Kisah 8.2 (Rahsia yang Terungkai)

Kata-kata U memang mengejutkan aku pada mulanya. Tapi lama-kelamaan telah dapat ku tangkap apa yang ingin diluahkannya. Bukan aku tidak mengerti maksud yang ingin disampaikan tetapi aku memaksa diri untuk tidak mengerti. Aku membisu seribu bahasa untuk seketika. Bukan kerana aku pengecut tetapi memikirkan keadaan persekitaran yang agak tidak sesuai.
“Kenapa awak menyeksa saya? Awak tahu tak berapa lama saya menanti awak mengucapkan perkataan yang ingin saya dengar dari mulut awak? Setahun awak. Setahun!” Kali ni U terus menyerang aku dengan bertubi-tubi membuatkan lidahku terus kelu. Patutkah aku terus mendiamkan diri?

“Awak... janganlah macam ni. Nanti kita bincang kat tempat yang lebih privacy sikit ok? Takpun kita bincang dalam kereta nanti. Seganlah kalau orang dengar,” aku memecahkan tembok kebisuan suaraku yang telah kelu seketika sebentar tadi.

Aku menolak troli yang separuh terisi barangan keperluan yang dibeli oleh U menuju ke arah kereta. U mengekoriku tanpa sepatah kata. Mungkin masih agak kecewa dengan reaksiku. Tanpa bicara aku memasukkan barangan di dalam boot kereta sambil U membantu.

Kereta yang ku pandu meluncur laju ke arah JB. Setelah suasana agak sesuai aku memulakan bicara.

“Awak tau tak? Sejak kali pertama kita jumpa lagi saya dah sukakan awak. Tapi saya sedar diri saya ni siapa. Cuba bandingkan diri kita. Awak cantik, berjawatan tinggi malah ayah awak berkedudukan tinggi dan berharta. Tapi saya? Cuma anak kampung. Tiada paras rupa yang menarik, harta pun kurang,” dengan nada perlahan aku menyampaikan isi hatiku dengan rasa merendah diri.

“Oooo, jadi selama ni awak ingat saya pandang ke itu semua? Awak kata saya ni cantik? Ramai lagi yang lebih cantik dari saya. Yang kaya tu abah saya bukannya saya. Alah awak pun ada jawatan juga kan? Apa yang kurangnya dengan paras rupa awak? Saya nampak ok je. Takde cacat celanya. Atau awak saja nak berdolak-dalih kan?” Kali ini aku yang terkena.

“Bukan macam tu. Saya rasa awak faham kalau awak berada di tempat saya. Kita ni tak setaraf ibarat langit dengan bumi. Tapi saya akui memang saya sukakan awak Cuma saya pendamkan rasa hati saya sebab saya takut dan segan.” Mendatar je suara yang ku luahkan kali ini.

“Kenapa awak pendamkan? Lain kali kalau awak sukakan seseorang, tak perlulah awak memendam perasaan aje. Awak tau berapa lama saya menanti awak luahkan perasaan awak? Takkan awak tak tahu isi hati saya? Dah berapa lama kita kenal?” Ujar U sambil pandangannya dilemparkan ke luar jendela kereta.

Aku terus terdiam membisu seribu bahasa kerana seperti kekeringan idea untuk menjawab segala persoalan dari U. Kenapalah U ni suka sangat memberi soalan? Mentang-mentanglah dia dah nak jadi cikgu, aku pulak yang menjadi mangsa persoalan demi persoalannya. Dia ingat aku ni anak murid dia ke?

“Awak tau tak yang saya sebenarnya baru putus tunang,” tiba-tiba terbit satu kenyataan berani mati dari mulut itu.

“Eh, camna saya nak tau sedangkan awak tak pernah pun nak bagitau yang awak bertunang. Lagipun kita dulu sama menyepikan diri tanpa khabar berita,” aku cuba menegakkan benangku yang masih basah.

“Iyelah awak tu yang tak nak ambik tau. Semuanya nak kena saya dulu yang mulakan. Kalau hari tu saya tak SMS awak, agaknya sampai sekarang pun awak takkan SMS saya kan?” U terus menyampaikan kata-kata seumpama memberi pukulan smash tepat ke batang hidungku sendiri.

Keretaku mula memasuki perkarangan MPTI menuju ke asrama penginapan perempuan. Terus aku parking kereta di petak yang disediakan khas untuk tetamu. Sebelum U melangkah keluar dari kereta, dengan beraninya aku menyampaikan hasrat hati.

“Boleh ke awak berikan saya peluang kali ini untuk menjadikan awak calon isteri saya? Insya-Allah saya akan cuba menjadi calon suami yang baik.” Selesai mengucapkan kata-kata itu, aku merenung jauh ke dalam matanya meminta jawapan yang positif atau meminta simpati barangkali?

“Saya boleh berikan awak peluang. Tapi make sure yang awak tidak mempersiakan peluang yang saya berikan kali ni.” Seakan tegas suaranya yang keluar itu.

Seberapa pantas yang mungkin aku mengeluarkan segala barangan yang telah dibeli oleh U tadi. Aku mahu mengejar masa kerana menyedari yang aku masih belum menyempurnakan solat Zohor sedangkan jam sudah hampir menunjukkan pukul 3.30 petang. Setelah mengucapkan selamat tinggal, aku pantas memandu kereta kembali ke rumahku. Sebolehnya aku mahu solat dirumah kerana tidak selesa dengan keadaan diri yang berpeluh.

Bermula dari hari itu, maka telah tercatat di dalam diari hidupku bahawa aku dengan rasminya telah menjadikan U sebagai awek ku yang terkini. Dengan bermulanya perhubungan ini, aku mengharapkan segalanya akan berakhir dengan ikatan perkahwinan. Aku sudah letih menjadi player. Sudah tiba masanya aku membuka lembaran baru dalam kehidupanku.

Sememangnya aku telah nekad untuk berubah dan menjadikan U sebagai destinasi terakhirku dalam perjalanan hidup mencari cinta. Memang aku berjanji kepada U dan kepada diriku sendiri untuk merealisasikan perhubungan ke arah perhubungan yang sah melalui ikatan perkahwinan. Betul ke aku sudah bersedia untuk berkahwin dan menjadi suami orang? Seterusnya menjadi bapa? Errr... tiba-tiba api was-was datang menyala seketika dan membuatkan aku menunggu keyakinan diri mencari jawapannya sendiri.

Walaupun datang pelbagai soalan dari dalam diri sendiri yang meragui keupayaan diri tetapi aku tetap yakin aku mampu menyintai U dengan sepenuh hatiku dan akan menjadi pakwe yang setia.

Maka bermulalah perubahan di dalam dairi hari minggu dalam hiduku. Jika dulu setiap hari minggu akan dipenuh dengan aktviti melepak di rumah atau mengadap laptop melayari alam siber tetapi kini setiap hari minggu aku akan terisi dengan aktiviti bersama U. Jika ada kelapangan, aku akan dating dengan U di sekitar Bandaraya JB.

Seperti biasa hujung minggu itu aku menjemput U di hostelnya. Hari ni kami telah berjanji untuk berkunjung ke Angsana kemudiannya ke Danga Bay. Setelah puas berlegar-legar di Angsana untuk membeli barang keperluan, kami terus menuju ke Danga Bay.

“Banyak gak tempat menarik kat JB ni kan?” U bersuara ketika kami sama-sama menghadap Selat Tebrau. Sinar cahaya matahari lewat petang tidak begitu memanaskan membuatkan kami selesa duduk dipangkin yang disediakan.

“Iyelah. Awak lama lagi kat sini, sampai hujung tahun kan? So, nanti ada masa kita boleh ronda-ronda sekitar negeri Johor ni.”

“Jomlah makan. Saya dah lapar ler. Abang tak lapar ke?” U yang mula membahasakan aku dengan panggilan abang setelah kami membuat pengisytiharan rasmi tempohari.

“Jomlah abang pun dah lapar jugak. Tapi kita nak makan apa?” Aku juga mula belajar membahasakan diri abang walaupun agak kekok.

“Saya rasa nak makan steamboat. Boleh tak?” Kata U seperti para ibu yang mengidam mengandung anak sulung lagaknya.

“Boleh jugak tu. Abang pun dah lama tak makan steamboat. Tu kat food court sana tu ada jual steamboat.” Sambil kami terus berjalan beriringan menuju ke arah food court itu.

Hari minggu begini memang agak meriah. Kelihatan ramai para pengunjung sedang enak melayan selera masing-masing. Setelah memilih tempat yang agak sesuai, kami menikmati juadah yang telah terhidang.

“Tak lama lagi dah nak semester break. Abang cuti tak? Tak nak balik kampung?” Tiba-tiba U memulakan persoalan itu setelah kami selesai menjamu selera.

“Eh, cuti bulan berapa? Bulan enam ke?” Aku bertanya seperti orang tak berapa arif dengan hal ehwal cuti.

“Aaa. Cuti bulan 6 ni. Kalau abang nak balik, saya nak mintak tolong bawak balik komputer saya. Banyaklah assignment nak kena buat.”

“Ok, nanti abang apply cuti jugaklah. Ke nak tumpang abang sekali balik kampung nanti?”

“Bukan tak nak bang, tapi nanti apa pulak kata abah. Abang faham-faham sendirilah abah saya tu macam mana. Biar saya naik bas ajelah.”

“Abis abah awak masih tak tau lagi ke perhubungan kita ni?”

“Itulah, ingatkan masa cuti nanti saya nak jelaskan semuanya kepada abah.”

Lewat petang hari minggu itu seperti kebiasaannya aku menghantar U balik ke asrama penginapannya. Apa boleh buat, sudah peraturan tidak membenarkan kereta pelawat memasuki perkarangan asrama lewat jam 7.00 petang. Sebelum berlalu, sempat U mengucapkan terima kasih kerana menemaninya hari itu.

Sepertinya aku makin serius menjalin perhubungan dengan U. Memang kalau diizinkan Illahi, aku ingin menyunting U sebagai permaisuri hidupku nanti. Sikap buaya tidak berekor telah lama ku tinggalkan demi mengejar cinta dan peluang yang telah diberikan oleh U. Maka aku akan memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap perhubungan ini. Tapi ada beberapa perkara lagi yang sering menjadi persoalan di dalam benakku. Adakah Hj. E akan merestui hubungan kami? Adakah keluargaku boleh menerima U? Apakah kisah cinta ini akan menemui jalan bahagia kekal ke akhir hayat? Siapakah yang mampu menjawab persoalan ini?





...Kisah 8.3 nanti pun belum tentu menjawab persoalan ini...

0 comments:

Post a Comment

Followers