Selamat Tinggal 2009, Selamat Datang 2010

Diam tak diam, pejam celik pejam celik (pejam tak celik terus pergi batu dua) dah habis 2009, esok dah 2010. Selamat tinggal 2009, Selamat Datang 2010. Bagaimana azam kita? Sudah tercapai 100%? Lebih 80% atau langsung 0%? Apa pulak azam tahun baru 2010?

Apapun semoga tahun baru ini memberikan kita seribu rahmat, kebahagiaan, murah rezeki serta di panjangkan umur. Sambutlah tahun baru dengan harga gula baru! Tunggu apa lagi nak naik selepas ini agaknya ye???



Kita dan Sampah....


(Foto ehsan Malaysian Gost Researcher)

Aku memang betul-betul menyampah dgn manusia yg suka buang sampah merata2.. Cuba perhatikan keliling kita. depan taman, tepi pantai, tepi2 jalan raya, dlm longkang, depan dapur, depan rmh, tepi rumah, pendek kata (bukan aku kata) kalau pergi mana2 pun terlalu senang utk melihat sampah. Bahkan skrg bayi pun dh dibuang mcm sampah.. Apa punya mentaliti la rakyat Malaysia yg kita ada skrg ni? Konon nak maju, nk kemudahan kelas pertama tp cara pikir dan otak masih duk kelas ke-3.. hampehhh!!!

Kalau korang selalu tgk lepas apa2 sambutan mcm kt dataran ke atau mana2 tmpt sekali pun, habis majlis apa yg tinggal? SAMPAH SARAP!!! NAik menyampah tukang sapu sampah tu yg nk sapu semua.. Mana letaknya otak org yg buat benda2 camni ek?

LAgi satu yg selalu aku perhatikan, bukak je tingkap kereta.. gedebush buang sampah tepi jln, tgh jln, dkt line putih jln... boleh jln la org camni menyakitkan hati dan mata org lain... SAMPAH oh SAMPAH.. bila rakyat Malaysia nk berubah??? Sendiri mau ingat haaaaa....

Kisah 7.4 (Hanya Itu yang Termampu)

Indahnya saat-saat bersama CS ketika makan pizza dan bermain boling tetap menjadi antara kenangan yang terindah di dalam lipatan sejarah hidupku. Langsungnya, bermula hari itu perhubungan kami atau aku lebih ertikan persahabatan kami menjadi lebih akrab. Kadang-kadang tiada lagi panggilan bahasa formal seperti panggilan awak dan saya dan panggilan menjadi aku dan engkau sahaja. Tapi kadang-kadang sahajalah...
Seringkali kami berborak-borak seandainya tidak banyak kerja yang perlu dilakukan. Tapi adakah kemesraan itu telah bermakna lahirnya cinta antara kami? Ya... memang aku mula menyintai dia. Mula menyayangi dia, tapi sayangnya segala cinta dan kasih sayang itu tidak ku zahirkan. Hanya terpendam jauh di sudut hatiku. Aku tidak mempunyai keberanian walau sekelumit pun untuk meluahkan apa yang aku rasa kerana aku tidak pasti adakah dia merasa seperti apa yang aku rasa?


Walau pun kami selalu berbual-bual, kadang berSMS dan adakalanya aku call CS bila aku boring tetapi... Arghhhh... aku tidak berani untuk berbicara tentang perasaan aku. Hatta nak melawak tentang hati dan perasaan pun aku tak berani. Alangkah indahnya kalau aku mempunyai walaupun sekelumit keberanian itu.

Bila aku merinduinya, aku hanya pendamkan. Sudah nyata penyakit lama aku yang selama ini aku menghidapinya iaitu penyakit misteri yang bernama ‘penyakit pendam perasaan’ kembali menular ke dalam segenap urat saraf aku dan kembali merajai hati, naluri dan jiwaku. Apapun aku sedar memang dia terlalu cantik untuk diriku. Tidak sepadan, ibarat buah pinang dibelah dengan kapak. Sebelah sana senget, sebelah sini retak!

Cinta di dalam makin menyeksakan. Hendak diluah aku takut malu sendiri, dipendam terasakan seperti bom yang sarat dan hampir meletup. Bukan aku tak biasa memendam perasaan di dalam hidup tetapi kali ini ianya benar-benar mencabar bagiku. Tapi ada tembok halangan yang begitu tinggi menghalangiku. Tembok yang aku bina sendiri, iaitu tembok keraguan dan tembok perasaan malu. (Sebab aku bukanlah bermuka tembok ok?)

“Apa pendapat engkau tentang CS?” Tanyaku kepada teman serumah yang kerap menjadi mangsa untuk aku berkongsi perasaan setiap kali aku terasa ingin meluahkannya kepada seseorang.

“Eh budak tu memang la lawa gila,” jawab member aku dengan selamba.

“Memang la dia lawa, tapi setahu aku dia belum gila,” uku pulak yang berkata dengan selambanya.

“Apsal pulak engkau tanya? Takkan engkau nak mengurat dia pulak kot?” Kali ni aku pula yang ditujukan dengan soalan-soalan yang membuat aku termangu seketika.

“Taklah aku saja bertanya pendapat engkau,” jawabku yang cuba menyembunyikan hakikat yang sebenarnya.

“Iyalah bagi aku perempuan yang lawa macam tu, hampir sempurna takkanlah belum ada pakwe kan? Malah aku pun tak berani nak mengurat dia,” sambung memberku yang bagiku memang agak hensem jugak sebab mempunyai paras rupa Chinese look. (Dia memang anak mix, emaknya Cina)

“Isyk engkau yang hensem ni pun tak berani nak ngurat dia, takkanlah aku yang tak berapa nak hensem ni nak mengurat dia kot?” Kataku sambil tersenyum dengan senyuman yang dibuat-buat kerana menyedari aku memang tak sepadan dengan CS. Biarlah ku pendam sebuah cinta...

“Jemmy.” Tiba-tiba aku terdengar seperti namaku dipanggil sedang aku asyik menyiapkan tugasanku. Sepertinya suara itu agak biasa ku dengar.

“Ya, Cik CS ada apa yang saya boleh bantu?” Aku menjawab dengan suara dan gaya sopan anak teruna pemalu.

“Hujung minggu ni free tak? Kalau boleh saya nak mintak tolong awak temankan saya pi beli barang.”

“Insya-Allah rasanya boleh sebab saya tak ke mana-mana weekend ni.

“Takpe ker? Tak menyusahkan awak?”

“Isyk taklah.”

Hujung minggu, seperti yang telah dijanjikan aku menemani CS keluar membeli barangan keperluan di Giant. Seperti biasa kami ditemani oleh jejambat menara KLCC. Siapa lagi kalau bukan RF. Terasa seperti aku ni berjalan-jalan dengan isteri dan ditemani madunya sekali hehehehe.

Tapi bagaimakah aku harus meneruskan hubungan senyap ini? Cinta di dalam diam. Aduh, sungguh aku tidak berani! Apakah pengakhiran kisah cinta di dalam diam ini penuh dengan keindahan yang diimpikan oleh setiap insan?





...Sememangnya aku tercabar untuk menyiapkan kisah ini...

Kisah 7.3 (Keindahan Dalam Sepi)

Tidak lama aku menantikan jawapan keluar dari bibir indah bak delima merekah itu. Tanpa ku duga jawapan yang aku terima amat menggembirakan. Sungguh tak disangka CS sanggup belanja aku makan pizza. Seronoknya!
“Ok, esok nak pi pukul berapa?” Tanya CS sambil matanya tepat memandang ke arahku.

“Terpulanglah kat awak. Saya ni tak kisah pukul berapa pun. Lagipun awak yang nak belanja saya, jadi baik awak yang tentukan waktunya,” aku menjawab sambil terkebil-kebil kerana agak kekok dipandang sebegitu sekali.

“Kalau gitu, esok pukul 12 tengah hari awak datang ambik saya kat rumah ok? Tapi saya kena ajak kawan sekerja kita yang lagi sorang tu takpe kan?”

Oh, tak mengapa tuan puteri idaman hamba! Ajaklah sesiapa sahaja yang tuan puteri mahukan. Asalkan hamba dapat keluar makan dengan tuan puteri. Aku terus bermonolog dengan hati sendiri dek kerana terlalu gembira...

“Oklah puteri. Saya balik dululah. Dah lewat ni nanti tak manis pulak dipandang jiran-jiran awak.”

“Awak panggil apa tadi?”

“Opps alamak! Saya terpanggil puteri ke kat awak?” Tanyaku dengan perasan penuh malu kerana dari alam monolog boleh terkeluar ke alam nyata. Sungguh memalukan, terkantoi!

“Oooo ni mesti awak ada awek nama puteri kan?”

“Eh, mana ada. Siapalah yang sudi berpakwekan saya ni. Tadi tersasul je panggil awak puteri, hehehehe. Takpelah saya balik dulu. Esok saya jemput awak tepat jam 12.00,” aku tersipu-sipu kerana menahan malu yang teramat sangat.

“Ok terima kasih banyak-banyak sebab dah sudi tolong saya.”

“Sama-sama kasih. Small matter je tu,” Aku terus melawak menyebabkan CS tersenyum.

Kereta ku hidupkan. Dengan perasaan agak berat sebenarnya, aku terus pulang ke rumah. Kalau boleh aku nak sembang dengan CS lama-lama lagi tapi macam seganlah pulak. Nanti apa kata teman serumah dia dan jiran-jirannya.

Malam itu aku seperti tidak mengantuk. Seperti teramat payah untuk mata ini terpejam. Sekejap aku mengiring ke arah kanan. Sekejap ke arah kiri. Agak boring, aku beralih tidur di atas sofa di ruang tamu sambil menonton TV. Biasanya aku mudah tidur di hadapan TV. Dek kerana terlalu seronok dapat keluar dengan awek idaman hati membuatkan fikiranku melayang dan terus terlena. Mujurlah aku dah setkan off-timer pada TV.

Apa yang pasti, aku hanya tersedar setelah bunyi jam loceng berkumandang di subuh yang hening. Memandangkan hari ni cuti, selesai sahaja solat Subuh aku terus menyambung kembali tidur yang sudah beberapa hari tertunggak kerana sering berjaga lewat pagi semata-mata nak membaiki komputer CS. Kalau dah suka la katakan.....

Pukul 10.30 pagi baru aku terbangun dari lena. Macam ni punya tidur, bayi pun boleh kalah! Tanpa berlengah aku terus mandi dan menyiapkan diri. Ku capai baju kegemaranku, berseluar slack dan terus menyemburkan wangian Polo Blue yang menjadi jenama minyak wangiku yang rasmi. Mana tau kot-kot CS boleh terpikat dengan bau perfume aku ni mana tau kan? Kalau dia tak terpikat kat aku pun sekurang-kurangnya dia terpikat dengan bau wangian aku ini pun sudah cukup bagiku!

Dengan perasaan yang berkobar-kobar aku terus menuju ke rumah sewa CS. Sesudah sampai, aku terus menghantar SMS memberitahunya yang aku sudah tiba di hadapan rumahnya. Tak sampai 2 minit CS pun keluar dengan ditemani rakan serumahnya, RF yang juga teman sekerja kami. Aku teringin sangat CS duduk di sebelahku, tapi apakan daya depa dua-dua orang pakat duk belakang. Jadilah aku seperti seorang pemandu yang membawa 2 orang ‘mem’ besar. Huhuhuhuhu.... Tapi takpelah mungkin dia segan. Maklumlah baru kali pertama kami keluar bersama.

Sepanjang perjalanan masing-masing membisu. Tiada sepatah perkataan yang keluar. Aku yang mula terasa kekok dengan keadaan itu memulakan perbualan.

“Korang berdua ni kalau hujung minggu camni biasa buat apa erk?”

“Biasalah kita ni orang perempuan, takde kereta pulak tu. Mana la nak pi jalan-jalan sangat. Duduk rumah ajerlah buat apa yang patut,” ujar CS menjawab soalanku.

Awek yang lagi sorang tu masih membisu. Padahal bukan dia tak kenal aku malah rasanya selalu juga dia bertegur sapa dengan aku masa kat tempat kerja. Agaknya dia kekok kot keluar dengan kawan sekerja?

“Abis Jemmy biasa buat apa pulak kalau hari minggu?” Kali ni giliran CS pulak yang bertanya.

“Saya ni tak tentu. Tengok mood. Kalau datang mood tak berapa nak ok, biasa saya tengok TV jer sehari suntuk. Takpun saya main game kat komputer. Kalau datang mood rasa nak jalan-jalan pernah saya pi sarapan sampai ke Kota Tinggi, pastu pi beli surat khabar kat Desaru, hehehehe,” jawabku dengan panjang lebar sambil tergelak.

“Hah yang awak ni pulak RF senyap je dari tadi. Tak nak join sembang ke?” Tanyaku pada teman CS yang senyap je dari tadi.

“Takdelah, saje bagi can korang berbual. Saya tak nak la kacau daun,” sambut RF dengan jujurnya. Anak sapalah yang baik sungguh dan begitu sporting sekali!

“Kacau daun apanya pulak. Sapa bawak daun kat sini? Kalau kacau pun kacau air teh dah ler,” jawab aku dengan lawak yang aku sendiri pun tak gelak...

Sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20 minit itu yang pada mulanya sunyi makin terisi dengan perbualan demi perbualan. Kebanyakkan hanya berkisarkan soal kerja dan serba sedikit soal kehidupan masing-masing.

Sampai ke destinasi tujuan di sebuah pusat membeli-belah yang agak popular di tempat kami, aku pun terus parking kereta. Kami berjalan beriringan bertiga. Sempat pulak si RF melawak.

“ Baru aku perasan yang aku ni seperti jejambat yang menghubungkan menara berkembar KLCC.”

“Apsal pulak awak cakap macam tu?” Aku bertanya kehairanan kerana masih kurang mengerti dengan maksud RF.

“Iyerlah cuba korang tengok. Aku ni rendah. Korang berdua tinggi. Lepas tu aku pulak berjalan kat tengah-tengah dihimpit oleh korang berdua yang tinggi macam KLCC ni. Tak ke aku ni macam jejambat KLCC?” Jelas RF yang memecahkan deraian ketawa dari kami bersama.

Selesai menjamah pizza sebanyak 1 set medium dan 1 set kecil, 4 ketul chicken wing, dan sup creamy mushroom, (tak sangka aku pulak depa berdua ni memang kuat gak makan) kami masing-masing kekenyangan. Kemudian aku mengajukan satu cadangan untuk mereka berdua.

“Eh, apa kata lepas ni kita pi main boling nak? Jangan risau kali ni saya belanja.”

“Ok jugak tu tapi kami ni tak biasa main boling.” Jawab CS.


“Belasah ajer. Saya pun buka pandai sangat. Saja suka-suka.”

Dan petang itupun menjadi saksi, kami begitu seronok bermain boling walaupun sebenarnya lebih banyak bermain longkang (sebab bola asyik masuk dalam longkang jer). Tak ku sangka rupanya CS pun berbakat jugak walaupun katanya sepanjang hidupnya ni baru kali ke-2 dia bermain boling. Malunya aku tewas di tangan CS. Tapi apapun aku dah lama tak merasa keseronokan yang sebegini. Hidupku yang sudah agak lama kesepian tiba-tiba terasa keindahan yang teramat sangat. Keindahan dalam sepi......





...Cabaran untuk meneruskan sambungan semakin hebat...

Kisah 7.2 (Andainya Dia Mengerti)

Hati lelaki mana yang tidak suka andainya bunga idaman yang sedang harum berkembang mekar walaupun di taman jiran sebelah rumah tiba-tiba datang menyerah diri meminta bantuan. Masa inilah nak tunjuk hero dan kebolehan diri sendiri kan?
Tanpa berlengah walaupun sedetik waktu cuma, aku memberikan persetujuan untuk membaiki komputer CS. Tapi masalahnya sudah agak lama aku tidak membaiki komputer. Boleh lagi ke? Kali terakhir seingat aku, masa aku tengah belajar dulu. Agak-agaknya dah berkarat ilmu yang aku ada serba sedikit.

“Komputer awak tu rosak macam mana?”

“Entahlah, kadang-kadang bila nak start windows, komputer slow sangat sampaikan 30 minit menunggu. Bulan lepas dah hantar repair kat kedai, ok sekejap pastu buat hal balik.”

“Oklah nanti petang lepas waktu kerja saya singgah ambik komputer depan rumah awak. Tapi apa-apahal pun bagilah nombor telefon awak supaya nanti senang saya nak hubungi awak kalau ada apa-apa hal ok?” Aku berkata sambil membuat muka serius kononnya, padahal aku cuba memasang jerat untuk mendapatkan nombor telefonnya yang sudah lama aku inginkan.

“Yes!” Akhirnya CS memberikan nombor telefonnya jeritku sekuat hati sambil melompat-lompat ala tenuk dan terus menari keriangan gaya tarian rampai tetapi di dalam hati sahaja. Takkanlah aku nak menjatuhkan saham sendiri di hadapan awek idaman pulak! Nanti tak pasal-pasal aku dituduh gila.

Petang selepas tamat waktu bekerja aku tidak terus pulang ke rumah. Oleh kerana janji dengan CS maka aku pun terus menuju ke rumahnya yang berjarak hanya sepelaung dari tempat kerja kami.

Sampai ke rumah CS, aku terus menghubunginya memberitahu yang aku sudah sampai. Tergesa-gesa aku tengok CS keluar dengan baju kurung yang ayu tetapi bertudung dengan kain tuala. Sungguh ajaib walaupun hanya menggunakan tuala sebagai penutup kepala, keayuan CS terserlah seperti mak datin yang menggunakan tudung bawal bertitahkan batu permata. Apa mata aku sudah rabun kerana jatuh cinta atau sememangnya dia terlalu cantik?

“Sorrylah menyusahkan awak aje Jemmy.”

“Takpelah saya memang suka kalau orang secantik awak menyusahkan saya, hehehe...” kataku melawak sambil tergelak kecil dengan lawak sendiri.

“Banyaklah awak punya cantik,” kata CS menafikan atau barangkali segan?

“Sebenar saya minat repair komputer. Satu kepuasan bagi saya kalau saya dapat menyelesaikan masalah komputer awak ni. Jadi segala CD software driver awak dah sertakan sekali ke?”

“Dah. Kalau ada apa-apa yang terkurang lagi nanti Jemmy call lah saya ok?”

“Confirm saya akan call awak hari-hari kalau awak nak,” kataku melawak untuk kesekian kalinya lantas menimbulkan senyuman manis di wajah CS yang disertakan lesung pipit yang melengkapkan lagi pakej wajah yang indah itu. Eii, geramnya aku melihat lesung pipit itu. Kalaulah aku boleh mencuri lesung pipit itu dan tuannya sekali. Bertuahnya sesiapa yang dapat memiliki lesung pipit itu. Kalau aku yang dapat, sumpah 8 hari 8 malam aku tak nak keluar rumah, hehehehehe.....


Malam lepas solat dan menikmati makan malam bersama kawan-kawan di dapur kedua kami iaitu di kedai makan yang berhampiran, aku terus mengadap komputer CS untuk meneliti apakah punca dan masalah yang melanda.

“Ah, senang aje. Ini semua angkara virus yang telah menyerang system file dan menyebabkan komputer seperti terbeban untuk memulakan operasi,” ngomelku sendirian memberikan pendapat kepada diri sendiri yang tidak memiliki kepakaran secara formal dalam bidang baik pulih komputer. Apa yang aku tahu hanyalah kaedah cuba jaya yang aku selalu guna pakai pada komputer aku sendiri. Alhamdulillah, setakat ini aku dapat membantu masalah komputer kawan-kawan masa belajar dulu walaupun secara suka-suka sahaja.

Hampir 4 jam aku mengadap komputer. Mata sudah berpinar-pinar, jam pun sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi.

“Ah, esok ajelah aku sambung repair lagi komputer ni. Kalau tak dapat settle jugak, pilihan terakhir aku terpaksa format hard disk.”
“Saya dah tengok-tengok kan komputer tu malam tadi. Memang agak kritikal jugak sebab banyak system file dah kena serang. Bila install antivirus, komputer pun jadi hang sebab virus ni dah boleh detect dan bertindak balas jika ada antivirus yang cuba diinstall.”Aku menerangkan masalah yang dihadapi oleh komputernya pada CS sewaktu aku bertemunya.

“Abis macam mana?” tanya CS dengan muka yang agak cuak.

“Kalau dah takde pilihan lain, saya terpaksa formatkan semula hard disk. Tapi macam mana dengan dokumen-dokumen awak yang penting kat dalam tu awak sudah buat back-up?”

“Belum lagi, sebab saya tak pandai sangat. Awak tolong buatkan boleh? Nanti saya bagi duit untuk awak beli disket.”

“Mestilah boleh. Usahkan kata buat back-up file malah aku rela melakukan apa sahaja untuk memenangi hatimu duhai puteri.” Kata hatiku kepada diriku sendiri seperti orang yang kemaruk cinta.

“Boleh ke tak ni?” Tiba-tiba pertanyaan dari CS menyedarkan aku kembali dari berbicara dengan hati sendiri.

“Insya-Allah saya akan cuba,” jawabku sedikit malu kerana tanpa di sangka rupanya aku sibuk bermonolog dengan diri sendiri tanpa menjawab pertanyaan CS tadi.

“Oklah saya nak pergi sambung kerja ni. Nanti ada apa-apa hal, Jemmy bagitau saya ok?”

“Ok.” Sambil aku perhatikan CS berlalu pergi sambil mataku tak jemu-jemu memandang keindahan dirinya walaupun dari belakang. Opss! Astaghfirullah. Aku kembali menyedarkan diri dari terus hanyut memandang sesuatu yang bukan hakku....

“Hello. Awak ke tu?

“Ya. Ada apa Jemmy?”

“Saya dah siap baiki komputer awak. Bila awak nak saya hantar?”

“Bila-bila aje awak free. Malam ni pun boleh sebab saya pun banyak kerja yang nak dibuat. Dah rasa serba tak kena bila takde komputer ni.”

Malam itu, tanpa menunggu kehadiran siang aku terus mengangkut CPU, keyboard dan monitor kepunyaan CS ke dalam kereta. Tanpa berlengah terus aku menghidupkan enjin kereta Mazdaku terus menuju ke rumah CS. Tepat jam 10 waktu Malaysia aku telah pun berada di hadapan rumahnya. Kebetulan esok hari minggu, jadi rasanya aku tidak mengganggu CS kot?

“Terima kasih tau kerana sudi baiki komputer saya. Berapa bayarannya?”

“Alaaa tak payah la bayar. Saya baiki suka-suka je. Sebelum ni pun saya tak pernah mintak bayaran dari sesiapa pun.”

“Eh, takkanlah sampai macam tu. Kan penat awak bersengkang mata sampai malam?”

“Iyelah kalau awak nak bayar jugak, esok belanja saya makan kat Pizza boleh?” Sempat lagi aku menahan lukah di pinggir muara........





...Apakah reaksi seterusnya....



Pelayaran waktu


Dalam pelayaran waktu sering aku menyongsang angin, menongkah arus
tegak berdiri demi prinsip kebenaran
walau dibadai ribut kezaliman
takkan tumbang rukun lima terpaku di pusat pegangan.

Enam pasak ku jadikan zirah
penangkis segala keegoan dan dugaan
makhluk bongkak pembisik godaan
tak mahu ku tewas tenggelam dalam nafsu
berjuang rohku, berjihadlah, beristiqomahlah.

Dirikanlah pilar menegak syiar Ad-din
dindinglah tembok hati penangkis riak
bangunkanlah wahyu dan sunnah nabimu
usah biarkan ia terus layu ditelan waktu.

Suburkanlah cahaya kebenaran
hapuskanlah gelita kebatilan.

Kisah 7.1 (Cinta Tak Kesampaian)



Hidup di dunia adalah perjalanan sementara kita untuk menuju ke alam yang kekal. Segalanya sudah ketentuan Illahi. Kita yang harus berwaspada membuat pertimbangan dalam memilih jalan dan hala tuju hidup kita (Eh, aku ni dah nak jadi sasterawan ke asyik serius aje semenjak 2-3 siri ni?)
Pertemuan, perpisahan, percintaan dan kegagalan sudah menjadi lumrah dalam diari hidup seorang naga seperti aku. Setelah kisah percintaan antara aku dengan D terpaksa aku tamatkan sendiri kerana aku tidak mampu untuk menyintainya maka aku meneruskan perjalanan hidupku dengan bertemankan kesunyian.

Terbentang luas hamparan bumi terasa kosongnya hidup tanpa seseorang yang bergelar kekasih hati menjadi teman. Terpandang berjuta bintang di langit hanya dapat ku rasa keindahan fizikal tanpa jiwa. Ibarat hujan tanpa seruan katak. Umpama api menyala tiada asap.

Inikah suratan? Atau hanya sekadar kebetulan? Tanpa ku duga, si cantik manis tinggi bergaya, berkulit cerah dan berlesung pipit yang menyempurnakan lagi wajah ayu ciptaan Allah iaitu CS yang pernah menjalani latihan praktikal di tempat kerjaku dulu rupanya telah menjadi pekerja tetap di sini.

Aduh, ku impikan ulam pegaga, rupanya raja segala ulam telah mendatang. Ku basuh dengan sesuci embun pagi lalu ku cicah dengan sambal belacan menjadi pembuka selera, penambah perisa. Alangkah gembiranya andai itu menjadi milikku. Bukan setakat jejaka bujang malah suami orang pun takkan melepaskan pandangan andai bersua muka dengan CS. Sungguh ayu. Lesung pipit di pipi. Ayu sangat. Sepertinya aku telah diserang penyakit angau tahap tertinggi.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, kemudian dialas tilam empuk dan dibaluti selimut tebal, kehadiran CS di tempat kerjaku telah menambahkan keceriaan dalam hidupku. Sehinggakan bunga tahi ayam itupun bagiku tetap wangi seperti wangian setanggi pembakar cinta malam. Makin bertambah semangat apabila dia menjadi Bendahari manakala aku sendiri menjadi Setiausaha di dalam satu organisasi di tempat kerja kami. Kelangsungan itu mencipta ruang dan peluang untuk kami menjadi lebih akrab dan menjalin persahabatan.

Mulanya aku masih seperti malu-malu ayam serama apabila berhadapan dengan CS. Maklumlah, di dalam jiwa aku ni masih terkumpul sisa-sisa sifat pemalu seorang teruna sunti yang tinggi lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan seorang wanita yang benar-benar cantik. Malah aku terasa betapa rendahnya diri aku bila berhadapan dengan CS walaupun hakikatnya ketinggian aku melebih dia sebanyak 6cm.

Aku akui malah memang tidak dinafikan kecantikan CS menjadi buah mulut dan pujian para lelaki yang berada di tempat aku bekerja. Malah ada beberapa orang kawan sekerja yang saling mencabar untuk menguji kejantanan masing-masing dengan memikat CS.

Aku? Berani ke aku untuk cuba mengurat CS? Usahkan kata nak mengurat, nak minta nombor telefon pun aku masih terkial-kial dan segan-segan unta. Malah unta padang pasir pun tidak sesegan aku barangkali?

Tetapi kata orang-orang tua, barangkali takdir akan sesekali menyebelahi kita. Pada suatu hari, ketika aku tengah sibuk dengan kerja, tiba-tiba CS datang menghampiri mejaku.

“Eh, apa mimpi pulak tiba-tiba datang cari saya ni?” Soalku pada CS yang tanpa segan silu terus duduk menghadap mejaku.

“Komputer saya kat rumah ada masalah, hari tu dah pi hantar kedai tapi tak ok jugak. Akak kat bilik sebelah tu cakap awak ni pandai baiki komputer. Betul ke?”

“Alah nak kata pandai sangat tu takdelah. Boleh la sikit-sikit.” Aku dengan muka berlagak cool cuba merendah diri. Dalam hati bukan main berdegup kencang lagi jantungku kerana berhadapan si cantik dengan bau-bauan yang sungguh wangi.

“Sebab tu saya datang jumpa awak ni. Kalau boleh saya nak minta tolong awak repair komputer saya boleh?” Wajah yang cantik itu bersuara dengan alunan irama yang merdu. Kalaulah orangnya dah cantik, segalanya yang ada padanya semuanya menjadi cantik. Malah suaranya pun aku dengar terlalu merdu dan cantik mengalahkan suara penyanyi-penyanyi yang ada kat Malaysia ni.

“Isyk pandai-pandai pulak akak kat bilik sebelah tu cakap aku pandai baiki komputer,” ngomelku sendirian di dalam hati tapi sebenarnya aku keriangan. Kenapa aku gembira dan keriangan sampai begitu sekali?





...Aku mencabar diri sendiri dengan membuat sambungan...

Keliru

Siapa kamu? Kamu adalah aku
yang mengalir dalam uratmu
bersatu dalam darah pekat merah
menyelit nafas dan zat.

Siapa kamu?
Kamu adalah dia
yang penuh dalam kosong
yang gelap dalam sinar
yang tidur dalam jaga
yang mati dalam hidup.

Siapakah kamu?
Kamu adalah mereka
masih terkeliru dibuai mimpi dusta
ingin menarah gunung kesedaran
tercarik sejarah kewarasan.

 
 
 

Jan 2008

Kisah 6.7 (Cinta Mee Segera IV)

Kejamkah aku andainya aku memutuskan ikatan percintaan hanya melalui SMS? Barangkali ramai orang yang akan marahkan aku atau salahkan aku kerana sepertinya aku terlalu kejam. Tetapi realitinya aku sudah tidak mampu untuk menipu diriku sendiri. Aku sudah tidak mampu menyintai D. Malah rasanya aku telah gagal untuk belajar menyintainya kerana aku terasa sangat seperti aku terlalu memaksa diri. Ibarat orang yang sudah terlalu kenyang kalau disuapkan lagi seperiuk nasi secara paksaan sudah tentu akan muntah semua sekali.


Bukan mudah untuk memupuk cinta. Kalau dulu bagi aku cinta itu terlalu mudah tapi semenjak kejadian dikecewakan dalam masa yang hampir sama, aku terlalu sukar untuk mempercayai cinta. Malah aku memang dari awal lagi telah memaksa diri sendiri untuk menerima dan belajar menyintai D. Tetapi lantaran sikap D yang mendesak dan cemburu keterlaluan membuatkan hati aku semakin hari semakin tawar setawar air suam tidak bergula. Nampaknya konsep cinta boleh dipupuk, disemai dan dibajai yang aku cuba sematkan di dalam hati semakin layu malah terus gugur di pertengahan musim.

Setelah menerima SMS dari aku yang meminta untuk memutuskan ikatan, D bertalu-talu merayu melalui SMS meminta aku memikirkan masak-masak tentang keputusan aku itu. Malah dia terus menghubungi aku meminta aku menerangkan kedudukan perkara sebenar. Memang aku yang tersilap kerana telah melukai hati dia. Tetapi aku terpaksa kerana aku tidak mahu hatinya terluka semakin parah kalau aku berterusan menipu menyintai dia.

Jadi sebelum keadaan menjadi semakin teruk, biarlah aku hentikan dulu segalanya. Dia masih tidak mampu menerima keputusan aku. D meminta aku untuk bertemunya secara bertentang mata dan melafaskan kata-kata putus itu di hadapannya. Permintaannya itu akan aku tunaikan minggu hadapan.

Kadang-kadang aku merasa bersalah sangat-sangat dengan D kerana telah mengecewakan dia setelah memberikannya sedikit harapan. Aku yang tertewas dengan perasaan sendiri, tidak mampu lagi untuk terus menipu diri. Dari Johor perjalanan ke Kuantan mengambil masa kira-kira 6 jam bagi aku, pemandu yang bawak kereta macam semut. Maklumlah pemandu berhemahlah katakan. Kalau siput sedut nak berlumba bawak kereta dengan aku sudah semestinya aku yang kalah kalau siput sedut tu naik kereta yang dipandu oleh Michael Shumacher.

Setelah mengharungi perjalanan yang agak memenatkan dan membosankan maka aku pun sampai ke bandar Kuantan. Aku terus menuju ke tempat yang telah dijanjikan walaupun aku terpaksa berpusing-pusing sehingga 2-3 kali kerana aku tidak biasa dengan bandar Kuantan.

Lebih kurang 30 minit menanti, D pun datang dengan berbaju kurung biru. Memang agak ayu tapi entah di mana silapnya aku seperti tidak berperasaan ketika itu. Ah, kejamnya hati lelaki ini! Wajahnya yang sayu dan seperti tidak bermaya itu semakin mendekati aku. Dapat ku lihat seribu awan mendung sedang menyeliputi wajah D. Malah matanya sedikit kemerahan.

“Barangkali baru lepas menangis lagi agaknya.” Tekaku sendiri.
Tanpa berbicara panjang D terus mengajak aku ke sebuah kafe yang terletak di dalam pusat membeli-belah tersebut.

“Kenapa abang ingin memutuskan hubungan dengan saya?” Persoalan itu terpacul setelah agak lama kami berdiam diri dari tadi.

Sambil menyedut air soya sejuk kegemaran, aku memandang wajah D. Memang tiada apa yang kurang dengan wajah itu. Sesempurna ciptaan Allah tapi. Arghh! Entahlah. Sukar untuk dimengertikan soal hati sendiri. Aku termangu-mangu mencari jawapan yang sesuai.

Setelah menarik nafas dalam-dalam sedalam lautan memikirkan jawapan yang paling lembut dan sesuai, aku memberikan penjelasan.

“Maafkan saya. Sesungguhnya apa yang terjadi antara kita hanyalah kesilapan saya. Tidak terniat untuk saya melukakan hati awak. Saya sangka, saya mampu menyintai awak tapi yang jelas ketara saya tidak mampu. Saya masih belum mampu melupakan kenangan silam.”

“Tapi kenapa abang tidak mahu memberikan saya dan diri abang sendiri peluang?” Desak D menuntut penjelasan yang sewajarnya dari aku.

“Bukan tidak mahu memberikan diri saya dan awak peluang tetapi sepertinya ia tidak memberikan sebarang erti lagi. Maafkan saya sekali lagi. Biarlah hubungan kita sampai di sini sahaja. Awak tak bersalah. Semua salah saya. Saya yang lemah.” Aku cuba menyampaikan kata-kata itu walaupun kedengaran begitu lemah sekali.

Selepas aku mengeluarkan kata-kata itu aku lihat D terus terdiam sambil air matanya bergenangan. Sesungguhnya aku merasa amat bersalah. Malah sepertinya aku telah membuatkan dirinya seperti kain yang telah usang dijadikan pengelap basikal. Maafkan aku D....

Pertemuan terakhir di antara aku dengan D memang penuh dengan suasana yang amat suram. Malah aku sendiri tidak menyangka aku boleh menjadi sebegitu kejam. Apapun segalanya aku lakukan adalah untuk kebaikan kami berdua. Adakah itu hanya alasan pelarian cinta seperti aku? Terlalu mudah untuk membuat penilaian tetapi terlalu sukar menempuhi keadaan sebegitu. Andainya kau merasai apa yang aku rasa, aku yakin kau akan mengerti! Sesungguhnya tempat ku bukan di sini, bukan di dalam hati D.

Semenjak peristiwa itu antara aku dengan D memang terus terputus hubungan. Tiada lagi SMS, panggilan atau YM. Segalanya sudah berakhir. Aku sendiri tidak mengerti apakah aku harus tangisi perpisahan ini atau sekurang-kurangnya merasa lega? Apa yang aku pasti aku harus meneruskan perjalanan hidupku dan aku berharap D akan menemui seorang lelaki yang jauh lebih baik dan mulia dari aku!





...Tamatnya Kisah 6...

Kisah 6.6 (Cinta Mee Segera III)

Pagi yang bening. Pertama kali dalam sejarah hidup, aku menginap di hotel budget. Tak kisah la yang penting aku dapat tidur dengan seadanya. Selesai solat, termenung dan mandi aku bersiap untuk keluar dengan D. Kali ni aku harus menemani D untuk membuat medical check-up. Dalam suasana mood raya pun kena pergi hospital untuk buat medical check-up. Apa boleh buat, dah jadi pakwe orang kenalah buat apa sahaja yang termampu untuk membantu awek demi cinta.

Cinta? Adakah benar inikah namanya cinta? Datang tanpa diundang seperti bayang-bayang. Terasa dekat bersama tetapi sukar untuk digapai. Puas ditangkap masih tak dapat-dapat. Apa sahaja definisi cinta, aku telah memberi peluang dan ruang untuk diri sendiri agar cuba menerima dan menyintai D seadanya. Tapi adakah itu semua mencukupi untuk merasai nikmat cinta? Mungkinkah ini cinta atau kompromi terhadap hati sendiri? Apakah cinta kilat atau cinta mee segera mampu bertahan lama? Persoalan demi persoalan yang menyerang benakku seperti tiada kesudahan dan tiada jawapan yang pasti. Aku hanya mampu menunggu masa menentukan segalanya.

Setelah 2 hari beraya bersama D di tempatnya, maka tibalah harinya untuk kami berpisah sementara. Lumrah hukum dunia, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Hari untuk aku bertolak balik semula ke kampung halamanku, aku bersalam dengan ayah D dan semua adik-beradiknya.

Seperti memahami jiwa anak-anak muda, mak dan ayahnya mengajak semua adik-adiknya ke dapur. Hanya tinggal kami berdua di ruang tamu. Ku perhatikan wajah D makin sayu dan jelas kelihatan ada genangan mutiara jernih yang bakal tertumpah dari matanya. Aku hanya mampu terdiam membisu seribu bahasa kerana kelu menghadapi suasana yang agak mengharukan.

Tak semena-mena lantas D menarik tanganku, menyalami sambil menciumnya. Bimbang takut mak ayahnya ternampak, cepat-cepat aku menarik semula tanganku.

“Jangan la sedih. Nanti ada masa kita jumpa lagi ya?” Aku cuba memujuk D setelah suasana semakin menjadi sayu.

Lalu dengan mencuba untuk menjadi jejaka romantik, aku mengambil tisu dan mengelap hingus (opss silap) menyeka air mata D dari terus mengalir. Nanti karang tak pasal-pasal pulak jadi drama swasta yang menyedihkan.

Setelah keadaan menjadi reda, D memaklumkan kepada ibu dan ayahnya yang aku akan berangkat sekarang untuk pulang. Setelah mengucapkan terima kasih aku di atas layanan yang begitu baik, aku harus meneruskan perjalanan untuk kembali ke kampung halaman.

Maka 6 jam perjalanan yang harus aku tempuhi. Satu kerja yang agak gila juga kan? Tapi aku percaya masih ramai lagi yang lagi gila dari aku hanya kerana cinta kan? Apa sangat nak dibandingkan dengan bawak kereta selama 6 jam semata-mata untuk bertemu awek kan?

Kata-kata orang yang lebih perpengalaman, manusia boleh menjadi gila kerana cinta kurasakan ada benarnya. Kadang-kadang manusia boleh melakukan apa sahaja di luar kebatasan normal hanya semata-mata untuk mencapai sesuatu yang bernama CINTA!

Dari hari ke sehari aku dapat rasakan yang aku tidak serasi dengan D. Terlalu banyak tindak-tanduknya yang kadang-kadang terlalu merimaskan. Sifatnya terlalu cemburu. Malah aku harus SMS dengan dia setiap minit. Kalau aku terlambat sikit sudah tentu dia akan marah-marah dan cakap aku pergi berjumpa dengan perempuan lain? Sampai bila aku harus bersabar?

Kalau sebulan dua mungkin aku masih mampu bersabar. Malah tuduhan yang tidak berasas membuat aku rasa semakin tercabar. Alang-alang dah dituduh keluar dengan perempuan lain baik aku keluar betul-betul kan? Tapi aku bukanlah seperti dulu. Malah aku dah berubah walaupun sedikit kan? Semenjak berkenalan D aku sudah tidak keluar dengan mana-mana perempuan pun.

Sampai ke kemuncaknya kami bergaduh besar. Aku sudah tidak betah dengan sikapnya yang terlalu cemburu mudah prasangka. Kata orang cemburu itu tandanya sayang. Tetapi sayang apakah ini andainya setiap gerik-geri dan ke mana aku nak pergi pun harus aku bagitau? Cinta apakah ini? Aku perlu meluahkan segala apa yang terbuku di hati. Bila aku rasa keadaan sudah agak tidak terkawal maka aku merancang untuk bertemu dengan D. Kebetulan pula D sedang bercuti di rumah neneknya di Kuantan.

Cuti hari minggu aku terus bergegas ke Kuantan. Aku ingin menemui D. Mungkinkah D terlalu rindukan aku kerana sudah 3 bulan tidak bertemu setelah pertemuan pertama kami pada Hari raya tempoh hari.

Aku melihat D ceria masa bertemu dengan aku. Kami bersama-sama menikmati panorama indah di Pantai Teluk Cempedak sehingga ke lewat petang. Di situ kami meluahkan apa yang terbuku di hati kami selama ini. Aku meluahkan rasa hatiku yang aku rimas dengan sikap D yang seperti mengongkong kebebasanku. D pula meluahkan isi hatinya yang dia terlalu rindukan aku kerana sering berjauhan. Kadang-kala dia takut sangat aku akan berlaku curang. Kepadaku D berjanji tidak akan terlalu mengongkong aku lagi dan aku pula berjanji akan cuba bertemu dengannya jika ada masa cuti.

Segalanya seperti berjalan lancar setelah pertemuan itu. Malangnya ianya hanya mampu bertahan untuk sebulan sahaja. D kembali seperti dulu. Makin mengongkong dan makin cepat cemburu. Nampaknya aku sudah tidak mampu menyemai benih cinta ini lagi.

Sudah puas aku memujuk diri sendiri untuk bersabar dan menerima dirinya seadanya. Tetapi aku semakin tidak mampu.Semakin hari semakin terhakis rasa sayangku pada D. Malah aku sudah tidak mampu untuk menipu diriku lagi bahawa sememangnya inikan bukannya cinta yang aku kehendaki. Aku gagal untuk menyintai diri D dengan seikhlasnya. Setelah berfikir dengan semasak-masaknya aku membuat keputusan untuk berpisah dengan D.

Walaupun bunyinya seperti aku agak kejam tetapi aku sudah tidak mampu untuk berterusan menipu diri sendiri. Tiada lagi kompromi dalam urusan menipu hati sendiri. Pembohongan hati sendiri ini perlu ditamatkan segera. Tapi bagaimakah caranya? Haruskah aku menemuinya lagi untuk mengucapkan kata perpisahan?

Aku tidak sanggup melihat wajahnya secara berhadapan. Aku tidak betah melihat air mata yang menitis dari seorang wanita. Sementelah lagi dia tidak bersalah. Aku yang bersalah dari awal-awal lagi kerana menerima cintanya dan memberikannya harapan.

Sememangnya aku sudah tidak mampu lagi meneruskan perhubungan ini. Hari demi hari aku meneruskan lakonan. Tapi sampai bilakah lakonan ini akan dihentikan? Aku sering berperang dengan perasaan sendiri. Antara simpati dan gelodak hati sendiri.

Kemuncaknya aku telah membuat satu keputusan yang aku harus berterus-terang. Tidak perlu lagi aku mengorban dan menipu hati sendiri. Tapi bagaimana? Ya, hanya satu cara. Walaupun bunyinya agak tidak gentleman, tetapi inilah yang terbaik. Suatu hari aku menghantar SMS kepada D untuk memutuskan perhubungan kami....





...What next?...

Aku hanya di sini

Aku hanya di sini
menanti dan terus menanti
saat hidup antara mati.

Sedang aku hanya di sini
hanya menjadi saksi
manusia mengejar duniawi
lupa janji Illahi
lupa Ukhrawi.

Aku masih di sini
tidak berjalan tidak berlari
lemah mengheret kaki
mencari erti alam hakiki.

Aku terus di sini
menjadi pemerhati
masih tidak mengerti
sampai bila insan akan terus begini?




21 Julai 2007 jam 12 tengah hari di bawah terik mentari
Kulaijaya

Rebah

Dia hanya seorang insan
yang pernah tersungkur di pintu kehidupan
tersimpang dari akal kewarasan
terbujur lesu di lembah kegelapan.

Terdampar tubuh yang hampir kaku
mulut berbusa semburan air tuak bertamu
segenap inci udara dalam dada bersatu
menakung sisa-sisa keimanan tipis kian layu
tenggelam dalam bayangan bernoda seribu
racun dan debu dosa tergumpal bersekutu.

Dia yang rebah
tewas meniti arus deras nafsu serakah
salah percaturan tersilap langkah
sekali terpana empangan iman termusnah.


Kisah 6.5 (Cinta Mee Segera II)

Diriku umpama pelarian yang melarikan diri dari buruan cinta. Semakin aku berlari semakin jauh ia mendekati. Semakin dalam aku bersembunyi jauh di dalam lubuk hatiku tiap kali itu juga ia mampu menemuiku. Barangkali keberuntungan masih menjadi milikku kerana ada sesetengah orang terlalu sukar untuk menemui cinta, sedangkan aku begitu mudah untuk menemuinya! Malah dulu aku pernah mencampakkan cinta dan kasih sayang seumpama menabur padi kepada segerombolan merpati di dataran menanti manusia mencampakkan makanan. Begitu mudah!

Dilema yang telah melanda diriku telah ku hadapi dengan satu dimensi pemikiran yang mudah. Apa salahnya kalau aku mencuba untuk membuka pintu hati dengan cinta yang hadir tanpa diundang ini? Undangan cinta dari D telah aku terima secara rasmi melalui sesi pebualan YM kami.


Maka hari itu telah tercatat sejarah cinta yang telah kembali cuba untuk bertapak dalam diriku. Walaupun aku sendiri tidak pasti mampukah aku menyintai D seperti mana aku cintakan awek-awek ku yang terdahulu? Hanya masa yang mampu menentukan itu semua kerana kata orang, adakalanya cinta itu boleh disemai. Kalau cukup dengan baja, siraman dan belaian mungkin cinta itu akan berputik, mekar dan seterusnya mampu menghasilkan buah. Tapi bab-bab nak menghasilkan buah tu kena ada ikatan yang sah dahulu!

Perjalanan cinta jarak jauh yang berlangsung antara aku dan D rupanya merupakan suatu cabaran buatnya. Bagi aku itu bukanlah perkara yang pelik kerana sebelum ini memang aku dah biasa dengan alam percintaan jarak jauh. Hampir setiap masa D mahu aku sentiasa bersedia untuk menghantar SMS dan juga melaporkan diri setiap kali aku ingin ke mana-mana. Sampai nak masuk jamban pun aku kena bagitau. Logik ke? Logik atau tidak, aku harus bersabar meniti arus perhubungan ini. Sementelah lagi umur D yang baru 21 memang masih agak muda dan kadang-kadang ada tindakannya yang masih keanak-anakan. Tapi tak mengapa, aku masih mampu bersabar dan memahami situasi yang terjadi.

Setelah berbulan menjalani cinta alam siber jarak sederhana jauh, kali ni aku berpeluang bertemu dengan D. Tanpa segan-silu laksana muka tembok di tepi jalan, aku menerima pelawaan D untuk berhari raya dengannya sekeluarga pada hari Raya Aidilfitri tahun ini. Malah aku juga sedikit bergembira untuk menyambut Hari Raya kali ini kerana aku telah membeli kereta idamanku selama ini iaitu Mazda Lantis. Berganda-ganda seronoknya menyambut perayaan kali ini ibarat si teruna tua yang menerima lamaran anak dara sunti yang masih bergetah dan kaya-raya!

Hari Raya pertama selesai menziarahi sanak-saudara dan teman-teman rapat aku menuju ke rumah U yang jaraknya hanya sekitar 15km dari rumahku. Saja-saja nak tunjukkan kereta baruku. Lagipun U memang menjemput aku beraya di rumahnya. Nanti hari raya ke-3 giliran aku beraya di rumah awekku pulak nun jauh di Negeri Sembilan.

Dengan perasaan berani-berani takut aku memberikan salam. Salamku disambut olah suara garau milik lelaki yang aku cukup kenali. Tuan Haji E bekas pensyarahku. Agak kaget jugak aku ketika itu. Maklumlah seperti yang aku ketahui bahawa Haji E memang agak garang. Nanti tak pasal-pasal diterkamnya aku terus dikoyak-koyakkan urat dagingku seperti seekor harimau yang tengah melapah mangsanya! Tapi logik ke? Takkan la dia nak buat macam tu di hari raya yang mulia lagi berkat ini kan? Setelah dipelawa masuk, dengan sedikit mengigil aku melangkahkan kaki dengan bersopan-santun laksana dara pingitan. Memang jelas ketara muka Haji E tegas tanpa senyuman menyambut kedatanganku.

“Awak ni ada hubungan macam mana dengan anak saya U?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut Tuan Haji E setelah mempelawa aku duduk. Aku nampak U sedang sibuk menyediakan minuman di dapur.

“Err, sebenarnya kami hanya berkawan tak lebih dari itu,” jawabku yang agak kebingungan kerana secara tiba-tiba sahaja soalan itu yang diajukan beliau.

Kemudian bermacam-macam lagi soalan yang ditanya dan aku hanya menjawab sekadar yang termampu. Tidak ku sangka bahawa Haji E menyangka bahawa antara aku dengan U ada menjalin hubungan istimewa tetapi setelah aku perjelaskan dengan sejelas-jelasnya seperti jelasnya pemadangan dasar sungai yang cetek dan jernih di hulu sungai barulah tampaknya seperti Haji E berpuas hati.

Kemudian Haji E meninggalkan aku dan U untuk berbual-bual sambil menikmati hidangan istimewa di hari raya. Setelah agak lama, aku meminta diri untuk balik ke rumah. Sebelum aku keluar U sempat meminta maaf sekiranya ada perbuatan ayahnya tadi yang membuatkan aku tidak selesa. Aku tidak kisah malah merasakan tindakan itu adalah tindakan normal dari seorang ayah yang ingin melindungi anak perempuannya.

Cepatnya masa berlalu. Lebih-lebih lagi kalau hari raya tak terasa masa berjalan begitu pantas. Diam tak diam hari ni sudah masuk hari raya ke-3. Pagi-pagi lagi aku dah minta izin dengan mak untuk berhari raya di rumah ‘kawan’ku yang berada di Negeri Sembilan. Perjalanan dari rumah aku menuju ke Negeri Sembilan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Mengikut pelan yang D berikan aku rasa sudah begitu hampir dengan rumahnya. Memandangkan aku langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat ini maka aku dengan segera menghubungi D meminta dia menjemput aku di masjid yang berdekatan dengan rumahnya itu.

Perasan bercampur-baur apabila aku melihat D menghampiri keretaku. Tidak terlalu teruja atau dalam erti kata yang mudah aku hanya ada perasaan yang biasa sahaja tetapi sedikit berdebar kerana kali pertama aku beraya dengan dia dan perlu berhadapan dengan ahli keluarganya. Aku memberikan salam buat D dan memintanya terus masuk ke dalam kereta.

Perasaan kekok agak ketara bagi dua orang yang menjadi pasangan kekasih alam siber pertama kali bertemu bertentang mata. Tapi entah mengapa aku tidak mempunyai suatu perasan yang luar biasa. Hanya perasaan yang biasa sahaja. Sambil berbual serba sedikit aku terus menghidupkan enjin kereta dan D menunjukkan jalan ke arah rumahnya.
Keluarganya menyambut dan melayan aku dengan baik sekali. Maklumlah hari raya la katakan. Seharian juga aku beraya di rumah D dan ke rumah saudara-maranya. Bila hari sudah agak lewat aku sudah tidak mampu untuk drive balik ke kampung aku. Keluarga D meminta aku supaya bermalam sahaja di rumahnya. Tapi aku segan. Aku menolak pelawaan mereka dan aku menginap di hotel yang terletak di pekan berhampiran. Hotel murah pun hotel murahlah janji aku dapat melelapkan mata.

Esok paginya, aku kena bangun awal-awal untuk membawa D membuat medical check-up kerana dia telah diterima berkerja di Pejabat Kerajaan. Jadi, sementara berpeluang inilah aku bersedia menawarkan diri untuk memberikan pertolongan.





...Masih Bersambung...

Kisah 6.4 (Cinta Mee Segera I)



Haruskah aku mengikut nasihat bernas yang diberikan oleh teman serumahku? Kalau aku ikut bermakna aku telah melanggar prinsipku lagi. Bukankah aku yang selama ni tidak mahu menjilat kembali ludahku? Kadang-kadang api dendam kesumat boleh menghadirkan satu bisikan yang boleh menjerumuskan manusia ke lembah yang hina.

Aku? Harus mendengar bisikan dendam kesumat? Tidak! Aku masih waras. Aku tidak mampu untuk mengeruhkan lagi keadaan dan suasana. Yang berlalu biarkanlah berlalu. Biarlah cinta yang berakhir itu putus untuk selamanya. Akan ku hanyutkan tali ikatan yang pernah mengikat kami lepas ke lautan sepi!

Maka selaku manusia yang masih berpegang pada adat dan ajaran orang tuaku, tidak ku turuti nasihat kawan serumahku. Malah aku telah menghubungi FF melalui SMS menyatakan bahawa walau mati hidup balik pun aku takkan meneruskan kembali ikatan kami. Segalanya sudah lama berakhir. Maka terus ku patahkan tanduk bercabang yang cuba keluar dan menggoda aku supaya melakukan seperti apa yang dikemukakan olah teman serumahku. Biar muka tak lawa asal kita jangan busuk hati.

Setelah seminggu berlalu, SMS dari FF pun tidak lagi datang menggangguku. Aku sekarang hanya rancak berhubungan melalui SMS dengan U. Tapi entah mengapa aku masih sukar membuang tabiatku yang suka chatting di waktu lapang. Selalu aku menyelinap masuk ke ruangan sembang mIRC. Niatku hanya satu, meluangkan masa lapang dan juga mengisi kebosanan terutamanya di hari minggu.

Entah mengapa kali ini aku tertarik untuk berkenalan dengan lebih rapat dengan D. Kami menyambung hubungan tersebut melalui Yahoo Messenger atau YM. Agaknya aku ni dah dapat penyakit yang dikenali sebagai sindrom suka berkenalan dengan orang melalui alam siber sahaja kot? D berada di sebuah bandar di Negeri Sembilan. Boleh dikatakan tiap-tiap hari kami akan berhubungan melalui YM.

Perhubungan aku dengan U masih lagi berjalan seperti biasa. Walaupun kami sudah lama berkenalan tetapi hanya sekadar menjadi teman. Malah antara aku dan dia tiada siapa pun yang pernah meluahkan perasaan atau menjurus ke arah itu. Jadi, secara matematik campur geografinya aku masih lagi single. Sejak kejadian dulu, aku dah nekad tidak akan cuba untuk mempunyai ramai awek lagi. Biarlah aku setia pada yang satu.Tapi boleh ke kata-kata seorang naga seperti aku ini dipercayai? Aku sendiri pun kadang-kadang tidak percaya dengan diri sendiri!

Maka berterusan aku dengan dunia persahabatan siber. Cuma kalau dulu aku suka berkenalan dengan ramai gadis termasuk juga jantan haprak yang menyamar jadi gadis tetapi kini aku cuba untuk lebih setia dan fokus dengan satu hubungan sahaja. Kini hubungan alam siberku hanya dengan D.

Boleh dikatakan hampir setiap malam aku akan YM dengannya, manakala dengan U pula aku masih berhubungan melalui telefon dan SMS. Cuma D agak liat kerana dia langsung tidak mahu memberikan nombor telefonnya kepada aku. Katanya cukuplah kalau berhubungan melalui YM. Apa aku kisah itu semua. Lagipun hanya sekadar berkawan malah aku belum pulih sepenuhnya untuk menjalinkan cinta sekali lagi. Luka lama masih berparut. Kalaulah parut cinta itu boleh dilihat dengan mata kasar, maka di muka yang tak berapa hensem hatta tak semanis gula-gula ini penuh dengan parut kesan cinta lama!

Cinta itu antara anugerah Illahi yang terindah. Sukar untuk dimengertikan dan terlalu misteri untuk diterokai. Walaupun kita mengejarnya, tetapi semakin jauh ia berlari meninggalkan kita. Malah ada ketikanya ia akan hadir sendiri tanpa diundang dengan kad jemputan. Namun begitu cinta tetap mengundang rasa ingin tahu bagi setiap manusia untuk menerokai keajaibannya dan merasai nikmatnya sendiri.

Mungkin aku tidak menyedari malah jauh sekali untuk berperasaan (kalau perasan tu memang sah) ingin menikmati semula cinta yang telah lama berlalu dan menyakitkan yang pernah aku alami sebelum ini. Tetapi kemungkinan cinta akan datang memburu kita walaupun kita langsung tidak ingin ia hadir.

Begitulah keadaan yang ingin aku kaitkan antara perhubungan aku dengan D. Malah aku tidak menyangka bahawa D begitu cepat meluahkan rasa cintanya kepadaku walaupun masih terlalu singkat usia perkenalan kami. Malah aku tidak pernah menunjukkan foto aku apatah lagi bertemunya bertentang mata.

Inikah yang dikatakan cinta mee segera? Agak merbahaya cinta mee segera ni sebab kalau rendam tak cukup masa nanti mee terlalu keras, tentu rasanya kurang sedap. Tetapi kalau rendam terlebih lama nanti mee pulak dah kembang malah boleh membuatkan tekak orang yang memakannya kembang terseksa untuk menghabiskan mee segera yang kembang.

Seminggu aku memikirkan apakah aku perlu menerima luahan rasa dari D yang mahu menjalinkan hubungan cinta denganku. Memang kalau diikutkan hati yang sunyi, sudah pasti aku akan menerima luahan cinta D walaupun belum cukup mengenalinya malah kami belum pun bertemu.

Aku meminta D memberikan aku sedikit masa untuk memikirkan sedalam-dalamnya. D memenuhi permintaan aku dan tidak terlalu mendesak aku untuk menerimanya. Dalam pada itu, D telah mengirimkan sekeping fotonya melalui YM untuk aku tatapi dan membuat keputusan. Sebaliknya aku masih belum memberikan fotoku malah aku pernah memberitahu D bahawa aku ni tidak ada rupa paras yang menarik. Walaupun begitu D tetap bersungguh-sungguh mahu bercinta denganku dan tak kisah walau macam mana sekalipun rupa paras aku. Haruskah aku menerima cinta D? Arghh dilema melanda diri....



...Memang Bersambung...

Kisah 6.3 (Kebangkitan)

Memang selama ini aku tidak menyangka bahawa kenalan siberku, U merupakan anak bekas pensyarah yang pernah mengajar aku dulu. Memang aku agak kekok dan segan setelah mengetahui segalanya sewaktu minum petang dengannya hari itu. Tapi walau apapun aku tidak menjadikan itu sebagai satu alasan dan untuk tidak bertemu dengannya lagi selepas ini. Pertemuan pertama kali itu kemudian disusuli dengan pertemuan-pertemuan seterusnya sepanjang seminggu aku berkursus di hotel itu. Selalu selepas habis waktu kerja aku akan mengajak U minum petang di sekitar bandar.


Sememangnya setiap pertemuan akan ada perpisahan. Tempoh seminggu aku menjalani kursus pun berakhir. Maka aku terpaksa balik semula untuk kembali ke bandar tempat aku berkerja. Selesai menjenguk keluargaku di kampung, paginya aku meneruskan kembali perjalananku ke destinasi arah tujuan.

Lapan jam perjalanan memang amat memenatkan. Tapi itulah hakikat apabila berkerja jauh di perantauan. Dah kerap sangat mengembara jauh begini lama-lama dah jadi alah bisa tegal biasa pulak. Walaupun seronok kerana dapat bertemu dengan U tanpa diduga tetapi ketika itu hatiku langsung tidak terfikir untuk menjadikan dia sebagai kekasihku yang terkini lagi sensasi dek kerana masih lagi perasaan trauma dan ragu-ragu masih lagi bersarang di jiwa.

Almaklumlah dia tu berjawatan tinggi, cantik dan menarik serta paling aku segan dia tu merupakan anak bekas pensyarah aku. Ibarat kata orang, umpama pipit dengan enggang masakan mampu terbang sama tinggi. Lagipun agak mustahil untuk dia menyukai aku kerana kami pun baru sahaja berkenalan dan lagipun rupa parasku ni bukanlah sekacak pelakon idaman Malaya atau pun setampan model iklan seluar jeans.

Semasa hari terakhir aku berada di hotel, aku telah pun berjanji dengan U untuk sering berhubungan dengannya. Setibanya sahaja aku ke rumah sewaku sambil berbaring-baring kepenatan segera aku kirimkan mesej ringkas untuk dia sekadar memberitahu yang aku telah pun selamat sampai. Tanpa perlu menunggu terlalu lama U membalas mesejku. Sedang rancak aku berbalas mesej dengan U tiba-tiba ada satu mesej yang datang dari seseorang yang aku cukup tidak suka malah boleh menimbulkan kembali nostalgia cinta pedih yang mungkin boleh membuat darah aku kembali mendidih!

“A’kum… Abang tengah buah apa?” Tiba-tiba SMS dari pengirim yang pernah menghancurkan hidupku datang mengganggu. Dah la bagi salam pun tak betul, aku nak jawab pun terasa angin je satu badan. Dengan perasaan yang agak mendidih aku balas SMS tersebut dengan acuh tak acuh.
“Tengah buat bodoh je. Apa lagi yang awak nak ? Cukup-cukuplah mengganggu hidup saya,” pantas aku menekan butang send.
“Takleh ke saya nak berbaik semula dengan abang?” SMS dari FF itu datang lagi.
“Antara kita dah tak ada apa-apa di saat awak memutuskan perhubungan kita dulu,” lalu ku balas SMS itu.

“Abang, tolonglah bagi saya peluang kali kedua. Please..” rayu FF di dalam SMS yang meminta aku kembali kepadanya.
“Mustahil dan tak mungkin.” Itulah SMS yang terakhir aku hantarkan sebelum aku menutup terus handphoneku.

Sumpah aku tidak sanggup menjilat kembali ludah berkahak hijau yang telah diludahkan. Malah aku lebih rela menjilat ubat gigi perisa pudina daripada menjilat ludah berkahak. Yakkk, jijiknya!

Walaupun aku tidak lagi membalas SMS dari FF tapi bertalu-talu mesej darinya menerjah masuk ke ruangan kotak mesejku setelah aku kembalikan menghidupkan semula handphone. Berulangkali dia merayu dan meminta aku memberinya peluang sekali lagi. Malah berkali-kali dia menyatakan kekesalan kerana meninggalkan aku dulu hanya kerana dia kembali menjalinkan hubungan dengan bekas teman lelakinya yang terdahulu.

Memang aku akui bekas teman lelakinya dahulu agak kacak sebab anak kacukan Cina dan Melayu. Itupun aku tak pernah bertemu dengan bekas teman lelakinya secara berdepan, cuma FF pernah sekali menunjukkan aku gambar bekas teman lelaki yang masih ada tersimpan dalam pursenya. Dek kerana terlalu bosan, aku mematikan suis telefon bimbitku sekali lagi. Dah terencat sesi SMS aku dengan U. Aku menuju kearah bilik house-mate. Sedang tak berapa nak elok dia pulak tengah main game Red-Alert Yuris’s Revenge. Ingatkan aku nak release tension dengan main game.
Sedang rancak dia bermain, aku ajukan persoalan.

“Perlu ke aku kembali semula dengan bekas awek aku yang mintak nak rujuk balik?”
“Abis engkau rasa macam mana?” Soalan aku dibalas balik dengan soalan.
“Entah la beb. Ikutkan hati memang aku dah tak mahu lagi. Tak sanggup aku dikecewakan lagi malah aku dah bersumpah pada diri sendiri takkan rujuk balik dengan dia.”
“Abis apa kata kalau engkau balas dendam pulak. Kau rujuk semula pastu bila dia dah sayang kat engkau masa itulah engkau tinggalkan dia pulak. Amacam ok tak idea aku?” Ucap house-mate aku memberikan cadangan dengan gaya muka ala-ala tak bersalah berlangsung.
“Nak lagi best apa kata engkau main-mainkan dia. Dah dapat apa yang engkau nak, kau belah ajelah, “ sambung house-mateku lagi memberikan rancangan jahatnya.
Isyk patut ke aku buat macam tu? Macam mana ek? Nak ikut idea kawan aku ke tak nak ni? Kalau ikutkan amarah dendam dari hati memang patut kot aku buat macam tu? Bukan nak mengungkit tapi rasanya aku dah banyak jugak berhabis duit kerana dia. Bukan hanya duit, tapi aku telah mengorbankan masa, prinsip dan harga diri semata-mata kerana ingin menjalinkan cinta dengannya. Tiba-tiba tanduk bercabang pun mula keluar dari kepalaku…….

…Masih bersambung…

Kisah 6.2 (Hanya Satu Permulaan)


Setelah menamatkan tempoh berkabung, aku kembali menjalani kehidupan seperti biasa, tiada lagi keinginan untuk mengingati kembali saat-saat yang memedihkan dalam hidup. Aku hanya memandang ke hadapan, kiri dan kanan tetapi sudah agak sukar untuk menoleh ke belakang. Bukan keana leherku bermasalah atau sakit tetapi kerana setiap kali aku menoleh ke belakang, aku akan ternampak segala peristiwa-peristiwa yang mampu menitiskan air mata jantanku. Aku tidak mahu berterusan hidup di dalam dunia kesedihan. Duniaku adalah keceriaan.

Aku mula kembali bergiat cergas di dalam arena chatting di alam siber. Walaupun cinta-cintaku di alam siber sebelum ini kesemuanya gagal dan menemui jalan mati, tetapi aku tidak pernah mengenal erti serik. Aku bermula secara perlahan-lahan dengan mencari beberapa orang kenalan baru dengan niat hanya sekadar untuk mengisi masa senggang. Sekurang-kurangnya untuk menghiburkan hati yang lara dek kerana cinta tak kesampaian!

Melalui arena chatting mIRC juga aku mengenali U yang tinggal di negeri kelahiranku dan berkerja sebagai Pengurus Promosi di sebuah hotel. Seperti biasa aku hanya menganggap dia sebagai teman untuk berbicara di alam siber untuk mengisi kekosongan dalam hati. Sebagai kesinambungan perhubungan itu, kami sering mengutus email dan kadang-kadang juga aku akan menghubungi U melalui telefon dan SMS.

Walau apa pun aku tidak berniat dan tidak pernah bertemu pun dengan U. Biarlah perhubungan aku dan dia hanya berdasarkan persahabatan alam siber semata-mata. Tetapi kalau sudah ditakdirkan untuk bertemu segalanya boleh berlaku. Pertemuan pertama kami terjadi apabila aku telah dihantar berkursus ke negeri kelahiranku selama seminggu. Ditakdirkan lagi, tempat aku berkursus ialah di hotel tempat U bertugas. Adakah ini secara kebetulan? Sememangnya kita tidak pernah menduga segala perjalanan dan ketentuan hidup kita yang telah ditentukan oleh-Nya yang Maha mengetahui.

Sengaja aku ingin memberikan kejutan buat U. Aku langsung tidak memberitahunya bahawa aku akan berkursus di hotel tempat dia bertugas. Sebelum menghadiri kursus aku terlebih dahulu pulang sehari lebih awal ke kampung untuk menjenguk kedua orang tuaku. Sempat juga aku tidur semalaman di rumah. Keesokkan paginya aku terus menuju ke hotel tempat aku berkursus. Setelah sampai sahaja ke parking hotel baru aku menghantar SMS memberitahunya yang aku sekarang berada di hotel tempat dia berkerja.

Antara percaya dengan tidak U menyuruh aku bertemunya di lobi hotel.
Selesai pendaftaran peserta yang hadir urusan check-in, aku terus menuju kearah seorang wanita yang sedang duduk di atas sofa dan seperti dalam cerita biasa pertemuan pertama bagi kawan alam siber aku tanpa segan silu terus meneka.

“Saudari ni Cik U kan?”
“Iye siapa lagi kalau bukan saya U. Kan saya dah cakap tadi suruh awak terus datang sini,” balas U dengan senyuman manis mengalahkan Pakcik Kordi yang gembira mendapat anak kambing kembar 5.
“So macam mana? Surprise tak?” Tanyaku sambil menatap senyumannya yang manis itu.
“Mestilah terkejut. Tak bagitau awal-awal yang awak nak datang sini. Tak sangka pulak kita boleh jumpa dalam keadaan macam ni,” ujar U dengan senyuman yang masih tak lekang dari ulas bibirnya yang lengkap dihiasi indah dengan tahi lalat di bawahnya.

“Anak sapalah ni cantik amat sangat!” Ujar hatiku kepada diriku sendiri yang begitu kagum dengan keindahan dan kecantikan yang Allah berikan terhadap seorang wanita yang bernama U ini.
Perbualan seterusnya antara aku dan U berlangsung hampir 10 minit.
Malangnya aku terpaksa menamatkan perbualan itu kerana kami masing-masing mempunyai urusan kerja.

“Oklah saya tahu awak pun tengah berkerja, nanti tak elok pulak kalau boss awak nampak. Lagipun saya dah kena mula masuk dewan tempat kursus. Sesi pertama akan tamat dalam pukul 5.00. So, kalau awak dah habis kerja nanti SMS kat saya dan kita keluar minum petang boleh?”
“Ok! Nanti kita jumpa dalam pukul 5.00 sebab saya memang habis kerja pukul 5.00,” jawab U masih dengan senyuman yang terlalu manis itu mengalahkan madu yang menitis keluar dari sarang lebah.

Tanpa membuang masa aku terus menuju ke dewan untuk menghadiri sesi taklimat dan seterusnya memulakan kursus sesi pertama.
Beberapa jam berada di dalam dewan yang sejuk itu seperti satu tempoh yang terlalu lama dan membosankan bagiku. Malah aku tidak dapat menumpukan 100 peratus perhatianku terhadap apa yang disampaikan oleh penceramahnya.
Sempat juga aku berSMS dengan U menyatakan betapa bosannya aku di di dalam dewan yang sejuk ini. Aku juga mengusiknya dengan mengatakan bahawa aku tak sabar untuk menanti pukul 5.00 kerana teringin sangat bertemu dengannya lagi.

Penantian itu memang satu penyeksaan. Setelah sesi bertukar sesi, penceramah bertukar ganti, segala aktiviti dah aku ikuti walaupun tidak dengan sepenuh hati maka tiba sudah masa dijanji. Telah terpatri jam lima akan ku temui, walau si dia baru ku kenali. Apa yag terjadi akan tetap terjadi dengan izin Illahi.

Tepat jam 5.00 tanpa melengahkan masa pantas aku menuju ke arah lobi hotel dan jelas di sana wajah yang aku kenali sudah siap sedia menanti.
“Jom keluar.” Dengan gelojohnya ibarat pengantin baru yang tak sabar menantikan malam pertama, aku terus mempelawa U untuk keluar minum denganku.
“Ok, tapi kita kena naik kereta masing-masing sebab nanti saya terus nak balik ke rumah,” jelas U.
“Tapi kita nak ke mana?” Tanyaku.
“Kita minum di tepi pantai airport sebab kat sana suasana ok sikit,” jawab U sambil kami terus beriringan menuju ke tempat parking. Lalu kami berpecah menuju ke arah kereta masing-masing.

Petang itu memang indah. Kami minum menghadap antara satu sama lain dengan diiringi muzik terindah ciptaan Allah iaitu alunan ombak yang damai. Sotong yang digoreng dicelup tepung itu pun terasa lebih lazat berbanding biasa kerana aku begitu asyik memerhatikan keindahan wajahnya itu. Tiba-tiba pulak dia boleh berkata:

“Janganlah asyik tenung muka saya lama-lama, seganlah.”
“Alamak sorry, saya cuma memandang keindahan yang tuhan ciptakan yang ada pada awak,” jawabku dengan jujur memuji sambil ku perhatikan memang muka dia sudah kemerahan malu kerana menerima pujian.

Kami meneruskan perbualan demi perbualan tentang pengalaman kerja masing-masing sehingalah mengimbau kembali zaman belajar masing-masing.
“Awak kata pernah belajar di sebuah institusi pengajian di sini kan?” Tiba-tiba pertanyaan itu keluar dari mulut U seperti ingin mengorek rahsia dari aku.“
“Aaaa… Pernah dulu di ******” (nama tempat yang terpaksa ku rahsiakan demi menjaga kerahsiaan aku). Kenapa awak tanya?” Giliran aku pula yang menyoal siasat U.

“Awak kenal seorang pensyarah yang bernama Hj. E?” Soal U lagi.
Dengan dahi yang berkerut-kerut aku cuba mengingati kembali satu-persatu nama-nama bekas pensyarah yang pernah mengajar aku dulu.
“Oh, ya! Baru saya teringat memang Hj. E pernah mengajar saya dulu. Jangan-jangan awak ni anak dia tak?” Soalku menyerkap jarang yang memang hampir mengena kerana aku baru teringat nama penuh yang dia pernah berikan semasa mula-mula berkenalan dalam MIRC dulu.

“Ya. Memang saya anak Haji E,” tutur U membuatkan aku seperti terkesima sehinggakan sotong goreng tepung yang aku cuba suapkan ke mulut sendiri hampir terlepas dari pegangan jariku. Antara percaya dengan tidak.
“Apa? Memang betul awak anak Haji E? Aduhai, tak sangka pulak yang saya keluar dating dengan anak pensyarah saya sendiri,” aku menuturkan kata-kata itu dengan perasaan yang berbelah-bagi.

Sungguh ku tak sangka biawak dah jadi buaya, cempedak dah jadi nangka, ular dah jadi naga. Memang sah lagi sahih bahawa U adalah anak bekas pensyarah aku. Aduh, segannya………


...Lagi-lagi Bersambung...

Kisah 6.1 (Tiada Lagi Cinta?)

Kekecewaan dan penderitaan memang suatu perkara yang amat perit untuk dihadapi oleh sesiapapun. Malah aku sendiri yang mengalami kekecewaan yang amat berat hampir menggugat kewarasanku. Aku menjadi terlalu pendiam malah hampir tidak terurus. Mujurlah dalam hati ni masih dikurniakan dengan kepercayaan bahawa segala yang berlaku adalah kehendak Allah. Biarlah perit sekalipun aku menerima segalanya dengan hati yang redha.

Hampir sebulan aku berada di dalam keadaan mood berkabung. Ibarat tak mandi maka tak basah, tak makan maka tak kenyang malah kalau tak tidur maka tak lena. Tetapi walau apa pun aku kuat berpegang pada prinsip bahawa hidup ini mesti diteruskan.

Dalam tempoh sebulan ini hanya teman serumahku yang memahami situasi yang aku hadapi sekarang. Untuk membuatkan aku lupa akan segala kesedihan dan kekecewaan dia mengajak aku melakukan satu hobi yang telah lama aku tinggalkan iaitu memancing. Selama sebulan ini jika ada kelapangan sudah pasti aku dan dia akan tercongok di tepi sungai, laut malah sampai tahap kronik di loji Indah Water pun aku sanggup melampiaskan keinginan aku untuk memancing. Betapa rakusnya nafsu memancingku ketika itu.

Dalam pada itu, C masih menghantar SMS kepadaku dan meminta untuk meneruskan kembali cinta kami tetapi aku tidak mampu untuk memberikan harapan lagi kepadanya. Aku tidak mahu lagi memberikan janji-janji palsu. Walaupun masih ada sekelumit cinta tetapi cinta itu tetap tidak akan kesampaian.

Sehinggalah akhirnya, pada suatu hari dia menghantar SMS yang memberitahu bahawa dia bakal dikahwinkan dengan seorang jejaka yang merupakan plihan keluarganya. Malah C menyuruh aku agar melupakan dia untuk selama-lamanya. Aku tidak kecewa malah aku pasrah dan mendoakan agar dia bahagia dengan pilihan keluarganya.

Tentang aku, biarlah aku begini untuk sementara waktu. Aku bahagia dengan duniaku sekarang. Sendirian dan bebas ke mana jua seumpama beruang kutub yang dilepas bebas kembali ke Kutub Selatan tanpa dicucuk hidung. Mungkin tiada cinta lagi untuk seseorang yang bernama wanita. Apa? Tiada lagi cinta untuk wanita? Aku sudah gila atau buang tebiat ke?


Setelah berjaya memulihkan diri aku kembali menjalani hidup yang normal. Sedikit demi sedikit aku mula melupakan segala peristiwa pahit yang telah berlaku. Malah aku mula kembali menjadi gila-gila remaja yang dah tak remaja tetapi masih perasan remaja. Agaknya dah masuk kategori remaja senja kot? Cuma hati memang belum terbuka untuk bercinta lagi. (Ceh, boleh percaya ke ni?) Atau sememangnya tiada wanita yang mahu dekati aku ketika ini? Entahlah, tetapi apa pun aku tetap percaya kepada takdir ketentuan Allah.

Maka teramat benarlah kata-kata orang dewasa bahawa mendung tak selamanya menimpa bumi, pasti akan datang hari yang cerah secerah wajah seorang pelajar yang tengah menjalani latihan praktikal di tempat aku bekerja. Kalau sebelum ni mana aku ambil pedulik sangat tentang kehadiran budak-budak U yang menjalani praktikal tetapi kehadiran CS telah membuka mata aku sehingga tak berkelip-kelip untuk selama 120 saat.

Sungguh ayu wajahnya yang berlesung pipit, dilengkapi pula dengan kulit yang cerah serta ketinggiannya yang menyamai taraf seorang model. Malah yang membuat aku teruja apabila dia ditempatkan di department yang sama dengan aku di bawah seliaan seorang seniorku. Tetapi dengan kejadian yang telah menimpaku selama ini, sedikit sebanyak ianya telah membuat aku menjadi pemalu dan pendiam kembali serta hilang segala keyakinan diri untuk mendekati wanita apatah lagi yang dikategorikan sebagai jelita.

Maka aku hanya memandang dia dari jauh tetapi dekat. Sedangkan aku? Hanya seorang lelaki biasa yang serba kekurangan. Apa yang aku ada hanyalah selonggok kasih sayang yang dah berterabur dan berkubur di segenap penjuru alam menanti masa untuk dibangkitkan kembali!

Walapun setiap hari berselisih dan saling memandang tetapi sepatah perkataan pun aku tidak pernah tegur CS walaupun hanya untuk mengucapkan selamat datang. Malah untuk memandang matanya yang begitu bersinar seperti mutiara pun aku tidak sanggup. Aku telah menjadi jantan pengecut kembali.

Walaupun telah ada gesaan dan galakkan dari senior sama department denganku yang menyuruh aku mendekati dia sebab memang telah dikenal pasti bahawa dia masih single. Tapi aku macam tak percaya kerana wanita jelita seperti dia takkanlah masih single kot?

Walaupun begitu dalam diam-diam aku mula menjadi peminat si dia. Selalu ku perhatikan gerak-geri dan tingkah lakunya walaupun hanya dari kejauhan. Maka telah bermula lagi penyakit lamaku. Memendam perasaan dan cinta dalam diam atau cinta syok sendiri. Tak mungkin aku mampu meluahkan perasaan itu kerana dia terlalu jelita untukku. Bukan kata nak meluahkan perasaan malah untuk mengucapkan kata hai pun aku masih tak berani dek kerana terlalu segan dan malu.

Maka cinta terpendam itu terbiar, terpendam dan terus terpendam apabila sampai ke hari terakhir dia menjalani latihan pratikal pun aku hanya mampu mengucapkan kata-kata semoga berjaya dengan alam kerjaya nanti. Betapa pengecutnya aku kan? Tapi tak mengapa, biarlah aku memendam perasaan ini selamanya lantaran aku sedar kekurangan dan kelemahan diriku. Dari mendapat malu andainya cintaku ditolak baik aku ikut jalan selamat.

Biarlah segalanya hanya sekadar terpahat di hati menjadi kenangan cinta syok sendiri untuk sekian kali. Biarlah rahsia yang aku pernah meminatinya hanya menjadi kenangan terindah untuk aku kenang sendiri. Cinta itu walaupun ianya tidak kesampaian tetapi ia tetap merupakan satu anugerah yang indah dan membahagiakan walau hanya sekadar di alam angan-angan sendiri. Malah ia mampu membahagiakan aku dengan impian yang disulam dari awan-awan yang menjadi benang pengikat kasihku di alam mimpi!

Mampukah aku untuk terus hidup dengan angan-angan dan impian semata-mata tanpa beralaskan realiti kehidupan di alam nyata? Iya, memang aku tidak mampu untuk terus menggapai mimpi kerana aku bukanlah putera impian. Untuk meneruskan hidup, aku kembali menjalani rutinku seperti dahulu, kadang-kadang pergi memancing dengan teman serumah dan kadang-kadang aku kembali melayari internet untuk mencari kenalan baru. Mencari teman buat mengisi kesepian hidup kerana aku tidak mahu menjadi seumpama rama-rama yang cantik berterbangan sendirian tanpa ditemani bunga-bunga indah berserta madu yang lazat! Aku mahu meneruskan hidupku seperti dulu!

Walau apa pun yang terjadi diari hidupku mesti diteruskan kerana aku mahu terus mencipta dan memahat sejarah serta kenangan yang terindah. Apa yang berlalu akan ku jadikan pedoman dan kenangan pahit.
Maka dengan ini, aku telah mengisytiharkan kepada diriku sendiri bahawa tempoh berkabung ini perlu ditamatkan. Buku kisah hitam dan memedihkan perlu ditutup segera. Aku akan menjadi insan seperti dulu. Itulah azamku!


…Hanya satu permulaan…


Kisah 5.15 (Naluri Seorang Lelaki)

TAHUN BERDUKA! Memang itulah selayaknya gelaran yang aku berikan untuk tahun tersebut kerana aku kehilangan banyak cinta di dalam masa yang terdekat. Satu persatu wanita yang pernah hadir dalam hidupku pergi meninggalkanku di atas kehendak mereka sendiri dan ada yang pergi kerana halangan dari keluarga.

Reputasi aku selama ini teruk tercalar. Ibarat kertas pembalut hadiah yang tidak berguna lagi. Lepas cantik menghiasi hadiah, aku dikoyakkan, direnyuk malah dicampak dalam longkang sehinggakan longkang pun sudah tidak sudi menerimaku lantas aku dihanyutkan ke sungai yang mengalir lesu dan tersekat-sekat dengan lumpur dan sampah sarap kemajuan termasuk sekali sampah masyarakat yang terdampar kerana dadah!

Nampaknya nasib malangku yang ditinggalkan awek berterusan. Aku hanya ada FF sahaja dalam hidupku sekarang. Kalau dulu ada 4, sekarang yang tinggal hanyalah dia seorang. Itu pun dikira ok juga kerana selepas ini, bolehlah aku memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap FF. Malah aku akan menatangnya seperti menatang minyak yang penuh. Segala kasih dan sayang telah aku curahkan hanya untuk FF seorang.

Walaupun dulu hidupku ceria disinari dengan 4 cahaya lampu minyak tanah selama ni, tetapi akhirnya semua cahaya tersebut telah padam satu persatu sehingga yang tinggal hanya satu pelita yang cahayanya mula menampakkan kesuraman. Hidup segan, mati tak mahu!


Kenapa aku berkata sedemikian rupa? Ya, naluri seorang lelaki milikku telah mula membisikkan bahawa FF mula berubah. Tindak-tanduknya mula berlainan seakan ingin menjauhiku. Aku mula mendapati bahawa FF semakin jarang menghubungiku. Kalau dulu seminggu sekali, kali ini semakin berkurangan. Setiap kali aku telefon memang dia sering tiada di rumah. (Aku agak mesti dia menggunakan taktik macam di dalam cerita P. Ramlee, di mana Pak Belalang menyuruh anaknya memberitahu penghulu yang dia tiada di rumah).

Tapi tak mengapalah. Aku masih mampu bersabar. Kebangangan aku opss, kebengangan aku sudah sampai ke tahap maksima apabila sudah sebulan dia tidak menelefonku. Kali ni aku dah nekad. Tanpa ragu-ragu, aku akan call FF untuk meminta kepastian tentang status perhubungan kami.

Seperti biasa aku menelefon nombor rumahnya dan kali ni seperti biasa adiknya lagi yang menjawab panggilanku. Seperti biasa juga tanpa rasa malu adiknya memaklumkan kepadaku yang akaknya tiada di rumah dan kini berada di rumah atuknya di Melaka. Aku dah bengang tahap Naga Merah kena sabotaj dek Ratu Seribu Tahun di dalam Komik Dewata Raya itu pun terus meninggalkan pesan kepada adiknya.
“Cakap kat akak, abang Jemmy telefon dan suruh akak telefon abang semula. Ada hal mustahak yang nak dibincangkan. Soal hidup dan mati.”Tanpa berbasa-basi lagi aku memberikan salam dan terus menghentikan perbualan telefon itu. Darah jantanku sudah semakin mendidih dan mula hilang sabar…….

“Tolong call kejap.” Tiba-tiba aku mendapat satu mesej dari nombor handphone yang aku langsung tidak tahu siapa pemiliknya. Dengan perasan ingin tahu aku pun terus call nombor tersebut.
“Hello siapa ni?” Tanyaku apabila panggilan ku terus dijawab oleh suara seorang awek yang aku rasa agak familiar dengan suaranya.
“Saya la ni bang.” Jawab suara tersebut, dan aku secepat rama-rama terus dapat menangkap siapa yang empunya suara tesebut. Ooo, rupanya FF.
“Kenapa tak bagitau abang yang awak dah pakai handphone sekarang? Dah tu kenapa dah tak nak call abang lagi? Kalau dah tak suka kat abang, berterus-terang ajelah. Abang tak marah malah abang akan terima dengan hati yang terbuka andainya awak dah ada orang lain.” Sambungku lagi.

Pertanyaan-pertanyaan aku itu dijawab dengan suasana yang sunyi sepi dari FF atau dalam erti kata yang lain dia tak menjawab pertanyaanku Cuma terdiam membisu seribu bahasa. Kemudian dengan lambat-lambat dia bersuara.
“Abang, maafkan saya. Bukan niat saya untuk melukakan hati abang, tapi boleh tak kita meneruskan hubungan kita ni hanya sebagai kawan?” Tutur FF yang telah menyentap denyut nadiku untuk selama 0.0001 saat.

Isyk, bala apakah lagi yang melanda kali ni. Segala cinta yang aku bina selama ini telah hancur berkecai seumpama gelas kaca yang dilempar dari tingkat 80 KLCC jatuh terhempas ke atas lantai simen, hancur berderai. Terasa hinanya diri ini apabila cinta telah beralih kepada hanya seorang kawan?

Seumpama diriku ni seperti seekor anak kucing semasa tengah comel dibelai manja, diusap-usap tetapi apabila berkurap aku mula disepak terajang malah dismack-down dengan hinanya. Tidak cukup dengan itu, lalu dicukur kesemua bulunya sehingga togel. Terus mayatku dibuang ke dalam semak. Alangkah hinanya diriku dilayan seperti itu.

“Kenapa awak tak ambik pisau, lepas tu tikam je abang sepuas-puasnya?” Jawab aku dengan sedikit emosi.
“Sungguh abang tak sangka begini permintaan awak. Ini balasan yang abang terima. Abang tak sanggup menjatuhkan harga diri abang dengan menukar hubungan kita ni dari sepasang kekasih menjadi sahabat. Terima kasih ajelah dan semoga berbahagia dengan jalan pilihan awak ni.” Aku terus menamatkan panggilan tersebut dengan perasaan yang sangat sakit.

Ibarat luka yang diperah dengan limau nipis dan ditabur garam sekaligus. Aku benar-benar terpukul malah tidak menyangka sama sekali begini balasan yang aku harus terima kerana tidak setia dengan satu cinta.
Selang beberapa minit, bertalu-talu FF membuat panggilan ke telefonku. Aku hanya mendiamkan diri dan hanya membiarkan telefon itu berbunyi. Selepas itu bertalu-talu pulak bunyi SMS masuk. Dengan perasaan yang bengang aku pun buat bodoh aje dengan SMS tersebut. Dek mula kebosanan kerana tak henti-henti SMS masuk aku mula membaca SMS dari FF yang berulang-kali meminta maaf dan meminta aku menjawab panggilan dia.

“Pergi jahanam ler.” Jawabku dalam hati dengan amarah yang masih terbuku. Lantas aku pun terus offkan handphone. Tanpa membuang masa aku membaringkan diri ke katil bujangku. Memandang kosong ke siling dan menanti mata untuk terlelap… ZZZZ....

Followers