Kisah 8.8 (Kisah Terakhir?)

Sengaja aku mengajak U ke Plaza Angsana sebagai destinasi pertemuan kami. Kami menuju ke Restoran Kenny Roger yang agak sesuai dan tidak terlalu padat dengan manusia. Setelah memilih tempat yang agak terpencil dan strategik, sesi perbincangan pun bemula.
            “Siapa yang nak mulakan dulu ni? Abang atau awak?”  
            “Lady first.”
            “Oklah kalau gitu biarlah saya yang bercerita dulu. Abang nak tau tak? Rupanya selama ni abah dah berkira-kira nak jodohkan saya dengan anak kawannya. Sebab tu dia tidak merestui perhubungan kita. Lepas tu, budak lelaki tu pun sama tempat study dengan saya sekarang cuma dia ambik course lain.”
            “Apa?” Seperti terbeliak biji mataku mendengar ayat-ayat itu.
Kalau tadinya aku begitu asyik mencicip ayam muda yang ¼ bahagian dipanggang terpaksa menumpukan perhatianku kepada U. Kasihan ayam panggang itu yang terhenti sejenak dari menjadi mangsaku. Atau aku yang patut dikasihankan kerana tidak dapat menikmati ayam itu dengan sepenuh hatinya lagi kerana kata-kata itu memang hampir membunuh seleraku.
            “Iya. Baru petang semalam budak tu berjumpa dengan saya semasa bersukan. Dia dah ceritakan segalanya dari A sampai Z.”
            “Oh. Macam tu rupanya. Jadi dia bersetuju ke dengan rancangan abah awak?”
            “Dia cakap dia tak kisah dan menurut sahaja kehendak kedua orang tua dia dan abah saya.”
            “Jadi?” Aku bertanya lagi sambil memandang wajah U dengan hampa dan semakin hampa memandang ayam panggang yang tidak kehabisan itu. Seleraku benar-benar telah terbunuh.
            “Soalan tu abang patut tanya pada diri abang sendiri kan?”
            “Hmmmm,” hanya keluhan itu yang mampu ku luahkan.
Jari-jemariku mula menggaru kulit kepala yang mula mencipta titik-titik kegatalan. Aku berkutu? Tidak! Barangkali kelumumur yang semakin berleluasa menjajah seluruh kulit kepalaku dengan rakus.
            “Kenapa abang diam?”
            “Saja berfikir. Abis dia tau ke selama ni kita bercouple dan selalu keluar bersama?”
            “Tau dan dia selalu perhatikan kita. Malah nombor plat kereta abang pun dia dah hafal.”
            “Sampai macam tu sekali?” Aku menggaru kepala semakin kuat kerana semakin tidak selesa dengan situasi terkini. Kenapa harus aku merasa tidak selesa? Bukankah pertemuan hari ini dimateri untuk memberikan kata putus dan menamatkan segala ikatan yang telah hampir ke penghujung?
            “Aaa. Giliran abang pulak sampaikan apa yang abang nak cakapkan.”
            “Abang just nak bagitau mak dan akak abang nasihatkan abang supaya tidak meneruskan ikatan ini.... dan abang pun sudah memikirkan sedalam-dalamnya,” aku terdiam seketika dari meneruskan kata-kata. Mencari kekuatan diri sambil melepaskan keluhan yang berat. Aku mengalihkan seketika pandangan ke luar jendela kemudian kembali menatap wajah itu yang masih sabar menanti tuturku yang seterusnya.
            “Rasanya sudah sampai masanya untuk kita menamatkan perhubungan tanpa restu ini. Bukan kerana abang tidak sayangkan awak, malah terlalu sayangkan awak. Sebab itu abang tak sanggup melihat awak memutuskan ikatan awak dengan abah awak hanya semata-mata untuk berkahwin dengan abang. Dalam hal ini biarlah abang yang berundur diri. Mungkin sudah tersurat jodoh kita hanya sampai di sini,” suaraku semakin bergetar menahan kesedihan apabila menuturkan kata-kata itu.
            “Abang yakin dengan keputusan abang ni?” Terbit nada suara U yang mempersoalkan keputusanku dengan agak bergetar.
            “Yakin atau tidak, inilah keputusan yang abang harus ambik. Ini yang terbaik untuk kita berdua.”
            “Kalau dah itu keputusan abang, saya terima dengan hati yang redha. Walaupun saya terkilan kerana abang tidak cukup kuat untuk mempertahankan cinta kita.”
            “Maafkan abang. Memang abang tidak cukup kuat untuk memutuskan ikatan antara seorang abah dan anak. Biarlah perpisahan kita ni dalam keadaan yang baik. Masing-masing tidak ada perasaan marah atau dendam. Kita dah sama-sama dewasa.”
            “Taklah bang. Saya tak tak marah pun. Apapun saya berterima kasih kerana dapat menjadi teman abang untuk seketika. Terus-terang saya perkatakan, abanglah pakwe saya yang terbaik yang pernah saya kenali.”
            Aku seperti terbau aroma pujian yang tidak selayaknya aku miliki. Baik ke aku? Kalau baik takkanlah Haji E tolak aku kan?

            Selepas sesi perbincangan dari hati ke hati itu berakhir dengan sayu, aku menghantar U kembali ke hostel. Paling aku tidak menyangka sebelum aku bertolak untuk pulang, U meminta untuk bersalaman denganku. Walhal sepanjang tempoh perhubungan kami, tidak pernah terjadi sebarang sentuhan yang disengajakan.
            “Boleh ke saya nak bersalam dengan abang? Untuk kali terakhir sebagai tanda perpisahan?”
            “Boleh ajelah,” sambil aku terus menghulurkan tangan.
            “Maafkan saya ye bang. Halalkanlah makan minum saya sepanjang perhubungan kita ni. Tentang duit abang sebanyak RM3000 yang saya pinjam tu abang jangan risau. Nanti bulan 12 saya akan bank-in dalam akaun abang.”
            “Abang pun sama mintak maaf banyak-banyak seandainya ada mengguris hati awak sepanjang perhubungan kita. Abang dah halalkan semuanya. Tentang duit tu abang tak kisah. Nanti ada duit awak bayarlah. Bila-bila pun takpe.”
            Perpisahan yang sayu. Cinta terhalang tanpa restu. Terpaksa aku mengundurkan diri walaupun berat untuk aku mengambil keputusan itu. Tiada lagi air mata untuk aku tangisi. Biarlah hati di dalam merintih terluka asalkan aku tidak melukakan dan memutuskan ikatan antara seorang anak dan ayahnya. Itulah pengorbanan cinta. Aku tidak tahu bagaimana lagi untuk aku meneruskan diari cintaku untuk seterusnya. Masihkah ada cinta untuk wanita lain? Atau haruskah aku menutup terus pintu hatiku dari menerima cinta dari wanita lain? Aku rasakan mungkin tidak. Aku masih belum belajar makna apa itu serik dan berputus asa.
            Semenjak pertemuan terakhir tempohari, memang aku tidak pernah lagi bertemu dengan U. Walaupun begitu, kami akan tetap saling berhubungan melalui SMS sekadar untuk bertanya khabar terkini tentang keadaan masing-masing. Apa yang aku diberitahu oleh U bahawa dia telah mula belajar menerima lelaki itu dan hujung tahun itu mereka akan disatukan di dalam majlis yang sederhana atas permintaan U sendiri. Tiada kenduri-kendara yang hebat dan selayaknya untuk mereka yang bergelar raja sehari.
            Aku? Terus bersendirian begini tanpa seorang insan yang digelar kekasih hati. Apa-apapun aku tidak pernah menyalahkan takdir. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Memang telah tertulis di dalam suratan bahawa antara aku dan U tiada jodoh.
            Disember 2004. U telah selamat menjadi milik lelaki itu. Aku agak terkilan kerana U tidak mengundangku ke majlis perkahwinannya. Aku hanya mendapat tahu melalui SMSnya sendiri, itupun selepas beberapa minggu dia melangsungkan perkahwinan. Tak mengapalah. Sememangnya aku tidak layak untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
            Penghujung Disember 2004, sekali lagi aku menerima kejutan. Rakan serumah yang paling akrab akan menamatkan zaman terunanya dengan gadis pilihan hatinya. Nasibku sudah jatuh ditimpa eskalator. aku akan kehilangan teman akrab tempat meluahkan perasaan, teman untuk menemani di saat duka atau gembira. Teman setia yang sudi mengikutku memancing ketika dalam keadaan tension. Maka semakin bertambah-tambah kesunyianku.
            Apalah nasib. Sudah takdir ditentukan begini. Aku yang beria-beria bercinta bagai nak rak, tak kahwin-kahwin lagi tapi kawanku yang dalam diam bercinta tup-tup akan menamatkan zaman bujangnya. Inilah sebahagian asam garam dan dugaan dalam kehidupan. Apapun aku terus memanjatkan doa kepada-Nya supaya dipertemukan jodohku dengan seorang wanita yang menepati keinginanku. Amin.......

...Berakhirlah sudah kisah 8...

0 comments:

Post a Comment

Followers