Kisah 6.6 (Cinta Mee Segera III)

Pagi yang bening. Pertama kali dalam sejarah hidup, aku menginap di hotel budget. Tak kisah la yang penting aku dapat tidur dengan seadanya. Selesai solat, termenung dan mandi aku bersiap untuk keluar dengan D. Kali ni aku harus menemani D untuk membuat medical check-up. Dalam suasana mood raya pun kena pergi hospital untuk buat medical check-up. Apa boleh buat, dah jadi pakwe orang kenalah buat apa sahaja yang termampu untuk membantu awek demi cinta.

Cinta? Adakah benar inikah namanya cinta? Datang tanpa diundang seperti bayang-bayang. Terasa dekat bersama tetapi sukar untuk digapai. Puas ditangkap masih tak dapat-dapat. Apa sahaja definisi cinta, aku telah memberi peluang dan ruang untuk diri sendiri agar cuba menerima dan menyintai D seadanya. Tapi adakah itu semua mencukupi untuk merasai nikmat cinta? Mungkinkah ini cinta atau kompromi terhadap hati sendiri? Apakah cinta kilat atau cinta mee segera mampu bertahan lama? Persoalan demi persoalan yang menyerang benakku seperti tiada kesudahan dan tiada jawapan yang pasti. Aku hanya mampu menunggu masa menentukan segalanya.

Setelah 2 hari beraya bersama D di tempatnya, maka tibalah harinya untuk kami berpisah sementara. Lumrah hukum dunia, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Hari untuk aku bertolak balik semula ke kampung halamanku, aku bersalam dengan ayah D dan semua adik-beradiknya.

Seperti memahami jiwa anak-anak muda, mak dan ayahnya mengajak semua adik-adiknya ke dapur. Hanya tinggal kami berdua di ruang tamu. Ku perhatikan wajah D makin sayu dan jelas kelihatan ada genangan mutiara jernih yang bakal tertumpah dari matanya. Aku hanya mampu terdiam membisu seribu bahasa kerana kelu menghadapi suasana yang agak mengharukan.

Tak semena-mena lantas D menarik tanganku, menyalami sambil menciumnya. Bimbang takut mak ayahnya ternampak, cepat-cepat aku menarik semula tanganku.

“Jangan la sedih. Nanti ada masa kita jumpa lagi ya?” Aku cuba memujuk D setelah suasana semakin menjadi sayu.

Lalu dengan mencuba untuk menjadi jejaka romantik, aku mengambil tisu dan mengelap hingus (opss silap) menyeka air mata D dari terus mengalir. Nanti karang tak pasal-pasal pulak jadi drama swasta yang menyedihkan.

Setelah keadaan menjadi reda, D memaklumkan kepada ibu dan ayahnya yang aku akan berangkat sekarang untuk pulang. Setelah mengucapkan terima kasih aku di atas layanan yang begitu baik, aku harus meneruskan perjalanan untuk kembali ke kampung halaman.

Maka 6 jam perjalanan yang harus aku tempuhi. Satu kerja yang agak gila juga kan? Tapi aku percaya masih ramai lagi yang lagi gila dari aku hanya kerana cinta kan? Apa sangat nak dibandingkan dengan bawak kereta selama 6 jam semata-mata untuk bertemu awek kan?

Kata-kata orang yang lebih perpengalaman, manusia boleh menjadi gila kerana cinta kurasakan ada benarnya. Kadang-kadang manusia boleh melakukan apa sahaja di luar kebatasan normal hanya semata-mata untuk mencapai sesuatu yang bernama CINTA!

Dari hari ke sehari aku dapat rasakan yang aku tidak serasi dengan D. Terlalu banyak tindak-tanduknya yang kadang-kadang terlalu merimaskan. Sifatnya terlalu cemburu. Malah aku harus SMS dengan dia setiap minit. Kalau aku terlambat sikit sudah tentu dia akan marah-marah dan cakap aku pergi berjumpa dengan perempuan lain? Sampai bila aku harus bersabar?

Kalau sebulan dua mungkin aku masih mampu bersabar. Malah tuduhan yang tidak berasas membuat aku rasa semakin tercabar. Alang-alang dah dituduh keluar dengan perempuan lain baik aku keluar betul-betul kan? Tapi aku bukanlah seperti dulu. Malah aku dah berubah walaupun sedikit kan? Semenjak berkenalan D aku sudah tidak keluar dengan mana-mana perempuan pun.

Sampai ke kemuncaknya kami bergaduh besar. Aku sudah tidak betah dengan sikapnya yang terlalu cemburu mudah prasangka. Kata orang cemburu itu tandanya sayang. Tetapi sayang apakah ini andainya setiap gerik-geri dan ke mana aku nak pergi pun harus aku bagitau? Cinta apakah ini? Aku perlu meluahkan segala apa yang terbuku di hati. Bila aku rasa keadaan sudah agak tidak terkawal maka aku merancang untuk bertemu dengan D. Kebetulan pula D sedang bercuti di rumah neneknya di Kuantan.

Cuti hari minggu aku terus bergegas ke Kuantan. Aku ingin menemui D. Mungkinkah D terlalu rindukan aku kerana sudah 3 bulan tidak bertemu setelah pertemuan pertama kami pada Hari raya tempoh hari.

Aku melihat D ceria masa bertemu dengan aku. Kami bersama-sama menikmati panorama indah di Pantai Teluk Cempedak sehingga ke lewat petang. Di situ kami meluahkan apa yang terbuku di hati kami selama ini. Aku meluahkan rasa hatiku yang aku rimas dengan sikap D yang seperti mengongkong kebebasanku. D pula meluahkan isi hatinya yang dia terlalu rindukan aku kerana sering berjauhan. Kadang-kala dia takut sangat aku akan berlaku curang. Kepadaku D berjanji tidak akan terlalu mengongkong aku lagi dan aku pula berjanji akan cuba bertemu dengannya jika ada masa cuti.

Segalanya seperti berjalan lancar setelah pertemuan itu. Malangnya ianya hanya mampu bertahan untuk sebulan sahaja. D kembali seperti dulu. Makin mengongkong dan makin cepat cemburu. Nampaknya aku sudah tidak mampu menyemai benih cinta ini lagi.

Sudah puas aku memujuk diri sendiri untuk bersabar dan menerima dirinya seadanya. Tetapi aku semakin tidak mampu.Semakin hari semakin terhakis rasa sayangku pada D. Malah aku sudah tidak mampu untuk menipu diriku lagi bahawa sememangnya inikan bukannya cinta yang aku kehendaki. Aku gagal untuk menyintai diri D dengan seikhlasnya. Setelah berfikir dengan semasak-masaknya aku membuat keputusan untuk berpisah dengan D.

Walaupun bunyinya seperti aku agak kejam tetapi aku sudah tidak mampu untuk berterusan menipu diri sendiri. Tiada lagi kompromi dalam urusan menipu hati sendiri. Pembohongan hati sendiri ini perlu ditamatkan segera. Tapi bagaimakah caranya? Haruskah aku menemuinya lagi untuk mengucapkan kata perpisahan?

Aku tidak sanggup melihat wajahnya secara berhadapan. Aku tidak betah melihat air mata yang menitis dari seorang wanita. Sementelah lagi dia tidak bersalah. Aku yang bersalah dari awal-awal lagi kerana menerima cintanya dan memberikannya harapan.

Sememangnya aku sudah tidak mampu lagi meneruskan perhubungan ini. Hari demi hari aku meneruskan lakonan. Tapi sampai bilakah lakonan ini akan dihentikan? Aku sering berperang dengan perasaan sendiri. Antara simpati dan gelodak hati sendiri.

Kemuncaknya aku telah membuat satu keputusan yang aku harus berterus-terang. Tidak perlu lagi aku mengorban dan menipu hati sendiri. Tapi bagaimana? Ya, hanya satu cara. Walaupun bunyinya agak tidak gentleman, tetapi inilah yang terbaik. Suatu hari aku menghantar SMS kepada D untuk memutuskan perhubungan kami....





...What next?...

0 comments:

Post a Comment

Followers