Kisah 8.5 (Terhalang Lagi...)


Perkhabaran gembira dari emak dan ayahku yang telah memberikan lampu hijau segera ku maklumkan kepada U. Aku semakin pasti bahawa jodoh antara kami semakin hampir. Kalau dulu sebelah kaki melintasi garisan halangan, kini aku telah berada 1 ½ kaki melintasinya. Apa yang aku perlukan kini hanyalah lampu hijau dari abah U.
            “Mak dengan ayah abang dah bagi green light, so sekarang tunggu abah awak ajelah memberikan kata putusnya,” kataku pada U pada sesi temu janji kami yang telah termeterai di tepi pantai berhampiran kawasan rumahnya sebelum percutianku berakhir.
            “Entahlah bang. Sejak hari tu, abah belum ada cakap apa-apa pun. Nak kata setuju pun tak, nak kata tak setuju pun tak jugak,” balas U sambil memandang ke arah Laut China Selatan yang mengalunkan ombak. Keresahan jelas terbayang di wajahnya.
            “Dalam situasi sekarang kita kena banyak bersabar dan berdoa supaya abah awak merestui perhubungan kita,” aku berkata sekadar untuk menyedapkan hatinya dan mungkin hatiku sendiri.
            “Kalau abah tak restu macam mana?”
            “Entahlah. Susah abang nak cakap. Bagi abang restu kedua orang tua kita sangat penting. Boleh ke bahagia cinta tanpa restu ni?” Aku bertanya kepada U dan sepertinya aku bertanya kepada diriku sendiri kerana U tetap diam tanpa jawapan.
            “Abah dulu kahwin dengan mak pun tanpa restu atuk dan nenek. Saya tengok mereka bahagia je tapi...,” getus U tiba-tiba tanpa menghabiskan kata-katanya setelah agak lama mendiamkan diri.
            “Bahagia ke? Tapi apa?”
            “Bila kami adik-beradik berkunjung ke rumah atuk, layanan dari atuk dan nenek seolah-olah kami ni bukan cucu mereka. Endah tak endah je. Agaknya inilah kesan perkahwinan tanpa restu kot? Zahirnya bahagia tapi ada penderitaan yang tak terucap,” tutur U dengan panjang lebar membuka kisah rahsia keluarganya.
            “Itulah yang abang tak mahukan. Kita mungkin boleh boleh bersabar tapi abang tak mau nanti nasib anak-anak kita sama seperti nasib awak sekarang. Apa jadi bila mereka berkunjung ke rumah atuknya? Awak mahu anak kita nanti menerima nasib macam tu?” Dadaku bergetar memberikan hujah sedemikian. Bergetar kerana menyebut perkataan anak. Bersediakah aku menjadi seorang ayah?
            “Tak taulah camna bang. Nanti saya akan pujuk mak supaya merayu abah memberikan restu untuk kita. Hari tu pun mak dah janji akan berusaha untuk satukan kita.”
            “Iyelah. Abang pun berharap segalanya berjalan lancar. Jomlah kita balik. Hari pun dah agak lewat ni. Lagipun abang nak balik siapkan apa yang patut sebab esok abg dah terpaksa berangkat semula ke Johor.”
            Kami mengakhiri pertemuan itu dengan satu perbincangan yang agak serius. Tapi itulah hakikat dalam hidup, ada masanya kita perlu bersikap serius untuk hal-hal yang serius dan melibatkan urusan masa depan. Kami masing-masing bergerak menuju ke kereta masing-masing. Sebelum berangkat, U sempat mengucapkan selamat tinggal kepadaku.
            “Esok abang balik Johor bawak kereta elok-elok sikit. Jangan lupa SMS bila dah sampai.”
            “Iyelah. Habis nanti abah awak hantarkan awak balik Johor ke?”
            “Aaa.”
            “Baguslah kalau gitu. Oklah abang balik dulu. Nanti kita jumpa kat JB.”



            Semalam U telah tiba ke JB dihantar oleh abahnya. Aku tidak segera menemuinya kerana aku tidak sanggup berhadapan dengan Haji E buat sementara waktu kerana masih belum ada kata putus. Adakah Haji E menerima aku sebagai calon suami pilihan anaknya? Sikapnya yang masih membisu membuatkan aku seperti putus harapan.
            Seminggu telah berlalu. Aku masih belum membuat pertemuan dengan U setelah kali terakhir bertemu di pantai tempoh hari? Rindu? Sudah semestinya aku rindukan U? Tapi apa pun kami masih berhubungan melalui SMS dan panggilan telefon. Barangkali kesibukkan aku dan U sendiri membataskan ruang waktu untuk kami bertemu.
           
            Awal Julai 2004 setelah 3 minggu tidak bertemu, kami masing-masing tidak mampu lagi membendung rindu. Lantas satu temu janji diatur hari Sabtu.
            “Rindu kat abang tak?” Aku menyoal  setelah kami sama-sama menjamah hidangan yang telah terhidang di Restoran Singgah Selalu.
            “Entah tak tau,” jawab U sepertinya mahu bergurau-senda denganku.
            “Iyelah kita sedar sapa diri kita ni. Mana layak untuk dirindui oleh sesiapa pun sebab kita ni tak kacak macam Brad Pitt, hanya setaraf dengan Shah Rukh Khan jer,” kataku seperti merajuk tetapi dalam nada lawak.
            “Eleh perasan. Kalau tak rindu takkanlah saya datang berjumpa dengan abang hari ni,” tutur U dengan sinar mata yang memancarkan keikhlasannya.
            “So macam mana dengan keputusan abah? Green light or red light? Or not light at all?”
            “Itulah masalahnya. Sampai sekarang pun abah still tak cakap apa-apa. Mak dah cuba slow talk tapi abah macam buat-buat tak kisah jer?”
            “Pada abanglah kan, rasanya seperti abang dah faham maksud abah awak. Sepertinya dia tidak merestui hubungan ini.”
            “Jadi abang nak menarik diri?”
            “Bukan macam tu. Selagi belum ada kata putusnya selagi itulah abang tetap menanti dengan setia.”
            “Abang lelaki. Saya ni sebagai seorang perempuan hanya menanti kata putus dari abang. Kalaulah dah ditakdirkan antara kita takde jodoh, apa boleh saya buat. Saya nak menangis pun rasanya seperti dah kering air mata.”
            Pertemuan itu menjadi suram. Jelas tergambar di wajah U garisan wajah kesedihan walaupun tanpa tangisan. Mungkin hatinya menangis dan merintih menanti kata putus abahnya yang masih belum kunjung tiba. Tidak seperti selalunya kami gembira dan ceria. Maha hebat ujian dalam percintaan ini.
            “Dah la bang. Kita lupakan dulu hal tu. Lepas ni boleh kita pergi Taman Universiti tak kejap?”
            “Nak buat apa pi sana?”
            “Saya ingat nak beli laptop ler. Susah la nak angkut PC ke sana sini bila nak balik kampung. PC hari tu pun saya dah tak bawak. Dah tinggalkan kat rumah.”
            “Ooo nak beli laptop. Bagus jugak tu. Senang sikit nak buat kerja kat mana-mana pun boleh.”
            “Itulah pasal. Dah nak masuk last semester ni memang banyak assignment nak kena buat. Tapi saya nak mintak tolong abang sikit boleh?”
            “Nak abang tolong apa?”
            “Pinjamkan saya dulu duit RM3000.00 boleh? Nanti saya bayar balik bila abah bagi balik buku bank saya.”
            “Ok small matter je. Nanti kita pi beli terus kat Taman U.”
            Selesai makan, kami terus menuju ke Taman Universiti untuk membeli laptop. Mujurlah duit emergency yang aku simpan dalam bank lebih dari mencukupi untuk dipinjamkan kepada U. Kalau tak buat malu je, kerja dah hampir 5 tahun duit dalam bank pun tak cukup.
            “Abang rasa model yang mana sesuai?”
            “Alaaa setakat nak guna untuk buat assignment, guna model Acer yang biasa pun dah lebih dari ok,” sambil aku menunjukkan laptop berjenama Acer yang dipamerkan dikedai komputer itu.
            “Aaa kan. Beli mahal-mahal sangat pun buat membazir je. Cukup ke RM3000 nak beli printer sekali?
            “Isyk dah lebih dari cukup dah. Printer Canon bukannya mahal mana. Ni hah ada model terbaru Pixma. Baru jer RM279.00.”
            “Abang nak beli laptop ke?” Tanya jurujual yang baru terhegeh-hegeh ke arah kami setelah hampir 15 minit kami berlegar-legar di dalam kedai tersebut.
            “Dia ni ingat aku takde duit ke? Punya la lama nanti baru nak datang,” getusku sendirian di dalam hati.
            “Iyelah, takkan nak beli sport rim 18 pulak,” getusku sekali lagi di dalam hati kerana agak kurang berpuas hati kerana lambat dilayan sebentar tadi.
“Aaa...yang model Acer tu berapa harganya?” Tanyaku seperti kura-kura di dalam perahu yang pura-pura tidak tahu walaupun di situ jelas terpampang harga laptop tersebut.
“Ini latest model bang. Harga dalam RM2599,” terang jurujual tersebut.
“Kalau saya beli dengan printer sekali tak dapat diskaun ke?”
“Kalau nak diskaun tak dapat la bang. Harga ni pun dah kira murah. Tapi saya janji akan bagi abang free gift.”
Free gift apa?”
Pen drive Kingston 256 Megabyte dengan Optical mouse.”
“Hummmm. Kira oklah tu.”
“Abang bayar cash ke credit card?”
Cash.”
            Selesai urusan membeli laptop, kami terus ke Restoran yang berhampiran untuk menjamu tekak yang kehausan.
            “Thank sebab abang dah bagi pinjamkan duit.”
            “Small matter je tu. Lagipun takkan la awek sendiri nak pinjam abang tak nak bagi pulak.”
            “Maybe dalam next month saya bayar ok?”
            “Alaaa bila-bila aje ada duit nanti awak bayarlah.”
            Petang itu aku menghantar U agak lewat ke asramanya. Jam sudah menunjukkan pukul 7.12 malam. Aku terpaksa menghentikan kenderaan di pondok pengawal.
            “Encik nak ke mana ni?”
            “Nak hantar ‘tunang’ saya balik asrama ni,” kataku berbohong sunat sambil U memandangku dengan agak terkejut kerana mungkin tidak menyangka aku memperkenalkan dirinya tunanganku kepada guard tersebut.
            “Dah lebih pukul 7 ni, encik tak boleh masuk ke kawasan asrama.”
            “Tapi saya nak hantar komputer dengan printer ni encik. Takkan saya nak biarkan tunang saya berjalan kaki. Agak jauh jugak tu encik.”
            “Ok, macam ni lah. Awak boleh masuk tapi kami akan hantar seorang pegawai mengiringi kereta awak,” jelas pengawal keselamatan tersebut.
            “Ok, terima kasih.”
            “Ketat jugak undang-undang kat sini kan?”
            “Biasalah bang. Nak jaga keselamatan bakal-bakal cikgu kat sini. Ooo, tadi bukan main cakap saya tunang. Berani betul!”
            “Alaa nak hidup kena la pandai. Bohong sunat je tu. Takkan nak cakap nak hantar awek pulak?”
            Waktu Magrib sudah menghampiri ke penghujungnya setelah aku menghantar U dan laptop yang baru dibeli sebentar tadi. Aku terpaksa berhenti seketika di masjid yang berdekatan untuk menunaikan kewajipan. Usai solat aku meneruskan perjalanan untuk kembali ke rumah.
            “Alamak, macam mana boleh lupa nak bagitau yang aku kena kursus minggu depan,” getusku sendirian di dalam hati setelah tiba ke rumah.
Sepantasnya aku menekan punat handphone untuk mendail nombor telefon U.
            “Assalamualaikum. Hello awak.”
            “Waalaikumussalam. Eh, tadi baru jumpa dah call?”
            “Tak boleh ke? Kalau tak boleh takpelah abang off dulu.”
            “Ngada-ngada nak merajuk macam perempuan!”
            “Hehehehe, taklah main-main je. Tadi lupa nak cakap mingu depan abang kena kursus kat Pontian. So tak dapatlah kita nak dating.”
            “Iye ke? Takpelah. Nanti kalau dating kerap-kerap sangat abang jemu pulak tengok muka saya.”

            Seminggu aku berkursus di Pontian. Agak sibuk dan memenatkan sehingga aku terlupa untuk berSMS dengan U. Aduhai.....
            “Sorry tak dapat SMS sebab busy sangat la kursus.”
Tiada jawapan dari U setelah hampir 15 minit SMS ku hantar. Aku mula gelisah. Aku cuba mendail nombornya beberapa kali tetapi tidak berjawap. Kenapa pulak ni? Adakah U merajuk atau marah? Apa harus aku lakukan? Ah, geramnya dengan diri sendiri kerana terlalu cuai dan alpa....

0 comments:

Post a Comment

Followers