Kisah 8.3 (Pelangi Cinta)

Bolehkah aku menggapai pelangi cinta? Terbentang 7 warna yang amat memukau. Barangkali saat indah bercinta, segalanya menjadi indah. Seakan dunia menjadi milik berdua. Tetapi adakah saat yang terindah itu akan berkekalan untuk selamanya? Biarpun hanya untuk sementara, kita harus menikmati keindahan cinta seolah-olah ianya berkekalan untuk selama-lamanya.
Waktu begitu cepat menghambat. Seolah-seolah seperti baru semalam aku membuat deklarasi rasmi dengan U. Sudah hampir 2 bulan kami bercinta. Kini bulan 6 sudah menjelma bermakna misi aku dan U akan bermula. Kami akan balik ke kampung, walaupun tidak secara bersama tetapi matlamat kami tetap sama iaitu untuk memaklumkan tentang perhubungan kami dengan orang tua masing-masing.


Petang itu aku ke asrama penginapan U untuk mengambil komputernya dan kemudian untuk menghantar U ke Terminal Larkin. Walaupun jaraknya hanya sekangkang Gorilla (kalau kangkang kera dekat sangat) tapi aku tetap beria-baria untuk menghantar U. Sementara menunggu waktu bas yang dinaiki bertolak jam 9.00 malam, kami makan malam bersama-sama terlebih dahulu.

“Nanti awak dah sampai kampung jangan lupa kirim salam kat emak dan abah.”

“Iyelah. Abang bertolak esok pukul berapa?”

“Tengoklah, maybe dalam pukul 9.00 pagi kot? Nak bertolak lewat sangat pun takut nanti sampai dah nak maghrib.”

“Drive kereta elok-elok tau. Nanti dah sampai jangan lupa SMS. Jangan bawak kereta laju-laju sangat.”

“Baiklah Cik Puan. Segala pesanan Cik Puan akan saya sematkan dihati. Pandu cermat jiwa selamat. Ingat orang yang tersayang.”

“Tengok tu, orang cakap serius dia main-main pulak.”

“Eh, main-main apa pulak. Betul la tu.”

Masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Aku menghantar U sehingga dia selamat duduk di seat di dalam bas. Nasib baiklah yang duduk disebelahnya seorang perempuan. Kalau lelaki buatnya aku tak senang duduk. Maklum sahajalah lelaki ni ada yang jenis garpunya cepat merayap, lebih-lebih lagi naik masa waktu malam, gelap dan dingin dengan air-condnya yang agak sejuk. Kenapa aku tahu? Akukan lelaki dan zaman dulu-dulu selalu naik bas, tapi sumpah aku tak pernah membuat perkara terkutuk seperti yang aku nyatakan. Cuma berdasarkan pengalaman yang pernah aku dengar dan baca.


Aku melihat U melambai-lambaikan tangannya. Aku pun membalas lambaian U. Bas mula bergerak keluar dari Terminal Larkin. Setelah bas mula bergerak semakin jauh dan mula menghilang dari pandanganku, aku terus menuju ke arah kereta untuk pulang ke rumah. Aku perlu tidur awal dan berehat secukupnya kerana esok aku perlu melakukan perjalanan yang jauh bersama satu misi. Soal berjaya atau tidak itu hal kedua. Yang penting aku dan U telah berpakat untuk masing-masing menyampaikan isi hati kami kepada orang tua kami.

Tepat jam 6.30 U telah menghantar SMS kepadaku memaklumkan yang dia telah selamat sampai. Aku yang masih mamai kerana baru sahaja terlelap setelah selesai solat subuh membalas SMSnya tanpa sedar. Entah apa yang aku tulis pun aku sudah lupa. Yang pasti aku perlu tidur secukupnya supaya dapat mengharungi perjalanan yang jauh tanpa rasa keletihan atau mengantuk. Jam 9 pagi aku bertolak untuk balik ke kampung dan tepat jam 6.00 petang aku selamat tiba. Tanpa berlengah-lengah lagi aku menghantar SMS kepada U memaklumkan bahawa aku telah selamat sampai.

Keesokkan harinya U meminta aku datang ke rumahnya untuk menghantar komputernya. Aku sebenarnya semakin cuak untuk berhadapan dengan abahnya. Mujurlah U belum memaklumkan kepada abahnya tentang perhubungan kami. Seperti biasa setelah memberikan salam aku melihat abah U iaitu Hj. E yang menyambut kedatanganku. Lututku semakin menggigil. Entah ke mana hilangnya semangat lelaki macho atau berlagak berani selama ni.

“Masuklah dulu!” Suara garau milik Haji E yang takkan aku lupakan menyambut kehadiranku.

“Takpelah Tuan Haji. Saya nak ambik komputer U dalam kereta, ni nak hantarkan.” Aku menjawab dengan suara yang agak gementar.

“Kalau gitu, letaklah nanti komputer tu kat tepi sana,” ucap Haji E sambil menunjukkan ke arah satu sudut di rumahnya.

Perlahan-lahan aku meletakkan CPU dan kemudiannya monitor komputer milik U di sudut yang diarahkan tadi.

“Jemput duduk dulu. Nanti saya suruh U buatkan air.”

“Terima kasih.”

Tidak lama menanti, ku perhatikan U datang menghantar dulang yang tersusun di dalam satu jag yang terisi dengan air oren dan 4 buah gelas.

“Jemput minum dulu,” U mempelawaku sambil dia duduk bersama kami. Sekurang-kurangnya rasa menggigil yang aku alami sedikit berkurangan. Kelegaan sementara menjadi milikku.

“Tak menyusahkan awak ke kena hantar komputer U sampai ke rumah ni?” Seperti biasa dengan nada yang tegas Hj. E memulakan bicara tanpa sempat menunggu aku menghabiskan tegukan yang pertama. Nasib baik tak tertumpah di atas karpetnya yang mahal. Maklumlah dalam keadaan takut-takut begini, macam-macam boleh jadi.

“Takdelah Tuan Haji. Kebetulan saya pun balik bercuti,” jawabku dengan nada suara yang agak tenggelam sepertinya tidak mahu keluar dari peti suaraku sambil memandang ke arah U yang duduk mendiamkan diri dari tadi.

“Kalau macam tu takpelah. Saya cuma tak mahu U menyusahkan awak je.”

“Saya menolong setakat yang termampu je Tuan Haji. Lagipun tempat tinggal saya tu takdelah jauh mana dengan tempat U belajar.”

Mujurlah kali ini Haji E tidak mengeluarkan lagi pertanyaan-pertanyaan seperti dulu yang bisa membuatkan degup jantungku semakin kencang. Agak tidak lama selesai minum dan berbual seketika, aku meminta diri untuk pulang. U mengiringi kepulanganku hingga ke pintu pagar. Setelah memastikan bahawa abahnya telah masuk ke dalam bilik U menanyakan beberapa persoalan untukku.

“Abang dah bagitau kat mak dengan ayah abang ke?”

“Belum lagi. Tengah tunggu masa yang sesuai.”

“Saya pun tak bagitau lagi. Tengoklah nanti lagi sehari-dua lagi saya bagitau.”

“Well, terpulanglah. Benda macam ni kalau nak bagitau tergesa-gesa sangat pun tak berapa elok jugak kan?”

“Saya tau. Apa pun terima kasih sebab dah hantarkan komputer. Bila abang nak ajak saya datang rumah abang?”

“Eh, kalau nak datang sekarang pun boleh. Takde masalah.”

“Sekarang tak bolehlah. Tengoklah esok atau lusa saya datang rumah abang ok? Nanti saya bawakkan adik saya sebagai teman.”

“Oklah abang balik dulu. Nanti confirmkan bila nak datang rumah abang.”

Dalam perjalanan balik ke rumah, otakku sarat memikirkan berbagai-bagai kemungkinan. Agaknya apa reaksi mak dan ayah aku kali ni? Boleh ke mereka terima U? Bagaimana pulak dengan Haji E. Boleh ke dia terima aku?



...Bersambung lagi la nampaknya...

0 comments:

Post a Comment

Followers