Kisah 5.12 (Cinta Itu Indah)


Cinta dan wanita itu memang indah dan aku adalah lelaki yang sukakan keindahan. Memang aku tidak mampu untuk menolak kehadiran cinta dan wanita dalam hidupku. Kekecewaan memang menyakitkan dan di saat kecewa kerana putus cinta atau putus sahabat memang amat menyakitkan. Namun aku tak jadikan ia sebagai batu penghalang untuk menikmati keindahan cinta dan wanita yang lain!

Seminggu telah berlalu saat aku menerima email daripada SZ yang meminta persahabatan antara aku dan dia diputuskan kerana persahabatan itu telah menggoyahkan dan menjadi batu penghalang antara cinta dia dengan teman lelakinya. Aku sebagai manusia yang berbudi dan menghormati kehendak orang hanya menerima keputusan tersebut tanpa sebarang soal.

Tidak lama kemudian, menyusul lagi email daripada SZ. Kali ni di dalam email tersebut dia banyak kali memohon ampun dan maaf daripada aku kerana telah melukakan hatiku dengan permintaanya yang ingin memutuskan tali persahabatan kami. Malah dia telah meminta aku menerima dia kembali sebagai seorang sahabat.

Apapun hati ini memang telah terluka dan aku telah tawar hati. (Cit, porah apalah aku ni jiwang karat jiwa halus betul!). Tapi memang secara serius, aku agak tawar hati dan sekadar menerima kembali tawaran persahabatan itu dengan keadaan sambil lewa. Apa yang aku ucapkan di dalam email itu ialah aku boleh menerima dia kembali sebagai seorang sahabat tetapi apa yang pasti aku tidak akan semesra dulu dan tiada lagi Jemmy yang pernah dia kenali sebelum ini.

Rupa-rupanya itulah email terakhir yang aku kirimkan untuk SZ kerana selepas membalas email dia tempohari, aku tidak lagi membalas email daripada SZ yang seterusnya. Biarlah aku dengan duniaku sendiri sekarang dan biarlah dia bahagia dengan dunianya. Lagipun aku masih ada 4 tanggungjawab cinta dan wanita yang menanti. Sekurang-kurangnya aku masih ada C, R, FF dan J. Tapi bahagiakah aku dengan ini semua?

Kata orang tua-tua itu selalunya betul. Langit tidak selalunya cerah, hidup tidak selalunya indah. Selang beberapa bulan kemudian aku menerima kejutan yang pertama iaitu J telah menarik diri dari meneruskan perhubungannya dengan aku di atas alasan dia belum bersedia untuk menjalinkan satu hubungan yang serius. Tambahan lagi dia dapat rasakan bahawa aku curang dan memasang lebih dari seorang awek. Eh, macam mana dia boleh tahu ek? Adakah J memasang satelit pengesan?

Sampai sekarang kemusykilan itu bersarang di kepalaku kerana setahu aku memang aku tidak pernah terkantoi di hadapannya. Malah apabila aku tanya, pernah ke dia nampak aku keluar dengan perempuan lain dia sendiri menjawab tidak pernah. Tapi katanya lagi naluri dia kuat mengatakan bahawa aku memang ada awek lain dan lebih dari satu.

Oleh kerana aku pun dah tak mampu menafikan lagi maka setelah hampir setahun berhubungan, maka rasmilah bahawa J telah memutuskan hubungannya denganku, dan sekali lagi egoku sebagai lelaki tercalar kerana 'diceraikan' dengan talak 3 sekaligus!

Apapun sebagai seorang lelaki budiman, aku tetap menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka walaupun di hati terbuku seribu rasa kekesalan. Maka aku tetap tidak menyimpan sekelumit perasaan dendam pun kerana sebenarnya aku sendiri pun sudah letih dan terlalu penat dengan permainan cinta ini.

Ada terlalu ramai awek pun selalunya banyak menyusahkan aku kerana terpaksa belajar menjadi seorang pembohong. Mungkin seribu rahmat buat ku kerana dengan perpisahan itu, ianya dapat mengurangkan bebanan yang aku tanggung kerana tidak perlu lagi berdolak-dalih setiap kali disiasat oleh awek-awekku.

Dalam kegelapan itupun sekurang-kurangnya aku masih mempunyai 3 lagi sinaran pelita minyak tanah yang mampu menerangi hidupku di kala blackout. Mungkinkah cinta aku dengan 3 orang awek ini akan berkekalan? Atau ada lagi kejutan selepas ini? Adakah aku akan terus menjalani hidup yang bahagia dengan 3 orang awek atau terus menerima berita yang mampu menghentikan denyutan jantung?


...Cerita bersambung lagi...

0 comments:

Post a Comment

Followers