Kisah 9.6 (Aku dan Sandiwara)

Tanpa ku sedari rupanya AS mengetahui aku sedang mencuri-curi pandang wajahnya. Segera dia menoleh dan memberikan senyuman yang ditatah indah dengan hiasan lesung pipit di pipi yang jelas kelihatan walaupun di dalam kelam. Eh, lesung pipit? Baru ku sedari bahawa wajah itu mempunyai lesung pipit. Apakah kaitan aku dengan lesung pipit? Sudah semestinya lesung pipit itu mengingatkan aku kepada seseorang yang pernah aku cintai di dalam diam. Apakah sudah ditakdirkan kali ini aku mempunyai ikatan sekali lagi dengan seseorang yang mempunyai lesung pipit? Tiba-tiba getaran melanda dadaku dan degupan jantungku mula bergelora seumpama musim tengkujuh. Perasaan apakah ini? Cintakah itu?

Setelah mengetahui bahawa AS menyedari yang aku mencuri-curi pandang wajahnya di dalam kelam panggung wayang itu, aku terus menjadi pemalu dan tidak berani lagi untuk memandang wajahnya walau untuk sedetik sehinggalah cerita yang ditayangkan tamat.
“Kenapa awak tengok saya semacam aje tadi?” AS menyoalku setelah kami beriringan keluar dari panggung wayang.
“Entah? Saja rasa macam nak tengok muka awak. Salah ke?”
“Salah tu tidaklah tapi saya segan kalau orang tengok saya macam tu.”
“Nak segan apanya? Saya lagi segan sebab dah terkantoi tadi.”

Dia tersenyum sahaja mendengar jawapan yang sejujurnya dariku. Senyuman yang kembali merentap tangkai jantungku. Ah, lesung pipit itu benar-benar membuatkan aku seperti tidak keruan. Adakah aku mula sukakan AS atau hanya kepada lesung pipit miliknya? Oh hati....usahlah mempermain-mainkan perasan sendiri. Usah bersandiwara dengan naluriku.

Selama 2 hari AS berada di sini, aku cuba melayaninya selayaknya seperti tuan rumah yang melayan tetamu yang berkunjung. Segenap tempat-tempat menarik yang ada di sekitar JB telah ku bawa AS mengunjunginya. Pertemuan sesingkat ini juga telah menyuburkan lagi kemesraan antara kami. Tetapi apakan daya, masa menghambat kami kerana terlalu cemburu. Dua hari bersamanya seperti dua saat sahaja. Terlalu cepat. Lumrah apabila kita merasa seronok dengan sesuatu perkara, tidak terasa masa yang telah diluangkan bersama.

“Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama saya. Dah tu siap bawa saya berjalan-jalan kat JB ni,” ucap AS sewaktu aku menghantarnya ke stesen bas.
“Hal kecil je tu. sepatutnya saya yang ucapkan terima kasih kat awak sebab datang dari jauh semata-mata nak berjumpa dengan saya.”
“Awak tak nak balik kampung ke? Kalau awak balik boleh la kita jumpa kat sana pulak.”
“Insya-Allah nanti kalau ada cuti panjang sikit saya balik. Dah lama juga saya tak jenguk orang tua saya.”
“Oklah bas pun dah nak gerak tu. Panjang umur jumpa lagi.”

Bas yang sarat berisi penumpang perlahan-lahan bergerak meninggalkan Terminal Larkin. Aku masih terpaku di situ memerhatikan bas itu berlalu sehinggalah tidak kelihatan lagi tenggelam ditelan malam. Lambat-lambat aku mengatur kaki, beredarkan meninggalkan ribuan manusia yang sedang membanjiri terminal bas menuju ke kereta.

Termenung di dalam kereta, masih memegang stereng tanpa memulakan perjalanan. Aku seperti tidak keruan sebentar. Perasaan aneh apakah ini? Kenapa dalam keriuhan manusia itu aku terasa sunyi? Alunan muzik yang dimainkan di radio tidak ubah seperti orkestra bisu. Inikah perasaan yang telah aku rindukan? Perasaan mula menyayangi seseorang!

Akhirnya memang telah sahih lagi terbukti bahawa aku mula mendapat penyakit yang sering dihidapi oleh mereka yang sedang mabuk bercinta. Penyakit angau tanpa sebab dan tanpa rasa malu. Ke mana sahaja aku pergi, apa sahaja yang aku lakukan pasti akan terbayang wajah yang berlesung pipit itu. Paling kronik apabila ingin melepaskan hajat di tandas sekali pun aku terbayang wajahnya itu di dalam mangkuk tandas. Betapa angau tahap keterlaluan!

Apa yang harus aku lakukan? Perlukah aku meluahkan perasaan hatiku kepadanya? Tetapi bagaimana caranya? Melalui SMS? YM? Email? Surat berantai? Atau adakah melalui cara yang paling gentleman iaitu bersemuka? Tapi bila aku aku dapat bertemu lagi dengannya? Aku di sini sedangkan dia di sana? Bingung...semakin bingung. Segala pekerjaan yang ku lakukan tidak sepenuh hati lagi. Demi menyelamatkan perasaan hati sendiri dan semestinya demi menjenguk kedua ibu bapaku, setelah dipertimbangkan oleh diri sendiri maka hujung minggu itu aku telah mengambil keputusan untuk bercuti selama 4 hari untuk balik ke kampung. Semestinya orang pertama yang ku khabarkan berita itu ialah ibuku dan keduanya barulah kepada AS melalui SMS.
“Assalamualaikum awk.”
“Wslm. Pekabo?
“Baik je. Hjg minggu ni sy blk kg tau. Blh jumpa awk x?
“Blh jgk. Lgpn dh lama x jumpa kn?
“Ok nnti sy dh smpi kg kita contact lg.”

Begitulah serba sedikit SMS antara aku dan AS di dalam bahasa ringkas yang pada mulanya agak terkial-kial untuk aku fahami. Tetapi setelah sekian lama aku menjadi semakin mahir dengan bahasa SMS terkini. Maklumlah aku pernah dikutuk kawan-kawan hanya kerana ayatku yang agak penuh dan panjang di dalam SMS sehingga digelar bahasa skema. Walau pun pada mulanya aku tidak terkesan dengan gelaran itu tapi lama-kelamaan ianya membuatkan aku merasa tidak selesa. Sebab itulah aku mula mengubah gaya penulisanku di dalam SMS dengan jayanya.

“Telefon tidak. SMS pun tidak alih-alih, dah tercegat depan tangga. Apa mimpi balik ni?” Begitu indah bahasa kiasan ibu menyambut ketibaanku.
“Saje je mak. Sudah tentulah orang rindukan mak, ayah dan adik-beradik semua.”
“Berapa lama engkau balik ni?”
“Tak lama. Tiga-empat hari je.”

Sesungguhnya aku rindukan suasana kampung ini. Bau udara yang segar. Bau hanyirnya lumpur dari sawah padi. Sudah lama aku tinggalkan semenjak bergelar anak bandar. Bau air parit yang bercampur dengan lumpur adalah bau yang amat kurindukan. Aku menjadi begitu nostalgik seketika. Apabila teringatkan itu semua, memberikan aku satu idea.

Seawal jam 9 pagi AS telah sampai dengan menaiki skuternya. Sengaja aku mengajak AS untuk datang ke kampungku. Lagipun dia sendiri yang setuju. Mulanya aku menjemput AS bertandang ke rumah tapi oleh kerana dia segan maka terpaksalah aku menunggunya di jalan raya yang berhampiran.
“Susah tak awak cari kampung saya?” Aku bertanya AS sewaktu mengajaknya ke destinasi kami, iaitu kawasan tanah sawah kepunyaan ayahku yang semakin terbiar kerana tiada siapa lagi adik-beradikku yang sanggup mengerjakannya lagi. Maklumlah masing-masing sudah berkerjaya sendiri.
“Senang je. Lagipun saya dah biasa juga lalu kawasan sini dulu.”
“Betul awak tak kisah kena lumpur?” Tanyaku lagi demi kepastian.
“Alahai saya pun anak kampung jugak. Takat lintah, pacat tu dah jadi mainan saya zaman kanak-kanak.” Ujar AS dengan yakin.
Gambar Dipetik dari http://www.tripadvisor.com

“Memang minah sempoi. Dah la datang naik skuter. Ada iras tomboy pun ya jugak tapi tomboy yang cun,” suara hatiku bergema sendirian dari dalam.

Pagi itu menjadi saksi. Rumput-rumput yang masih dibasahi embun dingin pun menyaksikan seoang anak muda (eh, muda ke aku) dan seorang remaja sunti yang berusia 21 tahun meredah lumpur sawah sebagai tempat bertemu janji. Kami bersama-sama mengharungi hanyir lumpur, menyelongkar rumput-rumput menerong setebal pinggang hanya kerana untuk menikmati semula keindahan yang telah lama ku tinggalkan.

Setibanya ditengah sawah yang terbiar itu, aku lagak persis sang hero di dalam filem hindi berdiri mendepangkan tangan memejamkan mata lantas membiarkan angin nyaman itu membelai rambutku. Ku hirup udara segar aroma lumpur dan rumput-rumput segar itu dengan sepuas-puasnya sehinggakan aku lupa yang aku tidak bersendirian. Pantas aku membuka mata dan menoleh ke arah belakang, memerhatikan AS yang hanya terdiam memerhatikan tingkah-laku ku. Jelas kelihatan manik-manik peluh mula menghiasi wajah yang berlesung pipit itu. Mungkinkah aku persis orang gila pada pandangannya?

“Seronok juga sesekali macam ni kan?”
“Seronok tu memang seronok tapi habis kaki saya pedih terkena rumput-rumput yang tajam,” ucap AS sambil menunjukkan betisnya yang putih dan gebu yang telah calar-balar.
“Eh lupa nak cakap tadi kat awak. Kenapa awak singsingkan kaki seluar awak? Kan dah kena,” ngomelku seperti gaya seorang mak nenek.
“Mana ler saya tau kat sini ada rumput-rumput tajam.”
“Takpelah sikit je tu. jomlah kita duduk bawah pokok sana nak?” Aku mempelawa AS menuju ke penghujung sawah yang terdapat pohon tembusu yang rendang dan secara kebetulan sedang lebat berbunga menambahkan lagi aneka aroma yang mengasyikkan.
“Ada sesuatu yang ingin saya cakapkan,” aku memulakan bicara setelah kami mengambil tempat duduk masing-masing. Tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh. Maklumlah penduduk kampung di sini masih kuat berpegang teguh dengan budaya dan adat resam. Lagipun aku tidak mahu ada mata-mata yang memandang dan menyalahertikan kelakuan kami. Mujurlah tempat yang redup ini agak tersorok dari pandangan orang yang lalu-lalang.
“Apa dia? Tapi saya rasa saya dah tau,” selamba sahaja ucapan itu keluar dari AS.
“Eh, saya belum cakap pun awak dah tau? Hebat. Ilmu apa yang awak pakai?”
“Ini namanya ilmu alam,” seloroh AS sambil tersenyum membuatkan ada hati yang cair dan terpaku kelu seketika.
“Cakaplah apa dia? Tadi kata ada sesuatu ni senyap pulak,” terbit tutur kata yang membuatkan aku menggelabah secara tiba-tiba setelah sedari tadi aku membisu seketika kerana terpana dengan senyuman yang bisa membunuh kewarasan.
“Kalau saya katakan saya mula sukakan awak percaya tak? Kalau saya katakan yang saya sudah jatuh cinta dengan awak, boleh ke awak terima?” Ucapku dengan sedikit getaran di dada. Seakan terlepas segala bebanan yang telah kutanggung untuk beberapa hari ini.
“Awak.....saya tak tahu nak cakap macam mana. Tapi bukankah masih terlalu awal?” Ujar AS sambil memandang jauh ke tengah sawah.
“Saya tak tahu pulak untuk jatuh cinta ada istilah terlalu awal atau lambat. Tapi apa pun segalanya terserahlah kepada awak. Tiada paksaan dalam hal-hal yang melibatkan hati dan perasaan. Saya hanya luahkan apa yang saya rasa,” nadaku semakin mengendur seakan-akan berbisik di angin lalu.
“Saya faham. Tapi saya harap awak faham dengan apa yang ingin saya jelaskan. Bagi saya, ini semua masih terlalu awal. Kita hanya baru beberapa bulan berkenalan. Lagipun saya masih muda, masih ada cita-cita yang ingin dikejar,” tuturnya dengan jelas dan tegas.
“Jadi maksudnya awak menolak cinta saya?” Tanyaku lagi demi kepastian.
“Bukan menolak tapi saya masih belum bersedia.”
“Dalam erti kata lain menolak juga kan?”Nadaku semakin sayu. Terasa diriku semakin mengecil seumpama seekor semut yang penyek dipijak dengan kata-kata itu.
“Awak janganlah macam ni. Kita masih boleh jadi kawan kan?”
“Kawan? Terlalu sukar bagi saya sebab saya sudah anggap awak lebih dari seorang kawan. Mungkin ada baiknya kita anggap yang kita tidak pernah bertemu.” Mungkin kerana terlalu emosional aku mengeluarkan kata-kata itu.
“Hmmm. Sampai hati awak. Saya sebenarnya suka berkawan dengan awak.” Semakin sayu suara itu.
Sayu? Habis hati ni tidak cukup sayukah? Ditolak mentah-mentah.
“Maafkanlah saya. Mungkin ini yang terbaik untuk kita berdua,” kataku seraya tunduk memandang rumput.

Entah berapa kali lagi aku harus menghadapi kekecewaan demi kekecewaan. Mungkin sudah ditakdirkan bahawa aku dan kekecewaan ibarat aur dan tebing. Di mana aku berada di situlah kekecewaan akan mendampingiku. Kalau diikutkan hati yang sering dikecewakan, semahunya aku berputus asa dan tidak mahu lagi membabitkan diri dengan cinta atau seumpamanya lagi. Biarlah cinta datang mencari aku kerana aku sudah serik untuk mencari cinta. Tapi benarkah aku sudah serik?




...Semakin hampir...


Blogger Templates

Blogger Templates

4 comments:

zulkbo said...

syahdunya baca kisah cinta orang nie..
salam ziarah..

Markjue said...

very romantic. :)

jemmy76 said...

zulkbo: Terima kasih sudi ziarah
Markjue: thanx alot...

ejaa said...

hoho.cpat la sambung. leh wat novel ni.hehe

Post a Comment

Followers