Kisah 8.6 (Takdir Bukan Milikku)



Sedang aku kegusaran menanti SMS dari U tiba-tiba tanpa disangka handphone ku berbunyi menandakan ada mesej yang masuk.
            “Sorry tadi saya kat toilet tengah mandi. Weekend ni tolong ambik saya kat hostel, lepas tu kita keluar ke mana-mana pun. Ada hal mustahak yang kita perlu bincangkan,” dengan perlahan-lahan SMS dari U itu ku baca.
            “Tak boleh bincang sekarang ke? Nak tunggu weekend lambat lagi. Abang call sekarang kita bincang ok?” Pantas aku menekan butang send.
            Agak lama aku menanti tapi masih tiada balasan SMS dari U. Aduhai, kenapa la dia buat aku macam ni? Dek kerana kegelisahan menanti, aku cuba menghiburkan hati dengan menonton DVD yang baru ku beli sebelum pergi berkursus pada minggu lepas. Hampa, jalan cerita pun aku tak dapat ikuti dengan sepenuh hati. Terus aku menutup TV dan terkebil-kebil menanti ibarat menunggu buah plastik jatuh ke riba.
            “Abang sorry banyak-banyak. Tadi ada kawan datang ke bilik tanya pasal assignment. Dah tak sempat nak SMS kat abang. Tak payah call dulu. Nanti weekend ni kita jumpa dan bincang ok?” Pantas ku baca SMS dari U setelah agak lama menanti sebentar tadi.
            Seakan aku dapat meneka apakah perkara yang ingin dibincangkan oleh U. Aku yakin tentu berkaitan dengan perhubungan kami. Tidak lain tidak bukan ialah perkhabaran tentang restu dari abahnya, Haji E. Apa yang bermain-main di dalam pemikiranku ialah tentu perkhabaran buruk. Mungkin Haji E tidak merestui perhubungan kami. Tetapi aku memujuk hati sendiri supaya tidak berfikiran negatif dahulu. Biarlah pertemuan kami pada hujung minggu ini akan meleraikan segala persoalan dalam benakku.
            Terlalu lama rasanya aku menanti tibanya hari minggu. Masa seakan malas bergerak. Menunggu hari-hari berlalu begitu mencabar sekali. Kalaulah aku mampu mempercepatkan waktu... sudah pasti satu dunia akan kelam-kabut. Mahunya tidak, dari hari Selasa terus menjadi hari Ahad.
            Akhirnya, masa yang ku nanti-nantikan telah pun tiba. Debaran semakin memuncak. Aku menjemput U di hostelnya seperti biasa.
            “Cepatlah bagitau abang, hal apa yang kita nak bincang?” Terus aku menyerbu U dengan persoalan itu sebelum sempat dia melabuhkan punggungnya ke seat keretaku.
            “Isyk abang ni yang gelojoh sangat ni kenapa? Saya tak sempat lagi nak duduk. Bawak-bawak la bertenang. Nanti kita bincang bila tiba di tempat yang sesuai,” balas U yang geram dengan kegelojohanku barangkali?
            “Sorrylah abang cuma nak tau sangat-sangat macam mana dengan status perhubungan kita,” kataku mula mengendurkan suara yang dari tadinya seperti terlalu excited.
            Tanpa banyak berbicara lagi, aku memandu kereta menuju ke arah Desaru. U pun tidak membantah bila aku mengajaknya ke sana. Mungkin suasana di tepian pantai nan damai mampu menghadirkan suasana yang kondusif untuk kami berbicara soal yang serius.
            Perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam itu hanya terisi dengan sesi pandang-memandang dan menjeling-menjeling. Tiada sepatah kata yang terucap. U yang selama ini agak petah berbicara tiba-tiba menjadi terlalu pendiam membuatkan aku merumuskan satu kesimpulan. Serasanya perhubungan ini akan menemui ranjau dan duri. Tiada restu dari abah U.
            Setibanya di Desaru, kami beriringan menuju ke tepian pantai. Memang damai suasana ketika itu. Terasa keharmonian alam mencipta suatu keadaan yang mungkin tidak tergambar dengan kata-kata. Di bawah pepohonan yang merendang, disapa bayu lembut dari lautan dan desiran ombak yang lemah membisikan kesetiaan pada pasir, bermulalah bicara.
            “Abang betul-betul sayangkan saya?”
            “Demi Allah, memang abang ikhlas sayangkan awak. Malah di hati abang sekarang hanya ada awak.”
            “Sanggup abang hadapi segalanya dengan saya? Walau sesusah macam mana pun?”
            “Abang akan perbuat apa sahaja selagi tidak melanggar adat dan syariat. Abang akan lakukan sedaya yang termampu,” kataku meyakinkan U tentang keikhlasan cintaku selama ini terhadapnya.
            “Jadi abang tetap sanggup kahwin dengan saya walaupun abah saya tidak memberikan kita restu?” Tanya U seakan menguji.
            “Seperti yang abang perkatakan tadi, selagi tidak melanggar adat, insya-Allah abang akan sanggup.”
            Perbualan kami terhenti seketika. Sepertinya U cuba untuk mengumpulkan kekuatan diri sebelum memulakan perbualan. Tanpa menunggu U berkata-kata aku segera bertanya.
            “Apa sebenarnya yang abah awak cakap hari tu?”
            “Dia kata tak kisah kalau nak dapatkan restu dari dia. Dia boleh jadi wali dan kahwinkan kita cuma....,” kata-kata U terhenti di situ. Dari kelopak matanya mula bergenang air keramat.
            Aku mula menjadi tidak keruan. Memang aku tidak betah melihat air mata mengalir dari mata seorang perempuan. U yang akan sangkakan selama ini ‘kebal’ dan susah hendak menangis mula tertewas dengan kesayuan yang melanda.
            “Cuma apa?”
            “Cuma selepas dia kahwinkan kita, dia tak mahu tengok muka kita lagi. Dia anggap kita sudah tidak ada apa-apa ikatan lagi dengan dia,” kali ini U semakin teresak-esak dan tenggelam dalam tangisan.
            “Kenapa sampai begitu sekali dia tak sukakan abang? Apa salah abang?”
            “Bukan salah abang, tapi sebab pegangan politik ayah abang.”
            “Apa kaitannya pulak? Bila masa pulak abah awak pergi siasat latar belakang ayah abang?”
            “Sejak hari tu lagi. Lepas kita dah balik JB,” ujar U dengan esakan yang semakin perlahan.
            “So? Apa kita nak buat sekarang?” Tanyaku kepada U seperti orang yang tak berapa pandai.
            “Nak buat macam mana? Abang la bagi keputusannya. Saya ni ikut aje apa sahaja keputusan yang abang buat,” tutur U dengan suara yang lemah.
            Susahnya menjadi lelaki. Mahu tidak mahu aku kena memberikan kata putus. Adakah aku harus meneruskan ikatan ini? Persoalan demi persoalan mula merajai fikiran.
            “Sukar untuk abang memberikan kata putusnya sekarang. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Abang harap awak bersabar. Walau apa pun memang abang sayang sangat-sangat kat awak,” aku berkata dengan sayu.
            “Kenapa nasib saya selalu macam ni bang? Dulu pun saya putus tunang sebab abah jugak. Susahnya menjadi anak Haji E,” U merintih dengan sayu.
            “Jangan cakap macam tu. Ini semua dugaan yang kita harus hadapi bersama-sama. Kalau sudah tertulis suratan jodoh kita berdua, insya-Allah takkan ke mana,” kataku sekadar untuk menyedapkan U dan mungkin diri sendiri?
            “Entahlah bang. Kalau macam inilah keadaannya, sampai ke tua tak ada chance la saya nak kahwin agaknya?


******************************

            Aku semakin buntu. Entah sudah berapa batang rokok sudah ku habiskan. Permasalahan yang melanda, belum ku temui jalan penyelesaiannya. Patutkah aku meneruskan perhubungan ini? Diluah mati emak, ditelan mati bapak. Kalau tak luah aku yang mati!
            Sampai begitu sekali Haji E menentang perhubungan kami. Hanya kerana perbezaan ideologi politik. Apakan daya, itu haknya. Sanggupkah aku meredah arus tentangan Haji E?
            Aku perlukan seseorang untuk aku mengadu. Tapi siapa? Housemate? Dia pun sudah semakin jarang berada di rumah semenjak mendapat awek. Housemate yang lagi seorang aku tidak berapa rapat. Abang Long? Tak mahulah, ngeri rasanya. Kak Ngah? Ye Kak Ngah... dah lama aku tidak menghubungi Kak Ngah. Aku agak akrab dengannya berbanding dengan adik-beradik yang lain. Kalau dulu, selalunya Kak Ngah la yang menjadi tempat aku meluahkan segala masalah.
            “Assalamualaikum,” ucapku memulakan sesi perbualan telefon dengan Kak Ngah.
            “Waalaikumussalam. Eh, apa mimpi pulak engkau telefon akak ni? Ni tak tak bukan ada masalah la tu. Kalau tak, memang susah la nak tunggu engkau telefon akak,” begitu pedih sekali sindiran yang dilemparkan oleh Kak Ngah.
            “Alaaa Kak Ngah ni. Orang bukan tak nak telefon, tapi kadang-kadang dah tak tau apa benda untuk dibualkan,” seperti biasa aku memberikan pelbagai alasan.
            “Kali ni apa masalahnya?”
            “Takde apa kak. Cuma sekarang orang tengah ada problem besar.”
            “Problem dengan makwe ke?”
            “Lebih kurang gitu la kak. Masalahnya kami nak kahwin tapi abahnya tak bagi restu.”
            “Dah kalau orang tak sudi, buat apa nak terhegeh-hegeh. Akak bukan apa, takut nanti akan timbul masalah di masa hadapan. Jemmy kan dah besar panjang, dah boleh fikir sendiri.”
            “Tapi orang sayangkan dia kak.”
            “Sayang tu sayang jugak tapi kalau dah tanpa restu orang tua... boleh ke bahagia?”
            “Jadi Kak Ngah rasa saya patut putuskan hubungan?”
            “Baik putuskan aje sebelum keadaan menjadi lebih sukar. Tapi akak tak paksa, cuma memberikan pandangan peribadi akak. Apapun keputusan yang Jemmy buat, akak akan sokong. Tapi fikirlah masak-masak sebelum membuat keputusan.”
            “Oklah kak kalau macam tu terima kasih banyak-banyak. Kirim salam kat abang dan anak-anak akak. Nanti orang nak call mak kejap lagi. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam.”
            Selesai meminta pandangan Kak Ngah, aku terus menelefon mak. Aduh nampaknya emak pun mempunyai pandangan yang sama seperti Kak Ngah. Sepertinya emak pun tidak mahu aku meneruskan perhubungan tanpa restu. Mungkinkah jodoh kami sampai setakat ini sahaja?


...Masih bersambung?...


0 comments:

Post a Comment

Followers