapat bertemu dengan G lagi selepas ini. Aku masih ada beberapa nama di dalam list yang sesuai dan berpotensi untuk mengisi ruang masa hujung mingguku. Nama yang teratas ialah MS, seorang kakitangan bank yang agak termasyhur di Malaysia. Dia bertugas di JB dan sebelum ini kami selalu berbalas-balas SMS. Cuma aku belum berusaha untuk mengatur pertemuanku dengannya dek kerana kesibukan melayan N dan G.
Hujung minggu itu aku mengatur pertemuan yang pertama dengan MS bertempat di Plaza Angsana. Dia berjanji akan memakai berwarna merah maroon dan menunggu berhampiran Kamdar. Menariknya, aku hanya mengaku berkerja sebagai technician kilang. Demi menjayakan rancangan penyamaranku itu, maka aku tanpa malu dan segan telah meminjam motorsikal kawanku yang berjenama Honda EX5 tetapi untuk mememperolehi persetujuannya ada dua syarat yang harus aku patuhi.
“Nak pinjam motor aku boleh tapi tuang minyak penuh-penuh pastu bawak helmet ni jangan tinggal kat motor masa parking. Helmet mahal ni kalau hilang engkau kena ganti,” begitulah kata-kata peringatan yang keluar dari ulas bibir kawanku.
“Baik boss. Aku akan jaga motor dengan helmet kau seperti aku jaga harta benda aku sendiri.”
Maka berbekalkan motor dan helmet pinjaman, aku merempitkan diri menuju ke Plaza Angsana dengan kekok sekali kerana baru aku sedar bahawa sudah agak lama aku tidak menunggang motorsikal rupanya. Dengan gaya seorang Mat despatch aku membawa helmet bersama yang disangkutkan di lengan aku terus menuju ke tempat MS sedang menanti. Tiba sahaja di tempat berkenaan (sedikit jauh dari tempat yang dijanjikan untuk aku usha line dulu), aku terus menghubungi nombor telefon MS.
“Hello. Awak dah tunggu kat situ ke?” sambil mataku melilau mencari awek yang berbaju maroon yang sedang menjawab panggilan. Mataku tertancap ke satu susuk tubuh yang agak tinggi, berkulit cerah dan keayuannya terserlah walaupun dari jauh.
“Dah dari tadi lagi. Cepatlah datang saya tunggu ni. Awak dah nampak saya kan?”
“Dah nampak. Ok I’m on my way.”
Entah mengapa aku terasakan debaran yang aneh dengan pertemuan kali ini. Walhal ini bukan kali pertemuan aku blind date dengan kenalan chatting. Semakin menghampiri MS semakin aku mengigil-gigil.
“Assalamualaikum, saudari MS kan?” Aku menegurnya setelah pasti bahawa gadis berbaju maroon itu adalah MS.
“Waalaikumussalam. Iya saya. Ni kawan saya namanya Sha. Awak tak kisah kan saya bawak kawan sebagai teman?”
“Tak apa. Saya tak kisah pun. Jomlah kita makan kat McD boleh?” Terus aku mempelawanya memandangkan perut ku sudah kelaparan kerana belum breakfast pagi tadi.
Pertemuan enam mata, hanya saling memandang. Tidak banyak yang hendak dibualkan. Aku cuba menghidupkan suasana sunyi itu dengan memulakan pertanyaan.
“Awak datang tadi naik apa?”
“Naik teksi je. Awak naik motor je ke?”
“Aaa. Saya ada motor je.”
“Oh macam tu.”
Suasana kembali menjadi sunyi. Aku pun sudah tidak tahu apa lagi yang hendak dibualkan? Soal kerja? Arggghh memboringkan. Soal hidup? Membosankan. Jadi apa lagi yang harus dibualkan?
“Lepas makan ni saya nak terus balik tau sebab ada hal sikit,” tiba-tiba MS bersuara di kala aku masih memikirkan bagaimana harus memulakan kembali perbualan.
“Laaa cepatnya nak balik? Tak nak ronda-ronda Angsana dulu ke?”
“Takpalah. Lagi pun ada hal yang nak saya selesaikan nanti.”
Aku sudah putus kata-kata. Mungkin kehampaan kerana dari jauh aku menunggang motorsikal hanya semata-mata untuk blind date dalam masa 40 minit sahaja? Memang tidak berbaloi.
“Terima kasih kerana sudi belanja saya dan Sha.”
“Small matter je. Lain kali kalau sudi boleh saya belanja lagi.”
“Insya-Allah. Okey saya balik dulu.” MS menuturkan kata-kata itu selepas masuk ke dalam teksi.
Apa aku nak buat sekarang? Nak jalan-jalan pun aku sudah tidak ada mood lagi. Kesudahannya, aku terus memecut motorsikal pinjam itu dengan kelajuan 60km/j terus menghala ke rumah. Laju macam semut kan? Setibanya di rumah aku terus menghantar SMS kepada MS. Lama menanti sehingga 30 minit baru SMS ku berjawab. Itupun dengan jawapan yang sangat ringkas. Berbekalkan muka tahap tembok setebal ½ milimeter aku cuba menghubunginya tetapi hampa apabila panggilanku hanya dijawab secara ringkas oleh MS.
“Hello. Maaf boleh tak call lain kali kerana saya tengah busy la.”
“Ok, sorry ganggu.”
Dari situ aku sudah mendapat signal yang jelas bahawa MS tidak sudi berkawan denganku. Maklumlah orang cantik manalah mahu berkawan dengan orang sepertiku yang tidak mempunyai paras rupa yang menarik, kerja kilang dan hanya ada motorsikal. Itupun motorsikal pinjam. Selepas blind date pertama itu, MS tidak pernah lagi membalas SMS aku ataupun menjawab call. Kalau dulu sebelum bertemu kami sangat berkiriman SMS dan bergayut di telefon. Betapa hinanya diriku diperlakukan sedemikian rupa. Salah ke orang buruk sepertiku ingin berkawan dengan dia yang cantik itu? Bukannya aku sangap sangat nak jadikan dia couple aku pun? Buruk sangat ke rupa aku ni sehinggakan MS terus membuang aku? Memang buruk pun! Dah orang tak sudi buat apa aku terus terhegeh-hegeh mencari dan menanti? Sedangkan masih banyak lagi bunga-bunga lain yang sedia menanti sang kumbang.
Senarai seterusnya ialah NH, iaitu seorang pelajar UUM yang sedang bercuti semester. Demi mengelakkan kejadian seperti MS berulang kembali aku juga berjinak-jinak untuk mengadakan blind date dengan L, AS dan juga entah beberapa nama lagi yang aku pun sudah hampir lupa. Biarlah aku berpegang teguh dan prinsip berkawan biar sejuta, buat blind date biar seribu, berkasih biar lima. Kasih? Bersediakah aku untuk menjalinkan semula cinta? Setelah remuk redam di hati masih berbekas dengan parut-parut cinta terluka?
...Bila berakhir?...
Tiga Permintaan Isteri
6 years ago
0 comments:
Post a Comment