Kisah 4.5 (Cinta Masih Terpendam)

Sesekali aku akan terfikir jauh ke dalam sudut hati dan selalunya akan menyoal diri sendiri. Sampai bilakah cintaku ini hanya menjadi sekadar cinta syok sendiri atau cinta terpendam? Apakah jejaka pemalu+pendiam+kurang hensem seperti aku tidak berhak untuk memiliki dan menikmati erti cinta yang sebenarnya?

Bila aku terbaca kisah cerita cinta di dalam novel, segalanya seperti terlalu indah. Watak hero mesti hensem manakala watak heroin mesti cantik. Kalau dalam drama atau sesekali melayan filem hindustan pun sama. Asal kisah cinta sahaja mesti heroinnya cantik dan heronya hensem. Apakah yang cantik hanya layak bagi mereka yang hensem sahaja? Atau adakah yang hensem hanya patut memiliki yang cantik?


Seringkali persoalan itu menerjah ke kotak fikiranku tanpa jemu. Persoalan yang aku sendiri tiada jawapan baginya. Pada masa dan ketika ini, kalau terserempak dengan pasangan kekasih yang lalu-lalang pun aku sudah mula merasa cemburu.

Sesungguhnya jauh tersimpan di sudut hati kecilku, aku pun ingin menikmati keadaan seperti itu. Tapi layakkah aku? Bilakah masanya akan menjemput seorang insan mengisi ruang kamar hatiku yang benar-benar kosong kini? Hidup tanpa cinta seorang insan yang digelar kekasih? (Macam dah makin serius pulak kisah aku ni.)

Tapi macam mana aku harus berfikir tentang kekasih atau apa sahaja pada saat-saat kritikal begini? Putaran roda hidupku sekarang berada di bawah, aku tiada kerja dan tiada duit. Aku hanya ada seorang kawan. Mahu tak mahu untuk meneruskan kehidupanku, aku perlu melakukan sesuatu. Ak tak mahu berterusan menjadi begini.

Setelah puas ke sana sini mencari kerja yang sesuai, akhirnya aku dan kawan baikku telah mendapat perkerjaan sementara di kilang membuat cotton buds yang terletak berhampiran dengan rumah sewa kami. Tapi sekadar kerja part time sahaja. Cukuplah untuk menampung hidup untuk sementara waktu. Tambahan lagi bulan Ramadhan pun dah makin hampir. Nanti kalau takde duit takkan aku nak berpuasa 24 jam plak kan? Lepas tu nak beraya dengan apa? Dah la masa ni aku terpaksa berjimat cermat dengan hanya menghisap rokok secara catuan iaitu sebatang sehari. Kalau nak hisap lebih-lebih kena pow dari member la. Sedih betul.

Hampir sebulan juga aku kerja part time di kilang tersebut. Walaupun di dalam hati teringin untuk berkenalan dengan beberapa orang awek yang agak jambu yang berkerja di situ, tetapi memandangkan aku insaf dan sedar keadaan diri yang tak berupa dan tak berharta, maka aku padamkan sahaja niat tersebut.
Dengan perasaan selamba juga aku langsung tidak menghiraukan soal awek-awek yang berada disekeliling persekitaran aku kerja. Orang nak kata aku sombong ke apa ke lantaklah, yang penting aku mahu terus hidup!

Sebulan pun berlalu, walaupun hidupku tidak semewah semasa bekerja di kilang Sony dulu, hanya sekadar cukup makan sahaja tapi aku tetap bersemangat menerusan perjalanan hidup ini. Tapi sampai bila aku harus hidup begini? Setelah memikirkan semasak-masaknya. Aku telah mengambil keputusan yang amat berat untuk aku lakukan. Aku harus pulang ke kampung dan meneruskan kehidupanku di sana. Aku sudah tidak betah lagi menanggung segala kos kehidupan yang begitu membebankan di sini. Tapi aku malu. Bagaimana harus aku menghadap muka orang tuaku dengan keadaan aku yang belum mempunyai kerja tetap walaupun sudah beberapa bulan tamat pengajian?

Dalam aku berkira-kira dengan perancangan nekad untuk balik ke kampung, tiba-tiba aku menerima panggilan dari Abang Long yang meminta aku mengemaskan segala baranganku dan terus balik ke kampung. Jadi selepas raya aku tidak perlu kembali semula ke Serdang. Walaupun tertanya-tanya kenapa abang long menggesa aku balik ke kampung tetapi aku tidak pernah bertanya kepadanya kenapa aku harus balik. Itu kerana aku memang sudah nekad untuk balik ke kampung.

Maka seminggu sebelum hari raya menjelma, dengan perasaan bercampur-baur aku berangkat ke kampungku dengan menaiki bas tambahan (bas sekolah). Jenuh aku mengangkat barang-barangku terutamanya komputer kesayanganku ke tempat simpanan barang di bahagian bawah bas. Buat kali terakhirnya aku berada di Seri Serdang barangkali? Tempat jatuh lagikan dikenang, apa lagi tempat aku belajar erti kehidupan menuju ke alam dewasa. Banyak kenangan indah dan pahit yang terpahat di sini. Sayu juga hati ingin meninggalkan tempat yang telah aku diami selama 6 tahun.

Seminggu aku berada di kampung, walaupun seronok tidak terkata menyambut hari Lebaran bersama keluarga tercinta tetapi jauh di sudut hati masih ada ruang kekosongan yang dapat aku rasakan. Apakah perasaan ini? Kenapa aku begitu merindukan dia? Dalam kemeriahan ini, ingatan ku terhadap SZ masih belum terpadam. Kesunyian yang hadir membuatkan segala memori di kampus dahulu menjelma kembali satu persatu. Terkenangkan itu semua aku menjadi terlalu rindu. Rindu dengan si dia, cintaku yang masih terpendam sehingga kini.....

Agaknya Abang Long mula perasan apabila aku hanya banyak termenung dan tidak bercakap semenjak aku balik ke kampung. Adakalanya aku lebih suka menyendiri menikmati suasana alam dan kedamaian kampung. Dengan tidak semena-mena, sedang aku asyik memerhati sepasang burung merbah mencari makanan, aku disapa Abang Long.

“Jauh mengelamun. Masih teringatkan orang di Serdang ke?”
“Ada jugak teringat sikit-sikit, Cuma yang termenung ni sebab memikirkan apa nak buat lepas ni? Dah la belum ada kerja lagi,” aku menjawab persoalan yang dilontarkan Abang Long.
“Sebenarnya tujuan Abang Long suruh engkau balik ke kampung terus ni ada sebabnya. Saja Abang Long tak nak bagitau dulu. Hari tu surat tawaran untuk jawatan engkau mintak dulu tu dah sampai tapi engkau kena sambung belajar dulu selama setahun.” Kata-kata Abang Long yang membuatkan bibirku menguntum senyuman dan bibit-bibit kegembiraan mula berputik di hati.

“Yahooooo!” Aku menjerit di dalam hati kerana terlalu gembira sehinggakan bakteria yang ada di dalam badan aku mengigil ketakutan dek kerana terkejut yang amat sangat. Aku agak ajalah. Itu kira ok aku menjerit di dalam hati je. Buatnya aku menjerit sekuat-kuat dan semahunya mungkin boleh menyebabkan lembu orang kampung yang suka tidur di halaman rumah aku tercirit seminggu.

Jadi, selepas aku dapat menyambung belajar di tempat yang berhampiran dengan rumahku, maka bermulah episod baru dalam kisah hidupku. Sepertinya aku telah bangkit kembali dari kekalahan. Memburu kisah percintaan yang baru. Walaupun aku tidak pasti bagaimanakah perjalanan kisah cinta aku nanti. Apa yang aku harapkan, mendung dalam percintaan akan berganti dengan sinar mentari cinta yang sebenanya dan mampu memberi kekuatan untuk aku meneruskan langkah dalam perjalanan hidup!


...Berakhirnya Kisah 4...

Kisah 4.4 (Sahabat Setia)

Berapa ramai manusia yang setia dengan cinta? Adakah aku masih tergolong dalam golongan manusia yang setia dengan cinta? Walaupun hanya sekadar cinta yang terpendam? Begitulah aku, masih setia dengan cinta terpendamku. Aku tetap setia memendamkan perasaan aku pada awek yang berbibir cantik itu, iaitu teman sefakultiku dahulu.

Sampaikan masih terkenang-kenang bak kata orang tua-tua yang tak berapa tua, tak mandi confirm tak basah, tak makan memang tak kenyang, pastu tak tidur tapi boleh berdengkur. Dah tamat belajar pun, aku masih teringat kat dia, dah kerja kat Sony pun masih teringat lagi. Betapa kuatnya daya penarik yang ada pada budak yang berasal dari Johor ni. Dah la sopan, cantik, menarik dan memang macam bom!

Setelah resign dari kilang Sony, aku masih melepak di Sri Serdang. Rumah sewa kami di Fasa 4 Taman Sri Serdang menjadi saksi tempat aku menghabiskan masa dengan kawan-kawan yang masih menjadi student UPM. Hampir sebulan menanam anggur yang tidak berbuah-buah jua atau dalam erti kata yang mudah menganggur, lama-kelamaan duit simpanan pun abis hanya tinggal 20 sen sahaja di dalam poket. Kira ok ada 20 sen, buatnya ada habuk je?

Kerja pun tiada. Apa nak jadi ek? Apa yang aku tau kerja aku cuma makan, minum, tidur, bermain game komputer, lepas tu berjaga sampai lewat pagi. Selepas solat Subuh baru tidur. Dah jadi macam kelawar kot? Hampir sebulan gak tanam anggur yang tak berbuah-buah, tup- tup baru aku tersedar yang duit aku di poket cuma ada 20sen? Dah la masa tu aku kuat menyedut Dunhill, apa nak jadi dengan aku ni? Siapa tak risau? Dah la tiada duit , tiada kerja apatah lagi awek, memang sah tak ada. Dah kerja elok-elok kat Sony dengan rasa over confident boleh dapat kerja dengan government aku bantai berhenti pulak. Nasib aku sekarang diumpamakan seperti baru mendengar guruh di langit, air dalam tempayan dicurahkan.

Masa susah ni la baru kita kenal siapa kawan baik dan siapa yang hanya boleh menjadi kawan masa berada sahaja. Masa senang semua nak bersama dengan kita tapi dah susah macam ni cuma seorang sahaja kawan aku yang tetap setia menemani aku di kala susah begini. Kerana bersimpati dengan keadaan aku, dia bagi aku pinjam duit dia lepas tu selalu support belanja aku makan. Aku takkan melupakan jasa kawan baik aku ini seorang ini sampai bila-bila pun walaupun dia sekarang dah jauh berada di Sabah ngajar di sana.

Apa pun ini bukannya kisah percintaanku dengan kaum sejenis cuma sekadar rasa cinta dan sayang dengan persahabatan ikhlas yang telah terjalin antara aku dengan kawan aku tanpa mengira di waktu senang atau susah. Sedangkan kawan-kawanku yang lain tu usahkan kata batang hidung, bulu hidung pun tak nampak semenjak depa dah tau aku tengah sengkek. Tak mengapalah, jasa kalian akan tetap aku ingat dalam kepala lutut korang yang berjambul!

Maaf jika kisah kali ini hanya berkisarkan kisah kesusahan dan keperitan aku sewaktu bergelar penganggur. Pada masa itu cinta pada wanita mungkin sudah tiada lagi, hanya aku memikirkan soal masa depan dan kerjaya. Agaknya dah makin melalut pulak kisah ni kan? Walau apapun kisah cinta itu terlalu dan universal. Kisah cinta bukan hanya sesama insan bergelar wanita tetapi kisah cinta wujud dengan sesiapa sahaja dan di mana sahaja.

...Masih Bersambung Lagi...

Kisah 4.3 (Erti Kehidupan)

Sepertinya perjalanan kehidupanku ini hanya dipenuhi dengan kisah-kisah cinta di dalam diam atau dalam bahasa kasarnya cinta syok sendiri. Tapi tak mengapalah. Biarlah apa orang kata. Jantan pengecut? Penakut? Aku tidak pedulikan itu semua, yang penting aku tetap gembira dengan cara aku yang tersendiri menikmati alam percintaan di alam impian. Walaupun hanya sekadar memendam rasa, itu pun sudah memberi seribu erti bagiku. Cukup untuk aku katakan yang aku pernah bahagia dengan keadaan itu.

Akhirnya masa yang telah dinanti-nantikan oleh setiap manusia yang bergelar mahasiswa pun tiba. Apa lagi kalau bukan hari tamatnya sesi pengajian ataupun tibanya hari konvokesyen. Setelah berpenat-lelah meneruskan pengajianku. Setelah banyak kali terpaksa repeat subjek yang terkantoi, akhirnya aku berjaya menamatkan pengajianku pada tahun 1999. Kepuasan tidak terhingga setelah berhempas-pulas selama 3 tahun. (Padahal tahun pertama dan tahun ke-2 aku banyak main-main masa belajar, dah masuk final year baru aku study betul-betul).

Setelah tamat pengajian, sementara menunggu peluang kerja yang best berdasarkan kelulusan, aku cuba untuk mencari pengalaman dengan memohon untuk bekerja sementara waktu di sebuah kilang. Sesiapa yang tinggal di kawasan Bangi tentu tahu kilang Sony TV tu di mana. Masa ni aku dengan beberapa orang housemateku yang dah sama graduate bersama-sama mencuba nasib. Dah la menipu masa interview cakap lepasan SPM ajer hehehehehe..

Dipendekkan cerita, aku dengan geng-geng telah diterima bekerja di situ tetapi hanya bertaraf kontrak sahaja. Aku tak kisah yang penting aku tak menganggur. Duit pun masyuk boleh tahan jugak beb! Bermulah era peralihan dalam hidupku, kalau dulu sibuk belajar tetapi kini aku mula sibuk dengan kerja. Dalam sibuk-sibuk bekerja kadang-kadang seperti Batman dek kerana waktu kerja yang tak menentu kerana mengikut shift, langsung tidak pernah aku terfikir untuk mencari awek. Habis macam mana nak cari awek, masuk kerja pukul 7 pagi balik pukul 7 malam, kalau masuk pukul 7 malam balik pukul 7 pagi. Isyk dah tak jadi macam orang normal dah.

So, dalam kepala langsung tak terfikir untuk bercinta ataupun nak cari awek. Tapi kat kilang ni memang banyak awek cun. Macam-macam spesis ada. Ada yang dari Sabah, Sarawak, Indonesia malah dari Myanmar pun ada. Tinggal depa aje yang tak nak kat aku sebab aku ni tak berapa nak kacak. Dah la muka serius aje dan nampak garang. Rambut pulak panjang separas bahu hehehe.

Tanpa ku sedari, rupanya kehadiran aku and the gang telah menjadi buah mulut dan perbualan antara line leader dan supervisor di situ. Mungkin kerana kami terlalu tekun bekerja tanpa banyak soal dan mudah melakukan apa sahaja yang diarahkan. Lama-kelamaan indentiti kami yang sebenar telah terkantoi. Macam mana boleh kantoi? Tak disangka ada juga dalam 2-3 orang yang bekerja di situ merupakan coursemate kawan serumahku. Bocorlah rahsia kami yang selama ini menyamar kononnya lepasan SPM.

Tidak lama selepas itu, aku dipanggil oleh supervisor untuk menerangkan situasi sebenar aku. Aku mengaku yang aku terpaksa menipu kerana takut tak diterima bekerja kalau aku bagitau kelulusan aku yang sebenar. Nasib aku baik kerana supervisor itu sporting dan tidak mahu memanjangkan hal tersebut ke pihak pengurusan atasan.

Sempat jugak aku merasa bekerja selama 3 bulan di kilang Sony TV. Kemudian aku dapat panggilan interview untuk satu jawatan yang tak berkaitan langsung dengan kelulusan aku. Tapi memandangkan hasrat keluarga yang mahu aku bekerja dengan jawatan yang lebih stabil maka aku pun mengambil keputusan untuk menghadiri panggilan interwiew tersebut. Lagipun ayah aku memang mahu aku berkerja dengan kerajaan.

So, dah lepas interview aku rasa macam yakin akan dapat jawatan tu maka aku pun resign.
Masa hari terakhir aku berada di sana, tengah sibuk melakukan tugas-tugas rutin terakhirku di situ, tiba-tiba aku dipanggil oleh seorang akak yang merupakan salah seorang line leader di situ. Tanpa mengetahui apa puncanya aku terus menuju ke arah akak tersebut. Kemudian secara berbisik dia memberitahu aku salah seorang staff di bawah kumpulannya menangis tak henti-henti dari pagi tadi.

Aku yang masih tidak mengerti apa-apa lalu bertanya.
“Eh kenapa ada budak perempuan menangis akak panggil saya pulak? Sepatutnya akak bagitau la supervisor kita.”
“Iyelah akak panggil engkau sebab tadi akak dah tanya budak tu kenapa dia nangis. Habis dia jawab dia sedih sebab dah tahu yang hari ni engkau last day berkerja kat sini. Agaknya sebab dia suka sangat kat engkau tapi dia malu nak cakap kat engkau. Tu yang dia menangis bila tahu engkau dah nak berhenti.”

Terkelu lidahku. Tanpa berkata apa-apa aku terus menuju ke arah tempat kerjaku semula. Akak tu hanya terkulat-kulat memandang aku pergi tanpa memberikan apa-apa ulasan atau komen. Aku sebenarnya kaget.
Tak sangka pulak orang macam aku ni pun ada orang minat jugak. Tapi memandangkan aku ni memang tak pernah terfikir langsung untuk bercinta dan memang rasa tak ready untuk itu semua, maka aku buat-buat tak tau ajelah.


Bukannya sombong atau pun cuba untuk jual mahal tapi dengan kerjaya aku yang entah kemana, matlamat pun masih jauh dari tercapai buat apa aku peningkan kepala menanggung biawak hidup. Kan? Lagipun aku masih setia dengan cinta senyapku. Cinta dalam diam terhadap gadis yang aku suka dulu. Sampai bila? Dia takkan tahu dan aku pun tak pernah nak bagitau kan?

...Masih bersambung...

Kisah 4.2 (Cinta Dalam Diam)


Dari hari pertama menjalani latihan praktikal, aku dah mula rasa seronok dua-tiga macam kerana awek pujaan lubang hidung hatiku itu juga menjalani latihan praktikal di tempat yang sama dengan tempat denganku. Maka bermulah suatu kisah yang nak dijadikan cerita, boleh pulak dia sama group dengan aku. Maka tak lain tak bukan, maka kebetulan inilah yang menjadi pembakar semangat dan semakin bertambah berkobar-kobar perasaan hati untuk menjalani latihan praktikal.

So berterusanlah hari-hari yang mendatang seperti bebunga indah yang mekar harum di dalam taman hatiku ibarat bebunga sakura berkembangan di padang pasir yang kering kontang. Memang best jugak cinta dalam diam ni. Tetapi mengikut firasat aku yang pernah belajar menjadi seorang tukang tilik buah durian di musim durian, rasa-rasanya dia tahu yang aku suka kat dia. Cuma dia buat tak tau kerana aku rasa dia hanya sukakan aku hanya sebagai kawan.

So di atas alasan itu, aku tidak pernah dan tidak terlintas pun untuk mencurahkan rasa hatiku kerana aku sayangkan persahabatan aku dengannya. Walaupun kadang-kadang hatiku memberontak, merayu supaya aku meluahkan isi hatiku padanya. Demi persahabatan itu, aku melawan segala kehendak hatiku sendiri. Aku risau jikalau aku meluahkan isi hati yang aku sukakannya lebih dari seorang sahabat nanti takut dia terus putuskan hubungan dengan aku. Kan tak best tu...

Hari demi hari persahabatan aku dengan dia semakin akrab. Maklumlah kami satu kumpulan. Kadang-kadang sewaktu kami hanya berdua menyiapkan tugasan-tugasan yang diperlukan semasa berada di kilang tersebut pernah aku dan dia menyanyi lagu nasyid bersama-sama. Dah jadi pasangan duet pulak. Alangkah indahnya. Satu peristiwa yang terjadi, pernah aku dengan dia terpaksa menggunakan tangan untuk menggaul satu larutan yang perlu disediakan. Sedang asyik masing-masing saling menggodak dengan tangan, tiba-tiba aku tersentuh tangannya. “Lembutnya” bisik hatiku. Dia memandang aku dengan muka yang agak blur, selepas tu dengan cepat-cepat aku meminta maaf.

Masa begitu cepat berlalu. Walaupun tempoh untuk aku menjalani latihan praktikal telah pun berakhir, tetapi persahabatan antara aku dan SZ masih berterusan. Aku sering meminta pertolongan dia untuk mengajar aku dalam subjek yang aku agak lemah seperti subjek Matematik Statistik. Setiap kali ada masa terluang (especially di hujung minggu) kami akan belajar di area rumah tempat dia menyewa iaitu di flat ikan. (Sesiapa yang pernah belajar di UPM mesti tau di mana flat ikan ni). Start second year ni pun aku dah stay kat luar kolej, so agak bebas la sikit nak ke mana-mana pun.

Adapun pada suatu hari aku terserempak dengan dia sewatu berada di perpustakaan. Dengan muka yang agak selamba lantas aku menegur SZ tetapi dia buat-buat seperti tidak pernah mengenaliku. Aku tertanya-tanya. Apa sudah jadi ni? Ada perkara yang berlaku membuatkan dia marah padaku? Atau dia sudah tidak mahu berkawan dengan aku lagi? Oh, tidak! Aku kebingungan.....

Malamnya aku menelefon SZ. Bertanyakan hal siang tadi. Kenapa dia begitu sombong dengan aku? Bencikah dia dengan aku? Apa salah aku?
“Memang la tak jawab teguran awak tu sebab semalam tu bukan saya,” sambil tergelak-gelak kecil dia menjawab.
“Bukan awak?” Tanyaku agak kehairan. Takkanlah hantu kot? Atau pelanduk tujuh serupa?
“Iyelah, yang awak nampak semalam tu kakak kembar saya. Sorrylah saya tak bagitau awak yang saya ada kakak kembar,” kali ni SZ menjawab sambil meneruskan gelak.
“Laaa patutla dia tak kenal pun. Saya mati-mati ingat awak semalam. Dah nak kecik hati saya ingatkan awak dah tak nak kawan dengan saya.”

Tak ku sangka pulak yang SZ ni ada saudara kembar. Belajar di UPM jugak cuma ambik course yang berlainan. Muka memang saling tak tumpah, seiras. Lama-kelamaan apabila sudah semakin mengenali, barulah aku dapat membezakan antara SZ dengan kakaknya. Kakaknya agak tinggi sedikit dan yang paling penting baru aku perasan yang bibir SZ lagi cantik, hehehehehe. Oh, bibir yang cantik membuatkan aku teruja sendirian. Memuja dari kejauhan cuma....

Masih aku ingat lagi semasa raya haji tahun itu, aku tak dapat balik beraya di kampung dan SZ pun sama. So, aku meminta pertolongan dia untuk menyediakan sedikit juadah untuk dinikmati bersama kawan-kawan senasib yang tidak dapat balik beraya.

Lalu aku belikan segala bahan-bahan yang diperlukan. Dapatlah aku pertama kalinya merasa masakkan SZ yang berupa rendang ayam dimakan dengan nasi himpit. Punya la best dapat kawan macam dia. Buat aku makin sayang pada dia. Tapi aku terpaksa sayangkan dia hanya sebagai seorang kawan sahaja.

Sampai aku tamat pengajian pun aku masih takut untuk meluahkan rasa hatiku padanya. Walaupun kadang-kadang aku bergayut dengannya melalui perbualan telefon sehingga berjam-jam, tapi aku masih takut. Takut hanya bertepuk sebelah tangan. Cinta itu akan tetap ku pendam selamanya. Tapi sampai bila?

...Sampai bersambung dalam episod yang akan datang....

Kisah 4.1 (Cinta Syok Sendiri?)

Ada pun berlalu la sudah kisah cinta pertamaku itu ibarat digantung tidak bertali. Memutuskan cinta tanpa memberitahu secara terus-terang. Kejam ke sengal? Ataupun sebab kebiolan aku sendiri kan? Dah la tak berapa ready nak bercinta, lepas tu cinta pun ala-ala ekspres rakyat je. Well diam tak diam dah masuk tahun ke-2 aku study. Kalau tengok member-member pun ramai dah bercouple. Aku? Memang standard la jejaka tak berapa macho, pemalu, pendiam dan serius macam aku ni bukan senang nak memikat orang. Dah ler rupa tak seiras dengan Abdul Malek Noor, jejaka rebutan Malaya ketika itu. So dipendekkan cerita memang solo molo Hans Solo ajelah!

Kemudian penyakit lama aku dah datang balik. Nak tau penyakit apa? Alaaa korang ni buat-buat tak tau pulak. Bukan ke aku ni terkenal dengan cinta syok sendiri atau cinta terpendam. Inilah identiti aku beb. Jangan meluat plak, dah jadi tabiat aku tapi bukan buang tebiat.

Dalam duk tengah sibuk study kononnya tapi sambil main-main tu aku tetap seperti kanak-kanak riang yang lain, selalu menghabiskan masa lapang dengan mengumpul setem (serius memang aku banyak main-main masa ambik degree). Tiap-tiap semester ada sahaja subjek yang lingkup atau paling tidak pun dapat D. Isyk-isyk nasib baiklah mak dan ayah aku tak tau. Kalaulah mereka tau, buatnya depa kecik hati kat aku tak pasal-pasal aku dah termasuk dalam kategori anak tak kenang budi!

So masa tu ada la jugak aku ternampak seorang budak course lain tapi sama fakulti dengan aku yang dikenali SZ. Kadang-kadang ada ketikanya dia ambik subjek sama dgn aku. Suka betul aku tengok dia pakai tudung labuh, nampak sopan, ayu dan bibir dia mak eh, sungguh aku berkenan sekali. Tak ku sangka yang aku telah terjatuh cinta pada pandangan pertama dengan bibir si dia hehehe. Entah apa-apa entah.

Apapun muka dia memang cute. Tapi oleh kerana nak mengekalkan status jantan pemalu + pendiam + suka jatuh cinta dalam diam aku ni, maka aku tidak sama sekali berniat nak pi approach ke atau kawasan yang sewaktu dengannya. Just perati dari jauh je. Tapi ada jugak seorang coursemate aku yang sama macam aku suka perhati dan suka tengok bibir budak perempuan ni. Tak disangka pulak kawan aku pun suka jugak tengok bibir budak cute tu. Entah apa-apa la kitaorang ni kan? Gonjol jer lebih!


Saat berganti saat, minit berganti minit, jam berganti jamban, opss jam, hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, seluar jeans aku aje yang tak basuh sebulan hehehe. Taklah melawak je. Walaupun rock tapi seluar basuh seminggu sekali beb! Dah melalut kisah seluar pulak. Nak dijadikan cerita, (punya panjang karangan baru nak mula cerita, agak-agak korang berapa markah kalau korang jadi cikgu BM nak kasik kat karangan aku ni?) Dalam pada duk perhati dari jauh sahaja tu sampai pulak masanya untuk aku menjalani latihan praktikal. Mulanya aku memohon untuk praktikal di negeri kelahiranku tetapi terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kilang tersebut telah menutup operasinya. Punyalah sedih.

Oleh kerana itu, aku tiada pilihan lain terpaksa memohon untuk menjalani latihan praktikal di sebuah kilang yang terletak di Bangi seperti yang telah diarahkan oleh pensyarahku dan syukur Alhamdulilah permohonanku diterima. Tetapi yang kelakarnya pulak, kami beramai-beramai menjalani latihan praktikal di tempat yang sama seperti rombongan Cik Kiah. Kalau tidak silap, adalah dalam 20 orang. Sikit punya meriah latihan praktikal tu. So, first day praktikal aku dengan motor kapcai kesayanganku membonceng member aku sekali terus menuju ke kilang tersebut. La, eh sikit punya ramai org baru ku sedar dalam ramai-ramai tu terselit jugak awek yang aku minat kat bibirnya. Isyk-isyk ni yang makin bersemangat nak menjalani praktikal hehehe. Agak-agaknya apa yang berlaku seterusnya?

...Seterusnya ialah bersambung lagi hehehehe..

Kisah 3.5 (Cinta Pertama III)

Dalam dok beremail dengan awek tu, tup-tup ada satu hari tu kalau tak silap aku masa 1 April aku pun ada send satu email kat dia. Di dalam email tu aku tulis yang aku berminat nak jadikan dia sebagai couple aku. Asalnya tujuan aku masa tu saja-saja nak buat april fool. Tiada niat nak serius pun untuk bercouple. Maklumlah masa tu jiwa dah sebati dengan thrashmetal ni beb (konon-kononnya la). Mana layan awek-awek ni (uwek nak termuntah dengan kenyataan hipokrit diri sendiri). Lagipun aku tak berapa minat sangat nak couple masa ni (agak makin menyampah dengan ayat ni). Entah la..

Hendak dijadikan cerita, boleh pulak awek tu reply email aku dan dia bagitau yang dia sudi jadi awek aku. Aduhai macam mana ni?Adakah dia pun cuba mengApril fool kan aku jugak? Sudah jadi makin complicated pulak. Aku bermain-main ke atau dia yang sedang menyambung permainan aku? Atau bagaimana kalau dia serius? Apa harus aku buat? Memang tiada cara lain lagi, maka aku telah membalas email tersebut dan meminta untuk bertemu dengannya secepat mungkin.

Keesokkan harinya, aku cepat-cepat bergegas menuju ke arah Pusat Komputer setelah tamat kuliah semata-mata untuk membaca email. Untuk pengesahan adakah M telah membalas emailku? Kalau nak cari M di kolej pun aku tak tergamak nak buat macam tu, jadi biarlah email sahajalah yang menjadi penghubung kami. Setelah memeterai janji melalui email, aku menanti dengan penuh debaran dan hampir nak terkucil memandangkan bagi aku inilah first date. Puas ku perhatikan jam di tangan sebab aku memang pakai jam kat tangan dan bukannya di kaki. Masa masih ada lagi 20 minit. Sengaja aku datang awal sebab terlalu excited kot?

Dari kejauhan aku nampak M datang bersama kawannya. Memang aku yang menyuruh dia bawak kawan sebab aku tak suka sangat dating berduaan. Kononnya masa itu aku kan budak baik! Setelah bercakap sepatah dua, kami terus masuk ke dalam KFC. Selepas memesan makanan, kami bertiga menuju ke tempat duduk yang paling sesuai untuk berbicara dari hati ke hati.

“Betul ke awak nak bercouple dengan M ni? Tiba-tiba pulak persoalan itu keluar dari mulut kawan M dan bukan dari mulut dia sendiri.
“Iye betul saya serius. Mulanya saya ingat nak “april fool” ajer tapi alang-alang saya pun rasa macam dah suka kat dia, jadi tak salah kan?”
“Tapi awak kena ingat, M ni belum pernah bercinta pun sebelum ni. Jadi saya tak mahu awak main-mainkan dia ok?” Khutbah si tukang cakap itu lagi sambil tangannya semakin rancak menguliti ayam goreng KFC.
“Insya-Allah. Saya ikhlas dan akan cuba menjadi couple yang baik,” jawabku sambil memandang M yang masih belum bersuara dari tadi. Mahal sangat kot suaranya sampai terdiam ajer dari tadi?
“Oklah saya bagi peluang awak berdua pulak bercakap. Biar saya tunggu kat luar,” sambung jurucakap rasmi itu lagi. Eleh mentang ayam dah habis 2 ketul baru nak keluar, ejek aku dalam hatiku sendiri......

Setelah jurucakap rasmi itu keluar menunggu di luar, aku meneruskan perbualan dengan M. Tiada apa sangat yang hendak dibualkan kerana masing-masing masih kekok dengan suasana dan keadaan yang baru. Maklumlah baru sahaja membuat deklarasi pengisytiharan sebagai sepasang kekasih. Suasana yang ekok tidak berlarutan agak lama kerana sudah sampai masanya untuk kami menamatkan pertemuan itu.

Dah tak pasal-pasal aku mendapat seorang awek kerana kononnya bermula dengan gurauan April fool. Jadi aku pun layan la sebab sebenarnya hendak juga merasa ada awek. Bermula 1 April secara automatik pertama kalinya dalam sejarah hidup aku mendapat seorang awek yang sebenarnya dan bukannya lagi menjalinkan cinta di dalam diam atau sekadar sekadar syok sendiri sebagaimana sebelum ni. Kira ok la kan?

Cuma yang agak peliknya, walaupun kitaorang sedang couple tetapi aku jarang keluar date dengan M. Kalau keluar pun aku pasti akan suruh M bawak member. Tak pernah dating berdua-duan sahaja sebab aku takut nanti jadi bertigaan atau berempatan. Al-maklumlah masa tu aku masih suci lagi murni kononnya. Tapi cinta aku ni tetap berjalan dengan lancar walaupun kami jarang bertemu dan masing-masing sibuk dengan kuliah dan asignment. Walaupun aku selalunya buat-buat sibuk sahaja.

Bertambah pelik lagi ajaib dalam bercinta dengan M aku boleh pulak terminat dengan seorang awek di fakultiku yang akan aku ceritakan di dalam siri akan datang. Bercinta dengan M tetapi merindui orang lain? Apa ke gila aku ni? Kemuncak perhubungan kami apabila berlaku satu peristiwa. Aku dan M bergaduh hanya kerana berlaku satu kes. Kisahnya ada satu hari M mengajak aku dating dan pi jalan-jalan naik motor bukan dengan kaki.


Apalah nasib malang pulak motor aku tengah rosak masa tu. Jadi aku bagitau yang aku tak dapat pi sebab motor aku rosak. Dia cakap takpe, boleh bawak motor dia sambil aku boncengkan dia. Isyk ni yang hangin. Aku ni mana boleh naik motor dengan perempuan lain yang bukan muhrim sebab masa tu aku kan tengah suci lagi murni kononnya. Tengah alim-alim kucing la katakan. Member aku yang selalu naik motor dengan awek dia pun selamba aje aku selalu sound "HARAM". Jadi takkan la diri sendiri pulak nak buat benda macam tu kan? Tak senonoh tu cakap tak serupa bikin!

Maka terjadilah pergaduhan antara aku dan M dan isu itu mula berbangkit. M menuduh aku kolot. Isyk, geram punya pasal sampai sebulan aku tak contact dia (masa ni dia dah keluar kolej, rumah sewa dia ada telefon). Sedangkan aku ni pulak masih duduk kat kolej jadi nak menunggu giliran nak guna public phone pun aku dah fed-up, apa lagi nak call dia.

Jadi bila dah tak berjumpa dan tak berhubungan melalui telefon aku pun mengganggp segalanya sudah berakhir kot? Ataupun kira-kiranya aku biarkan dia merajuk sepuas-puas hatinya. Sikit punya bagus kan? Betapa terserlah tidak senonohnya perangai aku pada masa tu. Tapi tak adil untuk salahkan aku 100 peratus kan? Maklumlah dah la tak berapa ready sangat nak bercinta, lepas tu tak berapa suka pulak buat benda-benda yang tak berapa elok masa tengah couple. Hisyk budak baik ke aku ni?
Tanpa ada sebarang kata putus, aku telah menganggap cinta pertama aku itu telah tamat begitu sahaja. Tanpa sebarang ucapan selamat tinggal kerana keegoanku sendiri. Maka dengan itu, aku terus mengakhiri kisah cinta pertama yang terjadi tanpa dirancang dan di luar keinginan.

...Kisah selanjutnya akan datang...

Kisah 3.4 (Cinta Pertama II)


Diam tak diam sempat jugak la aku kerja kat kilang beehoon itu dalam masa lebih kurang 2 bulan. Cuma yang tak berapa best kalau kena shift malam. Alamak meremang bulu roma kalau nak balik sebab habis kerja pukul 12 malam. Tambah menyeramkan kena balik melalui jalan yang gelap dan di penuhi hutan pokok gelam. Ngeri jugak kadang-kadang sampai meremang bulu roma. Paling lawak sambil bawak motor kapcai aku akan membaca ayat Al-Quran dengan sekuat-kuat hati seorang diri di tengah malam-malam buta sewaktu melalui kawasan yang agak menegakkan bulu roma...

Hendak dijadikan cerita selepas sahaja abis cuti semester, aku pun menyambung kembali pengajianku di UPM juga dengan course rahsia. Selepas beberapa bulan aku masih lagi solo dan komited dengan study. Di dalam kisah cinta secara senyap aku dalam episod terdahulu iaitu tentang kisah aku yang dah terminat kat seorang junior tetapi tiada respon kerana aku sendiri yang tiada inisiatif dan keberanian untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

Jadi cinta yang tak kesampaian itu berakhir sehinggalah masuk bulan ke-4 aku study setelah aku mengetahui bahawa budak tersebut telah selamat menjadi awek salah seorang seniorku. Berakhirlah sudah kisah cinta syok sendiri dan aku still solo lagi. Masuk semester 2, hendak dijadikan cerita semasa tengah sibuk membeli makanan di kafeteria yang terletak di Kolej 5, aku pun ternampak awek ni iaitu M yang sama kerja dengan aku masa di kilang beehon tempohari. Dunia ini sempit sahaja rupanya!

Tiba-tiba ada pulak kuasa ajaib tahap dewa tenuk ilmu sinar gamma menembusi dinding peringkat 8 telah memberikan aku keberanian untuk menegur dia. Tanpa rasa segan atau rendah diri aku menegur M.
"Eh, rasanya saya macam pernah nampak la awak ni. Awak pernah kerja kat kilang beehoon tu kan?"
Sambil tersenyum dia pun menjawab.
"Aaa yela. Eh awak pun sambung study sini erk.?"
Laa memang la aku sambung study kat sini. Takkan la study kat Britain pulak tapi lunch kat Malaysia ujarku kepada diriku sendiri di dalam hati tanda meloyar buruk!
Aku pun jawab.
“Iyerlah, hari tu cuti, jadi sekarang saya dah sambung degree. Anyway siapa nama awak erk?”
“Nama saya M. Awak pulak?”
“Just call me Jemmy. Oklah pergi dulu, kawan tengah menanti. Ada jodoh jumpa lagi.”

Itu sahajalah perbualan ringkas kitaorang kerana aku rasa korang sendiri pun faham-faham sahajalah maca mana perangai aku kalau berhadapan dengan awek. Mujur tak sampai menggigil tahap tak hingat dunia punya. Percakapan pun dah lawas tak lawas macam kambing menghidap sembelit sebab termakan biji guli, hehehehe.

Jadi bermula dari perbualan itu, pertemuan kami sekali itu sahaja dan tiada pertemuan susulan. Hendak dijadikan jalan cerita, ketika itu pantang ada masa free dan sewaktu ketiadaan kuliah sahaja aku pergi melepak di Pusat Komputer UPM. Ini semua gara-gara kawan-kawan aku yang mengajak aku dan untuk kesekiankalinya aku terus menjadi penunggu setia di Pusat Komputer UPM mengalahkan penunggu di waktu malam! Sambil-sambil melayan email dan berchatting di Bulettin Board System(BBS). Pada masa itu, belum ada lagi program chatting yang canggih seperti sekarang. Lagipun sebenarnya tidak boleh sesuka hati berchatting di IRC sebab kena marah dengan pegawai di Pusat Komputer yang kerek tu.

Antara BBS yang popular ketika tahun itu ialah BBS UTM dan BBS KUSZA. Agak ramai jugalah kenalan-kenalan yang aku perolehi dan hampir semuanya adalah terdiri dari pelajar-pelajar universiti lain. Cuma yang tak berapa best bila nak guna komputer terpaksa beratur menunggu giliran. Kadang-kadang sampai 2-3 jam. Tengah aku kebosanan menunggu, nasib aku baik setelah komputer yang aku booking tadi telah pun kosong. Tanpa membuang walaupun sedetik waktu aku terus menuju ke arah komputer tersebut. Baru sahaja aku nak melabuhkan punggungku yang tak berapa besar, tiba-tiba baru aku terperasan (bukan perasan tau) rupanya M yang duduk sebelah kerusi yang aku duduki..

Dengan penuh perasan gentleman aku menegur M.
“Laa jumpa lagi kita hehehe. Tak sangka rupanya UPM ni kecik aje.”
Dia pun tersenyum memandang aku.
“Awak tengah baca email ke?” Tanyaku lagi tanpa mempunyai perasaan malu di muka.
“Aaa,” jawabnya ringkas.
Belum sempat untuk berbual lama, tiba-tiba dia bersuara meminta diri.
“Maaf sebenarnya saya dah nak balik ni. Lagipun kejap lagi saya dah ada kelas.”
Sebelum dia beredar, sempat juga aku meminta alamat emailnya. Masa tu alamat email student UPM menggunakan ID nombor matrik.

Jadi, bila sudah dapat alamat emai makal senang la sikit nak berhubungan melalui email. Masa itu belum lagi berleluasa SMS seperti zaman sekarang. Lagipun mana ada handphone murah-murah macam sekarang kan? Kalau ada pun Nokia pisang mahal tu beb, kalau tak silap aku harganya lebih kurang RM1200. Zaman pelajar ni harga macam itu agak mahal. Mana mampu bebudak U macam aku nak beli. Jadi bermula la episod email antara aku dengan budak itu. Tapi bukan kerap sangat pun beremail. Kadang-kadang sebulan 2-3 kali sahaja. Sampailah ke satu hari. Isyk hari apa erk? Isyk hari.. hari.. alamak hari sambungan untuk cerita ini nanti hehehe...

...Jgn marah beb ada sambungan lagi...

Kisah 3.3 (Cinta Pertama I)

Dah nasib aku yang pemalu + pendiam + penakut + perasan (erk perasan ker?) ni kalau suka kat sesorang tu, aku hanya pendamkan sahaja sekadar jadi cinta syok sendiri. Jadi dengan budak junior yang aku minat sampai tahap berdebar-debar jantung sampai nak terkeluar dari rongga toraks ketika terserempak tu lama-lama aku simpan dan pendamkan sahaja sehingga menjadi perkasam. So dah abis kisah tu aku pun masih lagi solo molo macam Hans Solo dalam cerita Star Wars tu. Tapi Hans Solo tu hensem lagi dari aku sebab aku ni muka pun macam muka stok pecah stor je. Erk merepek apa pulak aku kali ni?


Maka bermulah kisah cinta pertama aku yang sebenarnya kot? Kisah ini ialah antara aku dengan seorang budak bernama M ajerlah ok? Ini kan standard dalam kisah-kisah luahan rasa guna satu huruf sahaja sebagai pengganti nama.

Semasa aku bercuti selepas tamat pengajian matrikulasi tu, sempat jugak aku meluangkan masa yang ada dengan berkerja di sebuah kilang di tempat kelahiran aku. Kilang membuat beehoon tu hehehe. Gaji dapat ler dalam RM300 sebulan. Kira ok la zaman tu kot. Cukup la nak makan sorang-sorang. Isi minyak motorsikal sedikit. Masa tu minyak petrol lagi murah dari harga air mineral. Sekarang jangan cerita la. Harga minyak ajer dah boleh buat kita naik minyak... So, masa kerja tu, standard la kat kilang mesti ada bebudak perempuan punya. Tetapi macam biasa la, aku ni tak berani nak usha. Sekadar memerhati dari jauh ajer.

Aku kan jejaka pemalu di abad ini. Sudah tentu kalau aku ni jantan buaya dan muka tak tahu malu dah lama aku mengurat semua awek-awek yang ada tu termasuk dengan M sekali. Kadang-kadang sambil tekun buat kerja, mata aku pun tekun menyelinap mencuri pandang ke arah awek-awek yang tekun membuat kerja masing-masing. Nasib baiklah mencuri pandang tidak dikategorikan sebagai kesalahan dalam jenayah mencuri. Kalau tidak, agaknya dah berapa kali aku akan didakwa kerana mencuri pandang anak dara orang! Malah bukan aku seorang malah banyak lagi lelaki lain yang bermata keranjang akan memenuhi penjara di Malaysia kerana kesalahan mencuri pandang...

...Erkk alamak... apakah aduhai... sambung lagi...

Kisah 3.2 (Secret Admirer)


Biasalah beb, tengah sibuk-sibuk depa duk layan bebudak junior tu ada la aku ternampak seorang awek nak kata cun tu takdelah biasa jer. Kulit hitam manis tapi nampak sungguh menawan. Macam biasalah dah start minat plak kat awek ni hehehe. Padahal masa tu aku pun tengah layan geng-geng thrashmetal. layan lagu Silentdeath, Braindeath, Cromok dan macam lagi la. (Konon brutal la hehehe) Pakaian pun dah tak skema lagi. Aku dah mula pakai rugged, seluar jeans dengan baju hitam ada cover album Before the Sunrise kumpulan Silentdeath. Pastu baju Cromok Forever in Time la dan macam-macam lagi.. Maklumlah tengah brutal tapi jiwang hehehe. Malah dah bertekad kononnya tak main la ada awek-awek ni. Tapi bila terpandang ajer seorang budak junior ni macam dah suka pulak.

So, macam biasa la jejaka pemalu + pendiam tapi perasan (eh perasan ker aku) macam aku ni fikir jugak apa alternatif dan bagaimana caranya untuk aku berkenalan dengan budak ni. Nak cakap direct jer, confirm aku tak berani la. Aci potong jari ayam pun aku tak berani punya! Setelah berfikir semasak-masaknya serta mendapat sokongan dan inspirasi dari room-mate aku maka dengan senekadnya aku mengambil keputusan untuk meluahkan juga perasaan hatiku.Tapi korang jangan gelak pulak dgn cara kuno aku ni. Ada ke aku pi tulis surat macam bercinta zaman sekolah rendah hahaha.

So caranya aku karangkanlah sepucuk surat tanpa menyatakan siapa nama aku, guna nama samaran sahaja. Pastu tak bagitau nombor bilik mana cuma tulis nama blok tempat aku stay dalam surat itu. Surat yang aku tulis bukannya panjang berjela-jela Cuma penuh dengan ayat jiwang karat yang memuji kecantikannya dan meluahkan perasaan betapa aku terlalu minat kat dia setelah terpandang dirinya buat kali pertama. Inikah yang dikatakan cinta pandang pertama?

Tanpa memikirkan apakah response dari budak perempuan itu, setelah memerhatikan keadaan sekeliling yang selamat, maka aku pun meletakkan surat cinta karangan budak darjah 5 Anggur tersebut ke dalam mailbox dia di pejabat kolej. Nama penuh si dia pun aku tak berapa tau sangat cuma main letak ajer la nama dia yang aku agak-agak betul la kot? Itupun setelah aku bertanya dengan room-mate aku, hehehe. Selepas 2-3 hari menanti, masih tiada respon dari si dia. Iyerlah secara logiknya macamana dia nak respon sebab mungkin dia pun tidak tahu siapa yang menghantar dan kemungkinan besar surat itu tidak sampai ke tangannya kot? Walau apa pun aku tetap menunggu dan menunggu tanpa berbuat sesuatu apa pun lantas menjaga reputasi diriku yang pemalu + pendiam itu.

Tapi adakala hatiku tidak tertahan setiap kali terserempak dengan dia semasa nak pergi ke kafe atau pun dalam perjalanan nak pergi kuliah. Jantung aku bagaikan nak tercabut dan berdegup kencang setiap kali terpandang matanya. Aku menjad begitu pemalu sehingga aku hanya mampu untuk seketika lantas aku hanya mampu memandang lantai. Isyk punya la dasyat sampai macam tu sekali aku jadi tidak keruan.

Akhirnya cinta aku ni pun tetap menjadi cinta yang terpendam a.k.a cinta syok sendiri lagi. Tak tahulah nak buat macam mana dah orang pemalu + pendiam + penakut macam aku ni memang la susah kan? Lagipun masa tu aku ni bukannya bersedia sangat untuk bercinta ni. Entah la kan?

Namun setiap kali terserempak dengan wajah itu di mana-mana sahaja di sekitar UPM, aku masih menjadi tidak keruan. Walaupun aku pasti yang dia tidak mungkin akan menjadi milikku, tetapi jauh di sudut hati aku menyimpan satu impian. Sama ada tercapai atau tidak, biarlah takdir yang menentukan...


...Impian Bersambung...


Followers