Kisah 6.4 (Cinta Mee Segera I)



Haruskah aku mengikut nasihat bernas yang diberikan oleh teman serumahku? Kalau aku ikut bermakna aku telah melanggar prinsipku lagi. Bukankah aku yang selama ni tidak mahu menjilat kembali ludahku? Kadang-kadang api dendam kesumat boleh menghadirkan satu bisikan yang boleh menjerumuskan manusia ke lembah yang hina.

Aku? Harus mendengar bisikan dendam kesumat? Tidak! Aku masih waras. Aku tidak mampu untuk mengeruhkan lagi keadaan dan suasana. Yang berlalu biarkanlah berlalu. Biarlah cinta yang berakhir itu putus untuk selamanya. Akan ku hanyutkan tali ikatan yang pernah mengikat kami lepas ke lautan sepi!

Maka selaku manusia yang masih berpegang pada adat dan ajaran orang tuaku, tidak ku turuti nasihat kawan serumahku. Malah aku telah menghubungi FF melalui SMS menyatakan bahawa walau mati hidup balik pun aku takkan meneruskan kembali ikatan kami. Segalanya sudah lama berakhir. Maka terus ku patahkan tanduk bercabang yang cuba keluar dan menggoda aku supaya melakukan seperti apa yang dikemukakan olah teman serumahku. Biar muka tak lawa asal kita jangan busuk hati.

Setelah seminggu berlalu, SMS dari FF pun tidak lagi datang menggangguku. Aku sekarang hanya rancak berhubungan melalui SMS dengan U. Tapi entah mengapa aku masih sukar membuang tabiatku yang suka chatting di waktu lapang. Selalu aku menyelinap masuk ke ruangan sembang mIRC. Niatku hanya satu, meluangkan masa lapang dan juga mengisi kebosanan terutamanya di hari minggu.

Entah mengapa kali ini aku tertarik untuk berkenalan dengan lebih rapat dengan D. Kami menyambung hubungan tersebut melalui Yahoo Messenger atau YM. Agaknya aku ni dah dapat penyakit yang dikenali sebagai sindrom suka berkenalan dengan orang melalui alam siber sahaja kot? D berada di sebuah bandar di Negeri Sembilan. Boleh dikatakan tiap-tiap hari kami akan berhubungan melalui YM.

Perhubungan aku dengan U masih lagi berjalan seperti biasa. Walaupun kami sudah lama berkenalan tetapi hanya sekadar menjadi teman. Malah antara aku dan dia tiada siapa pun yang pernah meluahkan perasaan atau menjurus ke arah itu. Jadi, secara matematik campur geografinya aku masih lagi single. Sejak kejadian dulu, aku dah nekad tidak akan cuba untuk mempunyai ramai awek lagi. Biarlah aku setia pada yang satu.Tapi boleh ke kata-kata seorang naga seperti aku ini dipercayai? Aku sendiri pun kadang-kadang tidak percaya dengan diri sendiri!

Maka berterusan aku dengan dunia persahabatan siber. Cuma kalau dulu aku suka berkenalan dengan ramai gadis termasuk juga jantan haprak yang menyamar jadi gadis tetapi kini aku cuba untuk lebih setia dan fokus dengan satu hubungan sahaja. Kini hubungan alam siberku hanya dengan D.

Boleh dikatakan hampir setiap malam aku akan YM dengannya, manakala dengan U pula aku masih berhubungan melalui telefon dan SMS. Cuma D agak liat kerana dia langsung tidak mahu memberikan nombor telefonnya kepada aku. Katanya cukuplah kalau berhubungan melalui YM. Apa aku kisah itu semua. Lagipun hanya sekadar berkawan malah aku belum pulih sepenuhnya untuk menjalinkan cinta sekali lagi. Luka lama masih berparut. Kalaulah parut cinta itu boleh dilihat dengan mata kasar, maka di muka yang tak berapa hensem hatta tak semanis gula-gula ini penuh dengan parut kesan cinta lama!

Cinta itu antara anugerah Illahi yang terindah. Sukar untuk dimengertikan dan terlalu misteri untuk diterokai. Walaupun kita mengejarnya, tetapi semakin jauh ia berlari meninggalkan kita. Malah ada ketikanya ia akan hadir sendiri tanpa diundang dengan kad jemputan. Namun begitu cinta tetap mengundang rasa ingin tahu bagi setiap manusia untuk menerokai keajaibannya dan merasai nikmatnya sendiri.

Mungkin aku tidak menyedari malah jauh sekali untuk berperasaan (kalau perasan tu memang sah) ingin menikmati semula cinta yang telah lama berlalu dan menyakitkan yang pernah aku alami sebelum ini. Tetapi kemungkinan cinta akan datang memburu kita walaupun kita langsung tidak ingin ia hadir.

Begitulah keadaan yang ingin aku kaitkan antara perhubungan aku dengan D. Malah aku tidak menyangka bahawa D begitu cepat meluahkan rasa cintanya kepadaku walaupun masih terlalu singkat usia perkenalan kami. Malah aku tidak pernah menunjukkan foto aku apatah lagi bertemunya bertentang mata.

Inikah yang dikatakan cinta mee segera? Agak merbahaya cinta mee segera ni sebab kalau rendam tak cukup masa nanti mee terlalu keras, tentu rasanya kurang sedap. Tetapi kalau rendam terlebih lama nanti mee pulak dah kembang malah boleh membuatkan tekak orang yang memakannya kembang terseksa untuk menghabiskan mee segera yang kembang.

Seminggu aku memikirkan apakah aku perlu menerima luahan rasa dari D yang mahu menjalinkan hubungan cinta denganku. Memang kalau diikutkan hati yang sunyi, sudah pasti aku akan menerima luahan cinta D walaupun belum cukup mengenalinya malah kami belum pun bertemu.

Aku meminta D memberikan aku sedikit masa untuk memikirkan sedalam-dalamnya. D memenuhi permintaan aku dan tidak terlalu mendesak aku untuk menerimanya. Dalam pada itu, D telah mengirimkan sekeping fotonya melalui YM untuk aku tatapi dan membuat keputusan. Sebaliknya aku masih belum memberikan fotoku malah aku pernah memberitahu D bahawa aku ni tidak ada rupa paras yang menarik. Walaupun begitu D tetap bersungguh-sungguh mahu bercinta denganku dan tak kisah walau macam mana sekalipun rupa paras aku. Haruskah aku menerima cinta D? Arghh dilema melanda diri....



...Memang Bersambung...

0 comments:

Post a Comment

Followers