Kisah 5.10 (Aku Yang Kecewa)

Aku sendiri tidak mengerti kenapa aku terlalu mudah untuk jatuh cinta dan terlalu mudah untuk melafazkan kata-kata cinta dan sayang. Apa yang aku tahu aku tidak mampu untuk menolak cinta dan tidak mampu untuk menolak sesiapa sahaja yang mampu membuatkan aku menerima kehadirannya. (sekali lagi ayat cover line dari seorang pencinta wanita kononnya).

Cuti kali ni aku telah merancang untuk pergi ke Serdang bertemu SZ dan ke Shah Alam untuk bertemu dengan J. Kebetulan kawan-kawan rumah sewa masa aku study dulu pun masih stay kat rumah tu, jadi tiada masalah sangat bagi aku untuk menumpang. Di Shah Alam pun kawan aku dah sedia menanti bila-bila masa sahaja aku nak ke sana.

Saat yang dinanti pun tiba. Aku tiba di stesen bas Perhentian Putra. Ini kerana aku terlebih dahulu balik bercuti ke kampungku. Sesudah turun dari bas ekpres aku terus menuju ke stesen komuter. Sampai di hentian Serdang, kawan aku sudah pun terpacak menanti dengan kereta Proton Iswaranya.

Pagi keesokkan harinya, seawal jam 9.00 aku dengan muka tak tahu malu meminjam motorsikal kawan aku dan terus merayau-rayau dulu di sekitar kawasan Serdang. Maklumlah dah lama merindui kawasan yang menjadi tempat permainanku dulu. Aku berjanji untuk bertemu dengan SZ pun pada pukul 11.00 di KFC. Masa yang terluang itu aku gunakan sepenuhnya untuk mengimbau kembali tempat-tempat yang selalu aku singgah dulu-dulu sewaktu masih bergelar mahasiswa. Tepat jam 11.00 aku terus menuju ke KFC. Dari kejauhan aku ternampak kelibat SZ sedang menanti kedatanganku.

"Assalamualaikum." Aku memberikan salam dengan gaya bersopan-santun seperti anak dara yang baru menerima lamaran dari lelaki pujaannya.
“Waalaikumussalam,” sambil menjawab salam, SZ memandang aku tanpa berkelip-kelip. Aku diburu perasaan kehairanan. Lantas aku tergaru-garu kepala yang kegatalan secara tiba-tiba seperti ada seribu ekor kutu sedang berpesta menghisap darahku.

"Ini Jemmy ke?" Soal SZ seperti tidak percaya bahawa ini adalah aku.
"Iyalah saya. Kenapa? Ada yang pelik ke?" Soalku mula terasa semacam, seperti ada yang tidak kena dengan penampilanku.
"Isyk, awak ni dah nampak lain sangat. Dah berubah dan lebih kemas. Rambut pun dah potong pendek ek?" Kata SZ yang aku tak pasti sama ada berupa pujian ataupun sindiran.
"Iyalah dulu zaman ganas. Sekarang dah lain. Saya dah berkerja, takkanlah masih nak serabai lagi macam zaman study," tuturku sejujurnya.

Perbualan itu diteruskan sehinggalah kami mengadap hidangan ayam goreng KFC set snack plate berperisa hot and spicy dengan sopan santunnya kerana masing-masing masih terasa kekok. Maklumlah sudah agak lama tidak bersua muka. Terlalu banyak yang ingin dibualkan. Mengimbau kenangan bersama semasa praktikal dan macam-macam lagi. Hampir 2 jam berbual. Sebelum menamatkan pertemuan itu aku sebenarnya dah berazam untuk meluahkan apa yang aku rasa selama ni dengan cara yang paling gentleman kononnya.

"Sebenarnya ada sesuatu yang ingin saya ucapkan,” kataku sambil berhenti sejenak untuk mengatur kekuatan dalam diri.
“Tapi sebelum itu, saya berharap sangat-sangat supaya awak tidak marah atau bencikan saya selepas mendengar apa yang saya ucapkan ini," kataku mengatur ayat dengan serapinya supaya tidak tersilap cakap.
"Walau apa pun keputusan awak, saya terima dengan redha dan saya berharap kita akan terus menjadi sahabat baik," sambungku lagi dengan sedikit gementar.
"Ok teruskan. Saya bersedia mendengarnya," balas SZ dengan raut muka yang sepertinya telah memahami apa yang ingin aku luahkan.

"Sejak pertama kali melihat awak, saya sebenarnya sudah suka kat awak. Sudah lama saya teringin menjadikan awak sebagai teman hidup saya. Tapi saya pendamkan begitu lama kerana saya segan dan saya sedar siapa diri saya ni. Cukup tak layak untuk digandingkan dengan awak,” aku berkata sambil mengatur kembali pernafasan dan menawal getaran di sanubari.
“Lagipun dulu awak pernah cakap masa zaman study, awak belum bersedia untuk memikirkan soal cinta. Tapi rasa saya sudah tidak mampu lagi untuk pendamkan perasaan saya. Tak kiralah apa jua keputusan awak, saya akan terima dan saya berharap awak pun tidak akan memutuskan persahabatan kita ini andainya awak tidak suka dengan apa yang saya perkatakan ini," Ujarku dengan panjang lebar sambil memandang mukanya dengan pandangan malu-malu biawak. Terasa satu kelegaan menyelinap ke segenap urat sarafku setelah berjaya meluahkan apa yang telah terbuku di hati selama ini.

"Saya faham. Sebenarnya dari dulu lagi saya sudah tau yang awak ada menyimpan perasaan ni kat saya. Dari air muka awak, dari cara awak melayan saya dan dari gaya awak memandang saya sememangnya saya dah dapat tangkap. Seperti apa yang saya perkatakan dulu, memang saya belum bersedia untuk memikirkan soal cinta masa study dulu. Memandangkan sekarang awak pun dah kerja, dan saya pun dah pernah kerja dan sekarang hampir menamatkan Master, jadi eloklah saya berterus-terang biar segalanya menjadi jelas,” terang SZ sambil berhenti seketika.

“Terlebih dahulu saya pun ingin memohon maaf daripada awak seandainya apa yang saya perkatakan ini mengecewakan awak," ucap SZ dengan perlahan-lahan menyambung kembali kata-katanya sambil menundukkan muka. Aku pun sudah tidak mampu memandang wajahnya lagi.

"Sebenarnya hati saya sudah dimiliki oleh seseorang semenjak saya mula berkerja di JB dulu. Walaupun dia memang tidak setaraf dengan awak atau dengan saya dari segi pendidikan, tapi sifat yang dia ada tu buat saya cukup sayangkan dia. Maafkan saya," kata-kata yang keluar dari mulut SZ buat aku terpana seketika dan terasa seperti diriku tersungkur dan hancur lunyai dipijak seumpama dilanggar beribu ekor cipan yang berlari berkejaran mengejar matahari senja. Aku tidak mampu lagi untuk berkata-kata buat seketika.

"Seperti kata awak, saya harap persahabatan kita takkan terputus dengan peristiwa hari ni sebab saya memang suka bersahabat dengan awak dan saya sayangkan persahabatan yang telah terjalin antara kita. Malah sesiapa yg dapat awak memang beruntung," sambung SZ lagi seperti memberikan gol saguhati di minit-minit kecederaan dalam permainan bola sepak buat aku yang menerima sedikit cahaya pujian setelah kegelapan kerana kecewa.


Begitulah kisah pertemuan terakhir di antara aku dan SZ yang berakhir dengan penuh kekecewaan untuk aku. Pertama kali dalam hidup, hasrat dan cinta aku telah dikecewakan setelah sekian lama aku memendamkan perasaan ini.

Tapi sekurang-kurangnya aku lega dan puas hati setelah meluahkannya. jawapan yang aku cari selama ini telah pun aku perolehi walaupun jawapan yang yang diterima meluluhkan jiwa dan raga seorang lelaki seperti aku. Tapi tak mengapa. Esok aku ada pertemuan dengan J pulak kat Shah Alam. Jadi, kenapa harus kecewa? Hidup harus diteruskan. Kali ini macam mana pulak kisah pertemuan aku dengan J?

...Masa untuk aku berehat mengubat duka kekecewaan...

0 comments:

Post a Comment

Followers