Kisah 9.1 (Tertutup Sudah?)

Kehilangan cinta tanpa kehendak hati sememangnya satu tamparan yang membuatkan         hidupku semakin tidak keruan. Aku sebenarnya sudah letih mencari cinta yang sepertinya tiada kesudahan yang begitu membahagiakan. Apakah ini suratan ditakdirkan yang harus aku hadapi dan terus hadapi pada masa hadapan?
            Kalau dulu aku mempunyai teman untuk menghilangkan rasa bosan tetapi setelah teman baik aku berkahwin pada 1 Januari 2005, aku telah kehilangan seorang teman akrab. Tinggallah aku berdua dengan seorang lagi teman serumah yang jarang berada di rumah kerana sentiasa menghabiskan masanya dengan aweknya.
            Jadi, sebagai pengubat duka dan kesunyian, aku hanya menghabiskan masaku dengan bermain permainan komputer dan aku kembali bergiat cergas dengan arena chatting. Kalau dulu laman mIRC selalu menjadi tempat untuk aku mencari kenalan, kali ini aku mula tertarik untuk bersembang di kampungchat.net dan kampungchat.com.
            Bila berchatting sekurang-kurangnya aku mampu melupakan segala kesedihan dan mengisi kesunyian hati. Matlamat aku hanya satu, untuk mencari kenalan seramai yang mungkin tetapi bukan sebagai seorang teman istimewa. Cukuplah hanya sekadar sebagai peneman di kala aku kesunyian.
            Aku kini seperti seekor Cheetah yang bebas berlari tanpa dirantai oleh satu komitmen perhubungan yang serius. Hujung minggu aku akan memeterai blind-date dengan sesiapa sahaja yang aku kenali melalui chatting tanpa mempedulikan siapa mereka, sama ada pelajar sekolah yang berumur 15 tahun, janda dan bermacam-macam lagi. Terlalu ramai untuk aku ingati satu persatu.
            Antara kenalan yang aku temui seorang pelajar tingkatan 6 di sebuah sekolah yang berada di Kota Tinggi yang bernama N. Pertemuan berlangsung di Bandar Kota Tinggi. Setelah mengenal pasti N yang sedang menunggu di Plaza Kota, aku terus mempelawanya menaiki keretaku untuk bersiar-siar ke Desaru. Sepanjang perjalanan kami mula berbual-bual.
            “Berani jugak awak nak keluar dengan orang yang tak dikenali ek? Baru beberapa hari chatting je awak dah sanggup keluar dengan saya. Tak takut ke saya culik awak ke apa ke?”
            “Alaa saya percaya abang bukan orang macam tu. Sebab masa chat hari tu abang ni macam orang baik je. Tak pernah merepek yang bukan-bukan. Tak macam chatters lain yang mula-mula chat je dah start merepek dan mencarut.”
            “Mana awak tau saya ni baik? Entah-entah saya ni lagi teruk dari itu kot?”
            “Terpulanglah tapi saya tetap percayakan naluri saya yang abang ni orang baik-baik.”
            “Awak selalu ke chat?”
            “Selalu jugak. Abang pulak?”
            “Nak kata selalu sangat tu taklah, saja-saja hilangkan boring. Habis awak biasa keluar dengan member chatting?”
            “Kadang-kadang je. Tapi ada jugak yang saya jumpa tak senonoh, baru first jumpa dah nak pegang-pegang.”
            “Awak tak kisah ke bertemu dengan orang tua macam saya ni?”
            “Saya tak kisah pun itu semua. Apa yang penting niat dia ikhlas nak berkawan.”
            Setelah hampir tiba ke destinasi tiba-tiba aku memberhentikan keretaku di bahu jalan. Kemudian aku berpatah balik menuju ke arah pantai yang lain. Aku terlupa yang aku telah tiba ke tempat yang penuh dengan kenangan antara aku dan U. Aku tidak mahu kenangan itu datang kembali merobek ketenangan kolam hatiku sekarang.
            “Eh, kenapa abang patah balik? Tadi cakap nak pergi pantai?”
            “Tak maulah kat pantai tu tak best. Kita pergi ke Pantai Batu Layar ajelah.”
            “Kenapa pulak?”
            “Nantilah cerita, panjang kisahnya.”

            Hampir setengah perjalanan, kami pun tiba ke Pantai Batu Layar. Tanpa membuang masa kami terus beriringan menuju ke tepian pantai.
            “Ceritalah kenapa abang tak jadi nak pergi ke pantai tadi?” Pertanyaan itu yang keluar dari N setelah kami duduk di atas pasir pantai.
            “Tempat tu terlalu banyak memberikan saya kenangan dengan seseorang yang pernah saya sayang. Jadi saya tak sanggup kembali ke situ. Takut kenangan lama kembali menghantui hati.”
            “Oh, begitu kisahnya. Habis kenapa abang tak cari je pengganti dan terus kahwin?”
            “Erk kahwin? Mana awak tau yang saya belum kawin?”
            “Eleh, kan masa chatting hari tu abang cakap belum kahwin.”
“Saya sebenarnya baru lepas kecewa. Cinta saya terhalang. Sebab itulah saya masih belum kahwin. Pantai tadi tu banyak memberikan kenangan. Sebab tu saya tak pergi sana tadi,” aku berkata-kata sambil memandang N yang agak tinggi, berkulit cerah dan badannya agak berisi. Sekali imbas memang tak disangka empunya diri baru berusia 18 tahun tetapi kalau dua kali imbas memang akan nampak ciri-ciri wajahnya masih muda remaja.
            “Habis tu abang tak nak cari pengganti?”
            “Pengganti? Entahlah. Sepertinya pintu hati saya masih tertutup. Terus-terang saya perkatakan bahawa sukar untuk saya menerima mana-mana wanita lagi sebagai teman istimewa buat masa sekarang. Kalau ada pun mungkin hanya sekadar kawan biasa pengisi kesunyian.”
            “Oh macam tu.”
            “Dah lah cerita pasal benda lain pulak.”
            Agak lama juga kami duduk di atas pasir pantai sambil berbual-bual dan menikmati makanan ringan serta minuman sehingga matahari semakin terasa bahangnya.
            “Jom saya hantarkan awak balik rumah.”
            “Eh, tak payahlah susah-susah bang. Hantarkan saya tepi jalan besar dekat stesen minyak tu aje dahlah. Lain kali ajelah ok?”
            Lain kali? Mungkinkah ada pertemuan lain kali dengan N?
            “Betul ni awak tak nak saya hantarkan sampai rumah?” Tanyaku sewaktu keretaku berhenti di tepi jalan berhampiran stesen minyak yang dimaksudkan oleh N tadi.
            “Takpe. Lain kali aje.”
            “Oklah kalau gitu, terima kasih kerana sudi keluar dengan orang tua seperti saya. Ada masa insya-Allah kita jumpa lagi,” kataku sekadar berbahasa.
            “Sama-sama. Insya-Allah jumpa lagi.”
            Keretaku laju meninggalkan N di tepi jalan berhampiran stesen minyak itu. Aku tidak pasti akan adakah pertemuan selepas ini? Dalam keadaan diri yang masih tidak menentu ini, apa-apa kemungkinan boleh terjadi.
            Sebaik keretaku tiba ke rumah sewa, aku menerima satu SMS dari N yang mengucapkan terima kasih dan melahirkan perasaan seronoknya kerana dapat keluar denganku. Aku yang masih kepenatan hanya membalas SMS itu dengan ringkas.

            Seminggu selepas bertemu N, kali ini aku melakar temu janji dengan G, seorang pelajar di Politeknik yang berumur 21 tahun. Orangnya agak kecil molek, berkulit cerah. Pertemuan diatur di sebuah pusat membeli-belah yang terletak di Skudai. Aku hanya meminta G terus datang ke keretaku setelah tiba di sana.
            “Awak Jemmy kan?” Sapanya setelah membuka pintu keretaku.
            “Iye saya. Awak G kan?”
            “Aaa. Selamat berkenalan,” sambil G menghulurkan tangannya setelah melabuhkan punggungnya ke seat kereta.
Aku tanpa ragu-ragu terus menyambut salam perkenalan darinya.
            ”So, kita nak ke mana?” Tanyaku.
            “Kita lunch dulu, lepas tu kita pergi mandi air terjun nak?”
            “Mandi air terjun? Tapi saya tak bawak pakaian mandi pun. Minggu depan ajelah kita pergi ok?” Kataku menolak permintaan G.
Aku sebenarnya malas nak balik ke rumah semata-mata untuk mengambil pakaian mandi. Lagipun macam tak logik jer baru jumpa terus ajak mandi air terjun. Nanti tak pasal-pasal takut aku pulak yang terjun tiruk tengok G mandi. Maklumlah kalau dah berendam dalam air ni sendiri mau ingatlah...
            “Kalau macam tu minggu depan janji ok?” Tuntut G dengan nada suara yang manja mengalahkan anak bongsu dan bisa mencairkan mana-mana lelaki pun.
            “Iyelah saya janji,” kataku menyedapkan hati G.
            “Boleh tahan jugak manjanya dia ni,” kataku kepada diri sendiri di dalam hati.
            Setelah berjaya mengenyangkan diri sendiri dan juga G dengan hidangan ayam goreng KFC, kami berjalan-jalan seketika di persekitaran pusat membeli-belah tersebut. Tetapi aku cukup terkejut apabila sepanjang berjalan-jalan dengannya, G tanpa segan-silu merangkul lenganku ibarat aku ini seperti kekasihnya. Siapalah aku untuk memarahi atau menghalang tindakan G itu. Lebih-lebih lagi kalau lengan yang memautku itu lengan wanita yang selembut sutera dan sewangi haruman bunga walaupun agak janggal kerana baru pertama kali bertemu. Anehnya kan manusia sekarang? Cukup berani walaupun masih baru berkenalan...

1 comments:

MisS Cinta_ati said...

huhuh
nice intry..
aper2 pon saye doakan dapat teman yg awk idam2 kn..
:)

Post a Comment

Followers