Kisah 6.7 (Cinta Mee Segera IV)

Kejamkah aku andainya aku memutuskan ikatan percintaan hanya melalui SMS? Barangkali ramai orang yang akan marahkan aku atau salahkan aku kerana sepertinya aku terlalu kejam. Tetapi realitinya aku sudah tidak mampu untuk menipu diriku sendiri. Aku sudah tidak mampu menyintai D. Malah rasanya aku telah gagal untuk belajar menyintainya kerana aku terasa sangat seperti aku terlalu memaksa diri. Ibarat orang yang sudah terlalu kenyang kalau disuapkan lagi seperiuk nasi secara paksaan sudah tentu akan muntah semua sekali.


Bukan mudah untuk memupuk cinta. Kalau dulu bagi aku cinta itu terlalu mudah tapi semenjak kejadian dikecewakan dalam masa yang hampir sama, aku terlalu sukar untuk mempercayai cinta. Malah aku memang dari awal lagi telah memaksa diri sendiri untuk menerima dan belajar menyintai D. Tetapi lantaran sikap D yang mendesak dan cemburu keterlaluan membuatkan hati aku semakin hari semakin tawar setawar air suam tidak bergula. Nampaknya konsep cinta boleh dipupuk, disemai dan dibajai yang aku cuba sematkan di dalam hati semakin layu malah terus gugur di pertengahan musim.

Setelah menerima SMS dari aku yang meminta untuk memutuskan ikatan, D bertalu-talu merayu melalui SMS meminta aku memikirkan masak-masak tentang keputusan aku itu. Malah dia terus menghubungi aku meminta aku menerangkan kedudukan perkara sebenar. Memang aku yang tersilap kerana telah melukai hati dia. Tetapi aku terpaksa kerana aku tidak mahu hatinya terluka semakin parah kalau aku berterusan menipu menyintai dia.

Jadi sebelum keadaan menjadi semakin teruk, biarlah aku hentikan dulu segalanya. Dia masih tidak mampu menerima keputusan aku. D meminta aku untuk bertemunya secara bertentang mata dan melafaskan kata-kata putus itu di hadapannya. Permintaannya itu akan aku tunaikan minggu hadapan.

Kadang-kadang aku merasa bersalah sangat-sangat dengan D kerana telah mengecewakan dia setelah memberikannya sedikit harapan. Aku yang tertewas dengan perasaan sendiri, tidak mampu lagi untuk terus menipu diri. Dari Johor perjalanan ke Kuantan mengambil masa kira-kira 6 jam bagi aku, pemandu yang bawak kereta macam semut. Maklumlah pemandu berhemahlah katakan. Kalau siput sedut nak berlumba bawak kereta dengan aku sudah semestinya aku yang kalah kalau siput sedut tu naik kereta yang dipandu oleh Michael Shumacher.

Setelah mengharungi perjalanan yang agak memenatkan dan membosankan maka aku pun sampai ke bandar Kuantan. Aku terus menuju ke tempat yang telah dijanjikan walaupun aku terpaksa berpusing-pusing sehingga 2-3 kali kerana aku tidak biasa dengan bandar Kuantan.

Lebih kurang 30 minit menanti, D pun datang dengan berbaju kurung biru. Memang agak ayu tapi entah di mana silapnya aku seperti tidak berperasaan ketika itu. Ah, kejamnya hati lelaki ini! Wajahnya yang sayu dan seperti tidak bermaya itu semakin mendekati aku. Dapat ku lihat seribu awan mendung sedang menyeliputi wajah D. Malah matanya sedikit kemerahan.

“Barangkali baru lepas menangis lagi agaknya.” Tekaku sendiri.
Tanpa berbicara panjang D terus mengajak aku ke sebuah kafe yang terletak di dalam pusat membeli-belah tersebut.

“Kenapa abang ingin memutuskan hubungan dengan saya?” Persoalan itu terpacul setelah agak lama kami berdiam diri dari tadi.

Sambil menyedut air soya sejuk kegemaran, aku memandang wajah D. Memang tiada apa yang kurang dengan wajah itu. Sesempurna ciptaan Allah tapi. Arghh! Entahlah. Sukar untuk dimengertikan soal hati sendiri. Aku termangu-mangu mencari jawapan yang sesuai.

Setelah menarik nafas dalam-dalam sedalam lautan memikirkan jawapan yang paling lembut dan sesuai, aku memberikan penjelasan.

“Maafkan saya. Sesungguhnya apa yang terjadi antara kita hanyalah kesilapan saya. Tidak terniat untuk saya melukakan hati awak. Saya sangka, saya mampu menyintai awak tapi yang jelas ketara saya tidak mampu. Saya masih belum mampu melupakan kenangan silam.”

“Tapi kenapa abang tidak mahu memberikan saya dan diri abang sendiri peluang?” Desak D menuntut penjelasan yang sewajarnya dari aku.

“Bukan tidak mahu memberikan diri saya dan awak peluang tetapi sepertinya ia tidak memberikan sebarang erti lagi. Maafkan saya sekali lagi. Biarlah hubungan kita sampai di sini sahaja. Awak tak bersalah. Semua salah saya. Saya yang lemah.” Aku cuba menyampaikan kata-kata itu walaupun kedengaran begitu lemah sekali.

Selepas aku mengeluarkan kata-kata itu aku lihat D terus terdiam sambil air matanya bergenangan. Sesungguhnya aku merasa amat bersalah. Malah sepertinya aku telah membuatkan dirinya seperti kain yang telah usang dijadikan pengelap basikal. Maafkan aku D....

Pertemuan terakhir di antara aku dengan D memang penuh dengan suasana yang amat suram. Malah aku sendiri tidak menyangka aku boleh menjadi sebegitu kejam. Apapun segalanya aku lakukan adalah untuk kebaikan kami berdua. Adakah itu hanya alasan pelarian cinta seperti aku? Terlalu mudah untuk membuat penilaian tetapi terlalu sukar menempuhi keadaan sebegitu. Andainya kau merasai apa yang aku rasa, aku yakin kau akan mengerti! Sesungguhnya tempat ku bukan di sini, bukan di dalam hati D.

Semenjak peristiwa itu antara aku dengan D memang terus terputus hubungan. Tiada lagi SMS, panggilan atau YM. Segalanya sudah berakhir. Aku sendiri tidak mengerti apakah aku harus tangisi perpisahan ini atau sekurang-kurangnya merasa lega? Apa yang aku pasti aku harus meneruskan perjalanan hidupku dan aku berharap D akan menemui seorang lelaki yang jauh lebih baik dan mulia dari aku!





...Tamatnya Kisah 6...

0 comments:

Post a Comment

Followers