Kisah 8.7 (Kebuntuan)

Cinta tanpa restu? Bolehkah aku meneruskan percintaan ini? Sedangkan ibu dan akak menyarankan agar aku berundur diri untuk kebaikan bersama. Bermakna aku harus mengorbankan cinta dan perasaan aku untuk kesekian kalinya. Inikah harga nilai percintaan yang harus aku bayar di atas kesilapan-kesilapan yang lalu?
Memang benar cinta memerlukan pengorbanan. Soalnya jalan pengorbanan mana yang harus aku pilih? Sanggupkah aku meneruskan perhubunganku dan seterusnya berkahwin dengan U? Bermakna aku harus mengorbankan perhubungan antara seorang anak dan abahnya. Kalau aku membuat keputusan untuk menamatkan kisah cintaku dengan U bermakna aku harus mengorbankan diri sendiri dan perasaan U. Sukarnya dalam membuat pilihan.

Buat sementara waktu, aku masih meneruskan perhubunganku dengan U seperti biasa. Tetapi akhir-akhir ini aku terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga mengabaikan U. Ah, jantan seperti aku kadang-kadang sering terlupa dan tidak belajar dari pengalaman terdahulu. Memang aku mengerti perempuan memerlukan perhatian dari orang yang tersayang. Tapi aku? Ada ketikanya seperti terlalu ambil mudah. Dasar lelaki!

Patut ke hampir dua minggu aku tidak menghantar SMS dan menelefon bertanya khabar dengan U dek kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja yang memaksa aku sentiasa berurusan di luar daerah. Sumpah aku tidak berlaku curang, tetapi hanya terlalu sibuk!
U yang sememangnya hampir merajuk dan marah dengan tindak-tanduk ku yang seperti mengabaikannya seperti tidak mampu bersabar lagi. Tanpa diduga U menghantar SMS yang menyedarkan aku bahawasanya aku telah terlupa seketika.
“Saya ni masih awek abang ke?” Terbeliak biji mataku membaca SMS kiriman U.
Menyedari kesilapan diri yang boleh membahayakan perhubunganku, lantas aku segera menghubungi U. Puas aku memujuknya dan meminta dia memaafkan diriku di atas kelalaianku seperti mengabaikannya di waktu kesibukan melanda. Hati wanita sekeras kerak nasi? Adakah benar pepatah itu? Pujuk-rayuku masih tidak berkesan. Lantas membuat aku semakin tertekan dan mula mencari jalan keluar untuk menyelesaikan segala kemelut.

Ya, aku akan memberikan satu kejutan untuk U. Hujung minggu itu tanpa memberitahu U, aku menuju ke hostelnya. Sebelum itu aku telah membelikan sejambak bunga dan coklat. (Aku main redah sahaja masa ni sebab kalau dalam cerita biasanya perempuan akan cair dengan bunga dan coklat.) Adakah U akan cair?
Tanpa mempedulikan sama ada U akan cair atau tidak aku terus menelefonnya setelah tiba di perkarangan hostel. Dengan muka yang seperti baru lepas dicuci, dengan tudung yang agak serabut, berseluar track dan berbaju T tanpa kolar yang berlengan panjang U turun mendapatkan aku.

“Lawak apa pulak abang buat pagi-pagi ni dah datang jumpa saya? Orang belum mandi pun lagi. Dah la tak cakap nak datang,” ngomel U yang masih terkejut dengan kehadiranku.
“Pagi apanya kan dah pukul 8.30 ni hehehehe. Belum mandi pun tetap ayu dan jelita jugak,” sambil aku menatap wajah yang masih belum terukir dengan sebarang senyuman walaupun aku telah membuat lawak. Masih belum surut api kemarahannya, barangkali?
“Kalau abang nak ajak keluar saya tak mahulah. Hari ni takde mood nak keluar,” tuturnya masih lagi tanpa senyuman.
“Ok, tak nak keluar pun takpelah. Abang cuma datang sebab nak bagi something aje sebagai tanda abang nak minta maaf.”
Lantas aku bergegas menuju ke kereta, mengluarkan jambangan bunga ros berwarna putih dan merah yang terselit coklat di dalam bakulnya.
“Tanda abang minta maaf. Sorry abang dah abaikan awak semenjak seminggu-dua ni. Bukan abang sengaja tapi abang memang betul-betul busy,” rayuku sambil menghulurkan jambangan bunga tersebut.
“Nasib baiklah abang pandai pujuk. Thank you. Cantik bunga ni. Tapi lepas ni jangan ulangi lagi,” ucap U dengan senyuman yang mula terukir di wajahnya.

Betapa lega rasanya apabila melihat senyuman mula terukir dari wajah itu. Syukurlah kerana caraku untuk memujuk U telah berkesan.
“So? Masih takde mood nak keluar ke?”
“Hmmm. Kalau nak keluar jugak boleh tapi keluar dekat-dekat ajelah. Banyak assignment nak siapkan.”
“Kalau gitu, awak pergilah bersiap dulu. Nanti abang tunggu dalam kereta.”

“Kita ni macam mana bang?” Soal U ketika kami enak bercengkerama sambil menikmati hidangan nasi lemak.
“Macam mana apa lagi?” Kataku masih seperti orang yang kurang cerdik.
“Soal masa depan kita la. Sampai sekarang abah masih tetap dengan keputusannya. Emak pun dah putus asa. Bukan abang tak tau sikap abah tu. Kalau hitam katanya, sampai bila-bila pun tetap hitam.”
“Bukan abang tak fikirkan masa depan kita. Malah soal inilah yang menjadi dilema terbesar dalam hidup abang sekarang. Abang pun sudah buntu memikirkannya. Malah mak dan akak abang pun tidak memberikan abang galakan untuk meneruskan perhubungan ini.”
“Kalau dah abang cakap macam tu, ada baiknya kita putuskan sahaja ikatan ini.”
“Tapi abang sayangkan awak. Abang dah letih nak membina ikatan yang lain. Abang dah penat bercinta!”
“Habis saya? Dah la umur pun semakin tua. Kalaulah pengorbanan ini membuatkan abah saya gembira, rasanya inilah yang terbaik untuk kita berdua.”

Terdiam aku seketika dengan kata-kata U. Nampaknya seperti U pun mulai hilang keyakinan dengan perhubungan ini. Seperti tidak ke mana.
“Saya mintak maaf bang. Mungkin saya tak berhak bercakap macam tu. Saya tak berniat nak kecilkan hati abang, tapi sepertinya kisah ini akan tiada penghujungnya melainkan kita kahwin juga walaupun abah saya tak merestuinya. Abang sanggup?”
“Abang akui. Apa yang awak katakan itu memang ada betulnya. Nak tak nak pun abang tetap kena bagi keputusan. Takkan nak biarkan perhubungan kita terus tergantung macam ni je. Kita dah sama-sama dewasa. Seperti yang abang perkatakan dulu, memang sukar untuk berkahwin tanpa restu kedua orang tua kita.”
“So?”
“Bagilah abang sedikit masa lagi. Insya-Allah abang akan fikirkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan keputusan.”

Semakin serabut dan keliru. Semakin menemui kebuntuan. Jalan mana harus ku pilih? Jalan saranan mak dan Kak Ngah? Atau pilihan hati sendiri? Memang kalau ikutkan hati aku seperti nekad untuk berkahwin juga dengan U walau apa pun yang terjadi. Tapi bolehkah kami menemui kebahagiaan?
Hampir 2 minggu aku memikirkan apakah keputusan yang paling wajar yang harus aku ambil. Hujung minggu ini aku perlu bertemu dengan U untuk menyampaikan keputusanku. Sepertinya U juga mempunyai perkara yang penting yang ingin disampaikan kepadaku pada pertemuan nanti. Mungkin perkara yang menentukan hala tuju kisah cinta kami......


...Terus Bersambung...

2 comments:

joegrimjow said...

tanya hati dan akal
sebab 2 tu tau lebih banyak
jgn ikut kata nafsu
nanti merana

1tomyam said...

solat istikharah penyelesaian terbaik bro...

Post a Comment

Followers