Kisah 6.1 (Tiada Lagi Cinta?)

Kekecewaan dan penderitaan memang suatu perkara yang amat perit untuk dihadapi oleh sesiapapun. Malah aku sendiri yang mengalami kekecewaan yang amat berat hampir menggugat kewarasanku. Aku menjadi terlalu pendiam malah hampir tidak terurus. Mujurlah dalam hati ni masih dikurniakan dengan kepercayaan bahawa segala yang berlaku adalah kehendak Allah. Biarlah perit sekalipun aku menerima segalanya dengan hati yang redha.

Hampir sebulan aku berada di dalam keadaan mood berkabung. Ibarat tak mandi maka tak basah, tak makan maka tak kenyang malah kalau tak tidur maka tak lena. Tetapi walau apa pun aku kuat berpegang pada prinsip bahawa hidup ini mesti diteruskan.

Dalam tempoh sebulan ini hanya teman serumahku yang memahami situasi yang aku hadapi sekarang. Untuk membuatkan aku lupa akan segala kesedihan dan kekecewaan dia mengajak aku melakukan satu hobi yang telah lama aku tinggalkan iaitu memancing. Selama sebulan ini jika ada kelapangan sudah pasti aku dan dia akan tercongok di tepi sungai, laut malah sampai tahap kronik di loji Indah Water pun aku sanggup melampiaskan keinginan aku untuk memancing. Betapa rakusnya nafsu memancingku ketika itu.

Dalam pada itu, C masih menghantar SMS kepadaku dan meminta untuk meneruskan kembali cinta kami tetapi aku tidak mampu untuk memberikan harapan lagi kepadanya. Aku tidak mahu lagi memberikan janji-janji palsu. Walaupun masih ada sekelumit cinta tetapi cinta itu tetap tidak akan kesampaian.

Sehinggalah akhirnya, pada suatu hari dia menghantar SMS yang memberitahu bahawa dia bakal dikahwinkan dengan seorang jejaka yang merupakan plihan keluarganya. Malah C menyuruh aku agar melupakan dia untuk selama-lamanya. Aku tidak kecewa malah aku pasrah dan mendoakan agar dia bahagia dengan pilihan keluarganya.

Tentang aku, biarlah aku begini untuk sementara waktu. Aku bahagia dengan duniaku sekarang. Sendirian dan bebas ke mana jua seumpama beruang kutub yang dilepas bebas kembali ke Kutub Selatan tanpa dicucuk hidung. Mungkin tiada cinta lagi untuk seseorang yang bernama wanita. Apa? Tiada lagi cinta untuk wanita? Aku sudah gila atau buang tebiat ke?


Setelah berjaya memulihkan diri aku kembali menjalani hidup yang normal. Sedikit demi sedikit aku mula melupakan segala peristiwa pahit yang telah berlaku. Malah aku mula kembali menjadi gila-gila remaja yang dah tak remaja tetapi masih perasan remaja. Agaknya dah masuk kategori remaja senja kot? Cuma hati memang belum terbuka untuk bercinta lagi. (Ceh, boleh percaya ke ni?) Atau sememangnya tiada wanita yang mahu dekati aku ketika ini? Entahlah, tetapi apa pun aku tetap percaya kepada takdir ketentuan Allah.

Maka teramat benarlah kata-kata orang dewasa bahawa mendung tak selamanya menimpa bumi, pasti akan datang hari yang cerah secerah wajah seorang pelajar yang tengah menjalani latihan praktikal di tempat aku bekerja. Kalau sebelum ni mana aku ambil pedulik sangat tentang kehadiran budak-budak U yang menjalani praktikal tetapi kehadiran CS telah membuka mata aku sehingga tak berkelip-kelip untuk selama 120 saat.

Sungguh ayu wajahnya yang berlesung pipit, dilengkapi pula dengan kulit yang cerah serta ketinggiannya yang menyamai taraf seorang model. Malah yang membuat aku teruja apabila dia ditempatkan di department yang sama dengan aku di bawah seliaan seorang seniorku. Tetapi dengan kejadian yang telah menimpaku selama ini, sedikit sebanyak ianya telah membuat aku menjadi pemalu dan pendiam kembali serta hilang segala keyakinan diri untuk mendekati wanita apatah lagi yang dikategorikan sebagai jelita.

Maka aku hanya memandang dia dari jauh tetapi dekat. Sedangkan aku? Hanya seorang lelaki biasa yang serba kekurangan. Apa yang aku ada hanyalah selonggok kasih sayang yang dah berterabur dan berkubur di segenap penjuru alam menanti masa untuk dibangkitkan kembali!

Walapun setiap hari berselisih dan saling memandang tetapi sepatah perkataan pun aku tidak pernah tegur CS walaupun hanya untuk mengucapkan selamat datang. Malah untuk memandang matanya yang begitu bersinar seperti mutiara pun aku tidak sanggup. Aku telah menjadi jantan pengecut kembali.

Walaupun telah ada gesaan dan galakkan dari senior sama department denganku yang menyuruh aku mendekati dia sebab memang telah dikenal pasti bahawa dia masih single. Tapi aku macam tak percaya kerana wanita jelita seperti dia takkanlah masih single kot?

Walaupun begitu dalam diam-diam aku mula menjadi peminat si dia. Selalu ku perhatikan gerak-geri dan tingkah lakunya walaupun hanya dari kejauhan. Maka telah bermula lagi penyakit lamaku. Memendam perasaan dan cinta dalam diam atau cinta syok sendiri. Tak mungkin aku mampu meluahkan perasaan itu kerana dia terlalu jelita untukku. Bukan kata nak meluahkan perasaan malah untuk mengucapkan kata hai pun aku masih tak berani dek kerana terlalu segan dan malu.

Maka cinta terpendam itu terbiar, terpendam dan terus terpendam apabila sampai ke hari terakhir dia menjalani latihan pratikal pun aku hanya mampu mengucapkan kata-kata semoga berjaya dengan alam kerjaya nanti. Betapa pengecutnya aku kan? Tapi tak mengapa, biarlah aku memendam perasaan ini selamanya lantaran aku sedar kekurangan dan kelemahan diriku. Dari mendapat malu andainya cintaku ditolak baik aku ikut jalan selamat.

Biarlah segalanya hanya sekadar terpahat di hati menjadi kenangan cinta syok sendiri untuk sekian kali. Biarlah rahsia yang aku pernah meminatinya hanya menjadi kenangan terindah untuk aku kenang sendiri. Cinta itu walaupun ianya tidak kesampaian tetapi ia tetap merupakan satu anugerah yang indah dan membahagiakan walau hanya sekadar di alam angan-angan sendiri. Malah ia mampu membahagiakan aku dengan impian yang disulam dari awan-awan yang menjadi benang pengikat kasihku di alam mimpi!

Mampukah aku untuk terus hidup dengan angan-angan dan impian semata-mata tanpa beralaskan realiti kehidupan di alam nyata? Iya, memang aku tidak mampu untuk terus menggapai mimpi kerana aku bukanlah putera impian. Untuk meneruskan hidup, aku kembali menjalani rutinku seperti dahulu, kadang-kadang pergi memancing dengan teman serumah dan kadang-kadang aku kembali melayari internet untuk mencari kenalan baru. Mencari teman buat mengisi kesepian hidup kerana aku tidak mahu menjadi seumpama rama-rama yang cantik berterbangan sendirian tanpa ditemani bunga-bunga indah berserta madu yang lazat! Aku mahu meneruskan hidupku seperti dulu!

Walau apa pun yang terjadi diari hidupku mesti diteruskan kerana aku mahu terus mencipta dan memahat sejarah serta kenangan yang terindah. Apa yang berlalu akan ku jadikan pedoman dan kenangan pahit.
Maka dengan ini, aku telah mengisytiharkan kepada diriku sendiri bahawa tempoh berkabung ini perlu ditamatkan. Buku kisah hitam dan memedihkan perlu ditutup segera. Aku akan menjadi insan seperti dulu. Itulah azamku!


…Hanya satu permulaan…


0 comments:

Post a Comment

Followers