Hidup di dunia adalah perjalanan sementara kita untuk menuju ke alam yang kekal. Segalanya sudah ketentuan Illahi. Kita yang harus berwaspada membuat pertimbangan dalam memilih jalan dan hala tuju hidup kita (Eh, aku ni dah nak jadi sasterawan ke asyik serius aje semenjak 2-3 siri ni?)
Pertemuan, perpisahan, percintaan dan kegagalan sudah menjadi lumrah dalam diari hidup seorang naga seperti aku. Setelah kisah percintaan antara aku dengan D terpaksa aku tamatkan sendiri kerana aku tidak mampu untuk menyintainya maka aku meneruskan perjalanan hidupku dengan bertemankan kesunyian.
Terbentang luas hamparan bumi terasa kosongnya hidup tanpa seseorang yang bergelar kekasih hati menjadi teman. Terpandang berjuta bintang di langit hanya dapat ku rasa keindahan fizikal tanpa jiwa. Ibarat hujan tanpa seruan katak. Umpama api menyala tiada asap.
Inikah suratan? Atau hanya sekadar kebetulan? Tanpa ku duga, si cantik manis tinggi bergaya, berkulit cerah dan berlesung pipit yang menyempurnakan lagi wajah ayu ciptaan Allah iaitu CS yang pernah menjalani latihan praktikal di tempat kerjaku dulu rupanya telah menjadi pekerja tetap di sini.
Aduh, ku impikan ulam pegaga, rupanya raja segala ulam telah mendatang. Ku basuh dengan sesuci embun pagi lalu ku cicah dengan sambal belacan menjadi pembuka selera, penambah perisa. Alangkah gembiranya andai itu menjadi milikku. Bukan setakat jejaka bujang malah suami orang pun takkan melepaskan pandangan andai bersua muka dengan CS. Sungguh ayu. Lesung pipit di pipi. Ayu sangat. Sepertinya aku telah diserang penyakit angau tahap tertinggi.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, kemudian dialas tilam empuk dan dibaluti selimut tebal, kehadiran CS di tempat kerjaku telah menambahkan keceriaan dalam hidupku. Sehinggakan bunga tahi ayam itupun bagiku tetap wangi seperti wangian setanggi pembakar cinta malam. Makin bertambah semangat apabila dia menjadi Bendahari manakala aku sendiri menjadi Setiausaha di dalam satu organisasi di tempat kerja kami. Kelangsungan itu mencipta ruang dan peluang untuk kami menjadi lebih akrab dan menjalin persahabatan.
Mulanya aku masih seperti malu-malu ayam serama apabila berhadapan dengan CS. Maklumlah, di dalam jiwa aku ni masih terkumpul sisa-sisa sifat pemalu seorang teruna sunti yang tinggi lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan seorang wanita yang benar-benar cantik. Malah aku terasa betapa rendahnya diri aku bila berhadapan dengan CS walaupun hakikatnya ketinggian aku melebih dia sebanyak 6cm.
Aku akui malah memang tidak dinafikan kecantikan CS menjadi buah mulut dan pujian para lelaki yang berada di tempat aku bekerja. Malah ada beberapa orang kawan sekerja yang saling mencabar untuk menguji kejantanan masing-masing dengan memikat CS.
Aku? Berani ke aku untuk cuba mengurat CS? Usahkan kata nak mengurat, nak minta nombor telefon pun aku masih terkial-kial dan segan-segan unta. Malah unta padang pasir pun tidak sesegan aku barangkali?
Tetapi kata orang-orang tua, barangkali takdir akan sesekali menyebelahi kita. Pada suatu hari, ketika aku tengah sibuk dengan kerja, tiba-tiba CS datang menghampiri mejaku.
“Eh, apa mimpi pulak tiba-tiba datang cari saya ni?” Soalku pada CS yang tanpa segan silu terus duduk menghadap mejaku.
“Komputer saya kat rumah ada masalah, hari tu dah pi hantar kedai tapi tak ok jugak. Akak kat bilik sebelah tu cakap awak ni pandai baiki komputer. Betul ke?”
“Alah nak kata pandai sangat tu takdelah. Boleh la sikit-sikit.” Aku dengan muka berlagak cool cuba merendah diri. Dalam hati bukan main berdegup kencang lagi jantungku kerana berhadapan si cantik dengan bau-bauan yang sungguh wangi.
“Sebab tu saya datang jumpa awak ni. Kalau boleh saya nak minta tolong awak repair komputer saya boleh?” Wajah yang cantik itu bersuara dengan alunan irama yang merdu. Kalaulah orangnya dah cantik, segalanya yang ada padanya semuanya menjadi cantik. Malah suaranya pun aku dengar terlalu merdu dan cantik mengalahkan suara penyanyi-penyanyi yang ada kat Malaysia ni.
“Isyk pandai-pandai pulak akak kat bilik sebelah tu cakap aku pandai baiki komputer,” ngomelku sendirian di dalam hati tapi sebenarnya aku keriangan. Kenapa aku gembira dan keriangan sampai begitu sekali?
...Aku mencabar diri sendiri dengan membuat sambungan...
0 comments:
Post a Comment