Kisah 5.13 (Air Mata Lelaki)

Di dalam masa yang terdekat sahaja aku telah kehilangan seorang sahabat dan juga seorang awek. Aduh, perit juga nak menghadapinya, tetapi itulah asam garam kehidupan sebagai seorang lelaki seperti aku. Konsep hidup aku mudah sahaja, kalau orang dah tak suka dan tak sudi buat apa lagi kita nak terhegeh-hegeh menagih kasih dari si dia kan? Ikut sahajalah kata-kata orang tua dulu, "kumbang bukan sekuntum, bunga bukan seekor". (Mesti korang komplen terbalik daaa. Tapi aku sengaja menterbalikkannya sebab memang la kumbang bukan sekuntum tetapi seekor.)

Sebenarnya alam percintaan aku dengan C, FF dan R ni pun bukanlah selancar mana pun. Ibarat pasaran saham dunia, ada masa turun dan ada masanya naik. Kali ni aku telah bertekad untuk memberikan fokus yang lebih untuk percintaan antara aku dengan C kerana dalam banyak-banyak wanita yang ada, memang dia yang paling aku sayang walaupun aku masih belum bertemu dengannya secara face to face. Keadaan dan waktu tidak mengizinkan aku untuk bertemu dengan dia.

Sepanjang tempoh percintaan aku dan C, memang penuh dugaan dan rintangan yang terpaksa aku lalui. Mungkin dugaan yang wujud disebabkan sifatku sendiri yang agak mudah menerima kehadiran insan lain dalam hidupku. Aku tahu aku amat sayangkan dia, tetapi mungkin jarak antara kami yang jauh memisahkan dua jiwa membuatkan aku menjadi tidak menentu. Kadang-kadang aku tidak yakin dengan cinta ini. Adakah ia mampu memberikan titik kegembiraan?

Selalu terdetik di hati yang aku memerlukan seseorang yang berdekatan dengan aku sebagai tempat aku bermanja. Apa yang pasti aku ingin bermanja dengan AWEK dan bukan dengan JANTAN atau dengan emak sebab aku dah cukup dewasa. Takkanlah dah tua-tua pun masih nak bermanja dengan emak lagi kan? Lantaran itulah munculnya FF, R dan J sebagai tempat untuk aku bermanja dan berkongsi kasih sayang aku yang begitu melimpah-ruah. Jadi tak salah kan? Takkanlah C begitu tamak untuk membolot kasih sayang yang aku miliki ini untuk diri dia seorang sahaja kot?

Dalam pada aku sibuk berlaku curang tanpa pengetahuan C, (Aku curang ker? Rasanya tidak, kan?) aku masih lagi setia melayaninya dan sudah semestinya berbalas surat, SMS dan juga telefon dia sesekali. Hubungan kami ada juga pasang dan surutnya. Bergaduh, merajuk, memujuk dan merayu sudah menjadi asam garam percintaan aku dengan dia. Kadang-kadang terdetik rasa bosan kerana aku masih dapat bertemu muka menatap wajah C walaupun sekali.
Salah ke aku? Salah ke C? Atau siapa yang harus dipersalahkan? Nak salahkan takdir Tuhan? Lagila tak logik. Realitinya, tiada siapa pun yang harus dipersalahkan kerana ini semua sudah takdir ketentuan-Nya.

Setelah berfikir dengan semasak-masaknya seperti buah betik yang dah ranum itu, maka aku telah mengambil satu keputusan yang paling bermakna bagiku. Mungkin keputusan ini terlalu berat atau mungkin juga keputusan yang terbaik dalam hidupku. Aku harus berterus terang dengan keluargaku tentang perhubungan aku dengan C dan hasrat hati aku untuk mengambil C menjadi suri hidupku. Padahal selama ini aku tidak pernah memperkenalkan atau berterus-terang dengan keluarga aku tentang wanita yang hadir dalam hidupku ini.

Pada masa yang sama juga aku menyuruh C memaklumkan pada keluarganya tentang perhubungan kami. Mungkin aku sudah nekad untuk menamatkan kisah cinta ini dengan suatu perhubungan yang lebih bermakna? Bermakna aku sanggup untuk menghabiskan zaman bujangku dan meninggalkan segala sikap-sikapku yang gemar mengumpul wanita sebagai teman atau kekasih?

Manusia hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Tidak ku sangka hasrat yang telah kuluahkan mendapat reaksi yang bertentangan dari keluargaku. Mereka sama sekali tidak setuju dengan pilihanku dan menentang hasratku untuk menjadikan C sebagai teman hidupku hanya kerana kami berbeza budaya dan jauh terpisah dengan Laut China Selatan.

Masihku ingat detik 3 Syawal itu ketika semua ahli keluarga berkumpul aku menyatakan hasrat hatiku. Emak aku terdiam tunduk membisu dan ku lihat pandangannya redup seakan hampir menitiskan air mata. Ayah begitu tenang dan menyuruh aku berfikir dengan semasak-masaknya. (Jangan sampai hangit sudah ler kan?) Sementara itu abangku yang sulung paling kuat menentang. Malah masih terngiang-ngiang kata-katanya menusuk telinga dan meresap jauh ke kalbuku.

“Kalau engkau nak kahwin jugak dengan budak perempuan tu, ok silakan. Tapi jangan panggil aku Abang Long lagi. Anggap sahaja aku sudah hilang dari hidup engkau dan aku juga akan anggap yang engkau tidak pernah wujud di dalam keluarga ini.” Kata-kata itulah yang tak mampu untuk aku lupakan keluar dari mulut Abang Long.

Aku kecewa lagi. Sesungguhnya aku tidak mahu menjadi anak derhaka. Aku kuat berpegang pada prinsip hidup. Biar hilang kekasih tapi aku tak sanggup kehilangan keluarga. Setakat kekasih tu bila-bila masa sahaja boleh dicari tetapi keluarga darah daging sendiri? Boleh dicari di pasar malam ker? Boleh ditukar ganti seperti menukar baju ker?

Demi keluarga, aku akan mengorbankan cintaku. Bukan hanya cinta tapi apa sahaja yang aku termampu! Aku nekad dan aku akan berterus terang dengan C. Biarlah dia terluka, biarlah hatiku merana tetapi aku tidak betah melihat emak bersedih hanya kerana kedegilanku. Malah aku tidak sanggup menyisih dan disisihkan keluarga. Biarlah aku mengorbankan cintaku dengan C. Aku harap C dapat memahami dan menerima keputusanku dengan hati yang terbuka.

Malam itu aku menelefon C, setelah menarik nafas sedalam-dalamnya, memikirkan ayat-ayat yang bakal diucapkan dan menyusun kata sebaik mungkin supaya C dapat menerima penjelasanku dan memahami kesukaran situasi kami. Dengan berhati-hati aku menuturkan segala kata-kata yang tak ingin didengar oleh seorang wanita sepertinya. Bukan kehendakku. Maafkan aku C, aku terpaksa melukakan hatimu kerana ada hati yang lebih penting untuk dijaga.

Telah ku duga, C tidak mampu menerima perkhabaran buruk itu. Malah C mengajak aku membuat satu keputusan yang gila. Dia mengajak aku berkahwin lari. Bukan setakat kahwin lari malah kahwin sambil berlari pun aku tidak sanggup. Masakan aku tega mencontengkan permanent marker ke muka orang tuaku. Pantas C menuduh aku pengecut. Tetapi sebagai seorang lelaki yang matang, aku menenangkan C.

Lama-kelamaan kemarahannya semakin mengendur dan esak tangisnya mula berganti memenuhi ruang cuping telingaku. Dalam sedu-sedan itu C juga memaklumkan bahawa yang keluarganya juga kurang bersetuju dengan pilihannya untuk berkahwin dengan aku. Memang dah ditakdirkan aku bukan untuk C dan C bukan untukku. Seakan semua pihak menentang perhubungan kami.

Maka dengan itu rasmilah berakhir perhubungan aku dengan C. Walaupun dalam hati aku masih menyimpan harapan agar kami tetap disatukan suatu hari nanti tetapi itu semua seakan mustahil untuk berlaku. Masih tersemat cinta yang amat mendalam di dalam hati ini dan aku tahu mungkin dia pun berperasaan sepertiku.

Ketika ini hanya lagu nyanyian Didy Dores dan Mayang Sari yang bertajuk 'Jangan Pisahkan' kerap mengisi halwa telingaku. Setiap kali mendengar lagu ini hatiku akan sebak mengenangkan kisah cinta kami yang terhalang. Sehinggakan kadang-kala mampu membuatkan air mata jantanku menitis setitis-dua. Gugur jua air mata jantan ni....

...Adakah kisah cinta ini sudah sampai ke penghujung??...

0 comments:

Post a Comment

Followers