Kisah 5.15 (Naluri Seorang Lelaki)

TAHUN BERDUKA! Memang itulah selayaknya gelaran yang aku berikan untuk tahun tersebut kerana aku kehilangan banyak cinta di dalam masa yang terdekat. Satu persatu wanita yang pernah hadir dalam hidupku pergi meninggalkanku di atas kehendak mereka sendiri dan ada yang pergi kerana halangan dari keluarga.

Reputasi aku selama ini teruk tercalar. Ibarat kertas pembalut hadiah yang tidak berguna lagi. Lepas cantik menghiasi hadiah, aku dikoyakkan, direnyuk malah dicampak dalam longkang sehinggakan longkang pun sudah tidak sudi menerimaku lantas aku dihanyutkan ke sungai yang mengalir lesu dan tersekat-sekat dengan lumpur dan sampah sarap kemajuan termasuk sekali sampah masyarakat yang terdampar kerana dadah!

Nampaknya nasib malangku yang ditinggalkan awek berterusan. Aku hanya ada FF sahaja dalam hidupku sekarang. Kalau dulu ada 4, sekarang yang tinggal hanyalah dia seorang. Itu pun dikira ok juga kerana selepas ini, bolehlah aku memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap FF. Malah aku akan menatangnya seperti menatang minyak yang penuh. Segala kasih dan sayang telah aku curahkan hanya untuk FF seorang.

Walaupun dulu hidupku ceria disinari dengan 4 cahaya lampu minyak tanah selama ni, tetapi akhirnya semua cahaya tersebut telah padam satu persatu sehingga yang tinggal hanya satu pelita yang cahayanya mula menampakkan kesuraman. Hidup segan, mati tak mahu!


Kenapa aku berkata sedemikian rupa? Ya, naluri seorang lelaki milikku telah mula membisikkan bahawa FF mula berubah. Tindak-tanduknya mula berlainan seakan ingin menjauhiku. Aku mula mendapati bahawa FF semakin jarang menghubungiku. Kalau dulu seminggu sekali, kali ini semakin berkurangan. Setiap kali aku telefon memang dia sering tiada di rumah. (Aku agak mesti dia menggunakan taktik macam di dalam cerita P. Ramlee, di mana Pak Belalang menyuruh anaknya memberitahu penghulu yang dia tiada di rumah).

Tapi tak mengapalah. Aku masih mampu bersabar. Kebangangan aku opss, kebengangan aku sudah sampai ke tahap maksima apabila sudah sebulan dia tidak menelefonku. Kali ni aku dah nekad. Tanpa ragu-ragu, aku akan call FF untuk meminta kepastian tentang status perhubungan kami.

Seperti biasa aku menelefon nombor rumahnya dan kali ni seperti biasa adiknya lagi yang menjawab panggilanku. Seperti biasa juga tanpa rasa malu adiknya memaklumkan kepadaku yang akaknya tiada di rumah dan kini berada di rumah atuknya di Melaka. Aku dah bengang tahap Naga Merah kena sabotaj dek Ratu Seribu Tahun di dalam Komik Dewata Raya itu pun terus meninggalkan pesan kepada adiknya.
“Cakap kat akak, abang Jemmy telefon dan suruh akak telefon abang semula. Ada hal mustahak yang nak dibincangkan. Soal hidup dan mati.”Tanpa berbasa-basi lagi aku memberikan salam dan terus menghentikan perbualan telefon itu. Darah jantanku sudah semakin mendidih dan mula hilang sabar…….

“Tolong call kejap.” Tiba-tiba aku mendapat satu mesej dari nombor handphone yang aku langsung tidak tahu siapa pemiliknya. Dengan perasan ingin tahu aku pun terus call nombor tersebut.
“Hello siapa ni?” Tanyaku apabila panggilan ku terus dijawab oleh suara seorang awek yang aku rasa agak familiar dengan suaranya.
“Saya la ni bang.” Jawab suara tersebut, dan aku secepat rama-rama terus dapat menangkap siapa yang empunya suara tesebut. Ooo, rupanya FF.
“Kenapa tak bagitau abang yang awak dah pakai handphone sekarang? Dah tu kenapa dah tak nak call abang lagi? Kalau dah tak suka kat abang, berterus-terang ajelah. Abang tak marah malah abang akan terima dengan hati yang terbuka andainya awak dah ada orang lain.” Sambungku lagi.

Pertanyaan-pertanyaan aku itu dijawab dengan suasana yang sunyi sepi dari FF atau dalam erti kata yang lain dia tak menjawab pertanyaanku Cuma terdiam membisu seribu bahasa. Kemudian dengan lambat-lambat dia bersuara.
“Abang, maafkan saya. Bukan niat saya untuk melukakan hati abang, tapi boleh tak kita meneruskan hubungan kita ni hanya sebagai kawan?” Tutur FF yang telah menyentap denyut nadiku untuk selama 0.0001 saat.

Isyk, bala apakah lagi yang melanda kali ni. Segala cinta yang aku bina selama ini telah hancur berkecai seumpama gelas kaca yang dilempar dari tingkat 80 KLCC jatuh terhempas ke atas lantai simen, hancur berderai. Terasa hinanya diri ini apabila cinta telah beralih kepada hanya seorang kawan?

Seumpama diriku ni seperti seekor anak kucing semasa tengah comel dibelai manja, diusap-usap tetapi apabila berkurap aku mula disepak terajang malah dismack-down dengan hinanya. Tidak cukup dengan itu, lalu dicukur kesemua bulunya sehingga togel. Terus mayatku dibuang ke dalam semak. Alangkah hinanya diriku dilayan seperti itu.

“Kenapa awak tak ambik pisau, lepas tu tikam je abang sepuas-puasnya?” Jawab aku dengan sedikit emosi.
“Sungguh abang tak sangka begini permintaan awak. Ini balasan yang abang terima. Abang tak sanggup menjatuhkan harga diri abang dengan menukar hubungan kita ni dari sepasang kekasih menjadi sahabat. Terima kasih ajelah dan semoga berbahagia dengan jalan pilihan awak ni.” Aku terus menamatkan panggilan tersebut dengan perasaan yang sangat sakit.

Ibarat luka yang diperah dengan limau nipis dan ditabur garam sekaligus. Aku benar-benar terpukul malah tidak menyangka sama sekali begini balasan yang aku harus terima kerana tidak setia dengan satu cinta.
Selang beberapa minit, bertalu-talu FF membuat panggilan ke telefonku. Aku hanya mendiamkan diri dan hanya membiarkan telefon itu berbunyi. Selepas itu bertalu-talu pulak bunyi SMS masuk. Dengan perasaan yang bengang aku pun buat bodoh aje dengan SMS tersebut. Dek mula kebosanan kerana tak henti-henti SMS masuk aku mula membaca SMS dari FF yang berulang-kali meminta maaf dan meminta aku menjawab panggilan dia.

“Pergi jahanam ler.” Jawabku dalam hati dengan amarah yang masih terbuku. Lantas aku pun terus offkan handphone. Tanpa membuang masa aku membaringkan diri ke katil bujangku. Memandang kosong ke siling dan menanti mata untuk terlelap… ZZZZ....

0 comments:

Post a Comment

Followers