Cinta tidak semestinya bersatu. Ungkapan ini mungkin sesuai untuk menerangkan betapa dalam keasyikan bercinta kita kadang-kala terlupa bahawa jodoh pertemuan itu sudah tertulis. Walaupun begitu Allah tidak menyuruh manusia untuk berserah bulat-bulat. Sebaliknya ia perlukan usaha dan selebihnya barulah kita berserah kepada kekuasaan-Nya.
Cintaku yang tidak kesampaian hanya kerana silapku sendiri yang tidak berani untuk meluahkan perasaan sendiri. Akhirnya aku sendiri yang melepas. Masuk angin keluar asap. Cuma apa yang aku tahu walau apa pun yang terjadi aku tidak akan mengalah untuk meneruskan pencarian cintaku. Mungkin di ceruk sana masih terdapat sisa-sisa cinta yang memang telah ditakdirkan untuk seorang lelaki seperti aku!
Mungkinkah ini hanya permainan hidup? Selalunya sepanjang menempuhi perjalanan hidup kita akan bertemu sesuatu ketentuan yang kadangkala mengejutkan dan sukar dijangka. Apa yang berlaku terhadap diriku kali memang amat mengejutkan. Dalam aku sibuk mencari cinta, tiba-tiba ia hadir tanpa aku sangkakan.
Setelah sekian lama kami tidak berhubungan, entah apa mimpi suatu hari aku menerima SMS yang dikirimkan oleh U.
“Awak dah makin sombong kan? Dah lama tak SMS kat saya.”
Tanpa ku sangka dengan kadar segera, sepantas Cheetah aku membalas SMS kiriman U.
“Alaa awak ni. Saya bukan sombong cuma busy je sikit. Lagipun awak dah lama senyap, so saya pun senyap ajelah.”
Belum sampai seminit, handphoneku berbunyi lagi.
“Iyelah tu. Orang lain pun busy jugak tapi taklah sampai lupa kawan. Entah-entah awak pun dah lupakan saya.”
“Eh, mana ada. Saya masih ingatkan awak. Awak buat apa sekarang? Masih kerja di hotel tu ke?”
“Taklah. Saya dah resign. Sekarang saya dah kat JB (Johor Baharu), tengah belajar KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah) di MPTI (Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim).”
Apa? U kat JB sekarang? Antara percaya dengan tidak aku terus mendail nombor telefon U untuk berbicara dengan dia.
Hampir sejam aku berbual dengan U di dalam telefon. Rupanya sepanjang tempoh beberapa bulan kami tidak berhubungan ini, ada cerita di sebaliknya yang telah berlaku. Hujung minggu itu, U meminta aku menjemputnya di MPTI.
Hatiku berbunga riang. Sudah lama aku tidak menatap wajah comel milik U. Dulu aku jugak yang sibuk mengejar pelangi senja sehingga melupakan sinaran mentari yang setia hingga ke petang. Tak ku sangka rupanya U masih mengingati aku. Tapi kenapa baru sekarang? Ke mana dia menghilang selama beberapa bulan ini? Atau adakah aku yang menyepikan diri membuat dia pun menyepikan diri juga?
Memang ku akui kesilapan dan keegoaanku sendiri yang telah menjarakkan hubungan antara aku dengan U. Tapi seperti yang telah aku perkatakan sebelum ini, bahawa aku takut untuk menyintai orang seperti U yang sepertinya tidak layak untukku yang serba-serbi tiada. Sedangkan U? Anak seorang pensyarah, mempunyai rupa paras yang menarik. Aku apa ada? Kalau hanya sekadar cinta sahaja itu tidak memadai.
Hujung minggu itu, aku menjemput U di perkarangan hostelnya di MPTI. Setelah mengetahui aku telah sampai, tak sampai 5 minit U turun dari biliknya dan berjalan deras menuju ke arah keretaku. Manisnya dia dengan memakai baju pink dipadankan pulak tudung yang sedondon dan berseluar jeans. (Habis jin nak pakai apa kalau seluarnya dah kena pakai dek orang?)
“Jom kita jalan-jalan ke Jusco Taman U nak? Saya nak beli barang keperluan sikitlah,” ujar U apabila mula melabuhkan punggungnya ke kerusi keretaku.
“Ok, ke mana sahaja demimu wahai tuan puteri yang manis,” aku melawak sambil tersenyum.
“Banyaklah awak punya tuan puteri,” balas U sambil jemarinya pantas mencubit bahuku yang membuatkan aku menjerit di dalam hati menahan perit.
Keretaku terus meluncur laju di jalan raya menuju ke destinasi. Perjalanan itu diisi dengan sesi perbualan yang agak rancak. Maklumlah sudah agak lama kami tidak bertemu. Walaupun mulanya aku sebenarnya agak kekok. Maklum sahajalah, jejaka pemalulah katakan.
“Banyak ke barang yang awak nak beli? Perlukan troli ke?” Aku bertanya setelah tiba ke pintu hadapan Jusco Taman U.
“ Entahlah, rasa macam banyak jugak sebab saya nak beli alat-alat tulis dan stok bekalan makanan.”
Aduhai penatnya kakiku. Perut pun dah mula memainkan irama lagu keroncong untuk diri sendiri. Itulah kalau ikut perempuan pergi shopping memang amat memenatkan. Dah hampir 2 jam berpusing-pusing di sekitar tempat yang sama.
“Awak tak penat ke?” Aku bertanya setelah mula merasa lenguh-lenguh di kaki.
“Kejap la, saya nak pi beli kasut. Lepas ni baru kita pi makan ok?” Kata-kata yang keluar dari mulut U memberikan aku sedikit kelegaan.
“Cantik tak kasut ni? U bertanyakan pendapat aku sambil tangannya membelek-belek sepasang kasut berjenama Sembonia.
“Macam cantik jugak. Awak nak ke? Kalau suka ambik ajelah saya bayarkan,” aku cuba menunjukkan sifat pemurahku.
“Alaaaa tak payah lah. Tak pasal-pasal pulak awak kena belanja. Dah la mahal.” U cuba menolak tawaranku.
“Takpelah. Bukannya selalu. Saya belanja ok?” Kali ini aku tengok U tersenyum tanda sudi menerima tawaranku untuk membelikannya sepasang kasut.
Usai membeli-belah, kami menuju ke Sedap Corner. Sudah lama aku tidak menikmati juadah kegemaranku iaitu chicken chop. Setelah membuat pesanan, U merenung aku jauh ke dalam mataku yang membuatkan aku menjadi serba-salah.
“Kenapa awak renung saya sampai macam tu?
“Saya masih tak faham dengan awak. Kenapa awak buat saya macam ni? Tiba-tiba U bertanya dengan persoalan yang membuatkan aku makin tidak keruan. Beribu persoalan mula menerjah kotak fikiranku. Drama apa pulak ni? Lakonan apa yang U cuba pentaskan ini?
... Drama masih bersambung...
Cium Tangan
7 years ago
0 comments:
Post a Comment