Kisah 6.5 (Cinta Mee Segera II)

Diriku umpama pelarian yang melarikan diri dari buruan cinta. Semakin aku berlari semakin jauh ia mendekati. Semakin dalam aku bersembunyi jauh di dalam lubuk hatiku tiap kali itu juga ia mampu menemuiku. Barangkali keberuntungan masih menjadi milikku kerana ada sesetengah orang terlalu sukar untuk menemui cinta, sedangkan aku begitu mudah untuk menemuinya! Malah dulu aku pernah mencampakkan cinta dan kasih sayang seumpama menabur padi kepada segerombolan merpati di dataran menanti manusia mencampakkan makanan. Begitu mudah!

Dilema yang telah melanda diriku telah ku hadapi dengan satu dimensi pemikiran yang mudah. Apa salahnya kalau aku mencuba untuk membuka pintu hati dengan cinta yang hadir tanpa diundang ini? Undangan cinta dari D telah aku terima secara rasmi melalui sesi pebualan YM kami.


Maka hari itu telah tercatat sejarah cinta yang telah kembali cuba untuk bertapak dalam diriku. Walaupun aku sendiri tidak pasti mampukah aku menyintai D seperti mana aku cintakan awek-awek ku yang terdahulu? Hanya masa yang mampu menentukan itu semua kerana kata orang, adakalanya cinta itu boleh disemai. Kalau cukup dengan baja, siraman dan belaian mungkin cinta itu akan berputik, mekar dan seterusnya mampu menghasilkan buah. Tapi bab-bab nak menghasilkan buah tu kena ada ikatan yang sah dahulu!

Perjalanan cinta jarak jauh yang berlangsung antara aku dan D rupanya merupakan suatu cabaran buatnya. Bagi aku itu bukanlah perkara yang pelik kerana sebelum ini memang aku dah biasa dengan alam percintaan jarak jauh. Hampir setiap masa D mahu aku sentiasa bersedia untuk menghantar SMS dan juga melaporkan diri setiap kali aku ingin ke mana-mana. Sampai nak masuk jamban pun aku kena bagitau. Logik ke? Logik atau tidak, aku harus bersabar meniti arus perhubungan ini. Sementelah lagi umur D yang baru 21 memang masih agak muda dan kadang-kadang ada tindakannya yang masih keanak-anakan. Tapi tak mengapa, aku masih mampu bersabar dan memahami situasi yang terjadi.

Setelah berbulan menjalani cinta alam siber jarak sederhana jauh, kali ni aku berpeluang bertemu dengan D. Tanpa segan-silu laksana muka tembok di tepi jalan, aku menerima pelawaan D untuk berhari raya dengannya sekeluarga pada hari Raya Aidilfitri tahun ini. Malah aku juga sedikit bergembira untuk menyambut Hari Raya kali ini kerana aku telah membeli kereta idamanku selama ini iaitu Mazda Lantis. Berganda-ganda seronoknya menyambut perayaan kali ini ibarat si teruna tua yang menerima lamaran anak dara sunti yang masih bergetah dan kaya-raya!

Hari Raya pertama selesai menziarahi sanak-saudara dan teman-teman rapat aku menuju ke rumah U yang jaraknya hanya sekitar 15km dari rumahku. Saja-saja nak tunjukkan kereta baruku. Lagipun U memang menjemput aku beraya di rumahnya. Nanti hari raya ke-3 giliran aku beraya di rumah awekku pulak nun jauh di Negeri Sembilan.

Dengan perasaan berani-berani takut aku memberikan salam. Salamku disambut olah suara garau milik lelaki yang aku cukup kenali. Tuan Haji E bekas pensyarahku. Agak kaget jugak aku ketika itu. Maklumlah seperti yang aku ketahui bahawa Haji E memang agak garang. Nanti tak pasal-pasal diterkamnya aku terus dikoyak-koyakkan urat dagingku seperti seekor harimau yang tengah melapah mangsanya! Tapi logik ke? Takkan la dia nak buat macam tu di hari raya yang mulia lagi berkat ini kan? Setelah dipelawa masuk, dengan sedikit mengigil aku melangkahkan kaki dengan bersopan-santun laksana dara pingitan. Memang jelas ketara muka Haji E tegas tanpa senyuman menyambut kedatanganku.

“Awak ni ada hubungan macam mana dengan anak saya U?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut Tuan Haji E setelah mempelawa aku duduk. Aku nampak U sedang sibuk menyediakan minuman di dapur.

“Err, sebenarnya kami hanya berkawan tak lebih dari itu,” jawabku yang agak kebingungan kerana secara tiba-tiba sahaja soalan itu yang diajukan beliau.

Kemudian bermacam-macam lagi soalan yang ditanya dan aku hanya menjawab sekadar yang termampu. Tidak ku sangka bahawa Haji E menyangka bahawa antara aku dengan U ada menjalin hubungan istimewa tetapi setelah aku perjelaskan dengan sejelas-jelasnya seperti jelasnya pemadangan dasar sungai yang cetek dan jernih di hulu sungai barulah tampaknya seperti Haji E berpuas hati.

Kemudian Haji E meninggalkan aku dan U untuk berbual-bual sambil menikmati hidangan istimewa di hari raya. Setelah agak lama, aku meminta diri untuk balik ke rumah. Sebelum aku keluar U sempat meminta maaf sekiranya ada perbuatan ayahnya tadi yang membuatkan aku tidak selesa. Aku tidak kisah malah merasakan tindakan itu adalah tindakan normal dari seorang ayah yang ingin melindungi anak perempuannya.

Cepatnya masa berlalu. Lebih-lebih lagi kalau hari raya tak terasa masa berjalan begitu pantas. Diam tak diam hari ni sudah masuk hari raya ke-3. Pagi-pagi lagi aku dah minta izin dengan mak untuk berhari raya di rumah ‘kawan’ku yang berada di Negeri Sembilan. Perjalanan dari rumah aku menuju ke Negeri Sembilan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Mengikut pelan yang D berikan aku rasa sudah begitu hampir dengan rumahnya. Memandangkan aku langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat ini maka aku dengan segera menghubungi D meminta dia menjemput aku di masjid yang berdekatan dengan rumahnya itu.

Perasan bercampur-baur apabila aku melihat D menghampiri keretaku. Tidak terlalu teruja atau dalam erti kata yang mudah aku hanya ada perasaan yang biasa sahaja tetapi sedikit berdebar kerana kali pertama aku beraya dengan dia dan perlu berhadapan dengan ahli keluarganya. Aku memberikan salam buat D dan memintanya terus masuk ke dalam kereta.

Perasaan kekok agak ketara bagi dua orang yang menjadi pasangan kekasih alam siber pertama kali bertemu bertentang mata. Tapi entah mengapa aku tidak mempunyai suatu perasan yang luar biasa. Hanya perasaan yang biasa sahaja. Sambil berbual serba sedikit aku terus menghidupkan enjin kereta dan D menunjukkan jalan ke arah rumahnya.
Keluarganya menyambut dan melayan aku dengan baik sekali. Maklumlah hari raya la katakan. Seharian juga aku beraya di rumah D dan ke rumah saudara-maranya. Bila hari sudah agak lewat aku sudah tidak mampu untuk drive balik ke kampung aku. Keluarga D meminta aku supaya bermalam sahaja di rumahnya. Tapi aku segan. Aku menolak pelawaan mereka dan aku menginap di hotel yang terletak di pekan berhampiran. Hotel murah pun hotel murahlah janji aku dapat melelapkan mata.

Esok paginya, aku kena bangun awal-awal untuk membawa D membuat medical check-up kerana dia telah diterima berkerja di Pejabat Kerajaan. Jadi, sementara berpeluang inilah aku bersedia menawarkan diri untuk memberikan pertolongan.





...Masih Bersambung...

0 comments:

Post a Comment

Followers