Kisah 5.14 (Hati Seorang Lelaki)

Begitu banyak peristiwa yang menyedihkan berlaku telah aku alami dalam tahun ini. Bermula dengan terputusnya persahabatan yang terjalin antara aku dan SZ, disusuli dengan putusnya kisah cintaku dengan J serta yang paling memberikan pukulan yang amat hebat iaitu berakhirnya hubungan cintaku dengan C lantaran halangan dari keluarga kami.

Seumpama tahun berduka atau tahun berkabung sehinggakan aku menjadi semakin pendiam dan prestasi kerja aku mula merudum. Kalau diibaratkan dengan pasaran saham BSKL nampak sangat graf saham itu jatuh mendadak hingga ke paras terendah. Mahunya tak bersedih kan?

Satu persatu cintaku pergi dan berlalu. Tetapi yang paling parah apabila percintaanku dengan C mendapat tentangan dan halangan dari keluarga kami. Pernah juga aku cuba memujuk rayu emak dan ayah tetapi akhirnya aku mengalah kerana aku tidak mampu untuk melukakan hati mereka. Biarlah C marahkan aku dan menuduh aku bacul dan pengecut kerana tidak berani melawan kehendak keluarga.

Biarlah apa jua tanggapannya. Malah melalui SMS, C kerap memujukku sehinggakan sampai ke tahap dia tetap beria-ia mengajak aku kahwin lari. Apa ke gila nak kahwin lari? Kan penat tu berkejaran sebab nak kahwin. Apapun jawapan aku tetap tidak. Keluarga tetap nombor satu!

Hubungan dengan J sudah pun tamat, dengan C pun sudah sampai ke titik akhir. Siapa lagi yang aku ada? Harapan aku hanyalah pada FF dan R sekarang. Kenapa aku tidak berusaha mencari cinta gantian secepatnya? (Eh, macam masuk acara lari berganti-ganti pulak aku rasa.) Kali ni aku cuba sedaya-upaya untuk menjaga hubungan aku dengan FF dan R. Tapi mungkinkah pisang emas berbuah kali ke-3?

Ya, memang tidak syak lagi. Memang pasti pisang emas yang ku tanam telah berbuah kali ke-3. R mula menunjukkan tanda-tanda yang dia ingin memutuskan hubungan denganku. Memang aku akui semuanya berpunca dari kesilapan aku sendiri. Dalam banyak-banyak awek, aku agak mengabaikan R. Jarang sangat aku SMS dan call dia. Tetapi pada masa itu R masih belum memiliki handphone jadi memang agak susah untuk aku menghubunginya. Tapi apa lagi alasan yang harus aku berikan setelah aku sendiri yang menghadiahkannya sebuah handphone lengkap dengan talian prepaid sekali? Aku tetap juga jarang berhubungan dengannya di atas alasan yang aku agak sibuk dengan kerja harian.

Tapi akukah yang bersalah sepenuhnya? Tidak aku tidak bersalah 100%. Silap R juga yang pernah berkata dia masih belum bersedia untuk berkahwin dengan aku dalam masa terdekat ni. Dia juga pernah memberitahuku yang dia hanya bersedia untuk berkahwin dengan aku apabila dia berumur 27 tahun. Jadi takkanlah aku harus menunggu selama 5 tahun lagi? Lagipun semasa itu, dia baru berumur 22 tahun. Alamat berjanggutlah aku kalau nak menunggu. Dah lah umur aku sudah hampir mencecah 30. Jadi sebagai pembaca yang budiman, anda rasa siapa yang patut dipersalahkan?

Aku masih memujuk R supaya yakin dengan cintaku. Untuk membuktikan kesetiaan, aku telah mengambil cuti yang disambung dengan cuti hari minggu untuk pulang ke kampung bertemu R. Kali ni aku menjemput dia di rumahnya dengan kereta aku. Aku merenung jauh ke dalam matanya. Memang ketara kelihatan dari eskpresi wajahnya jelas membayangkan yang dia memang sudah kurang yakin dengan aku dan cinta kami. Aku membawa R ke pantai yang pernah menjadi saksi pertemuan kami dahulu.

Kali ini dia tidak ceria seperti mana aku bertemu dengannya dahulu. Malah dia kurang bercakap. Hanya duduk dengan diam sambil menguis-nguis pasir pantai dengan ranting kayu. Sepatah yang aku tanya hanya sepatah yang dia jawab. Sampaikan aku sendiri mati kutu. Bukan setakat kutu, malah kalau ada hama atau hamster sekalipun sudah lama mati juga dengan keadaan pertemuan yang tidak ceria itu.

“Kenapa awak tidak mahu memaafkan abang?” Tanyaku memutuskan litar kesunyian yang mula mengambil alih apabila masing-masing diam tak bersuara.

Dia masih mendiamkan diri. Tanpa sebarang jawapan terus menguis-nguis pasir pantai dengan ranting. Mataku tertancap ke arah pasir itu apabila dia mula mengukir pasir itu dengan patah-patah perkataan.
“Isyk main tulis-tulis kat pasir pulak.” Kata hatiku kepada diriku sendiri yang kehairanan.

‘ABANG TIPU.’ Sebesar anak badak sumbu tulisan yang tercatat di permukaan pasir itu ku baca perlahan-lahan.
“Apa yang abang tipu?” Tanyaku lagi dengan gaya membela diri tahap tenuk pemalu yang kantoi terberak di tengah denai hutan.

“Dah la bang. Saya dah letih dengan janji-janji abang. Dulu abang berjanji akan kerap berhubungan dengan saya. Ini usahkan kata telefon, SMS pun jarang-jarang sangat. Asyik-asyik alasan sibuk. Kadang-kadang saya rasa diri saya ni macam takde pakwe. Tak macam kawan-kawan lain yang selalu berhubung dengan pakwe masing-masing sampai tak kira siang dan malam. Tapi saya? Macam mana abang layan saya?” Kali ini aku yang terdiam seperti mulutku dikunci dengan dawai kokot stapler.

“Iyelah abang mengaku kesilapan abang. Kali ni abang berjanji takkan abaikan awak lagi. Bagilah abang peluang kali ke-3,” rayuku tanpa segan silu lagi sambil menjatuhkan air muka dan ego sendiri yang kononnya memegang prinsip takkan merayu andainya orang dah tak sudi.
Ibarat meludah ke langit, air liur basi busuk jatuh tepat ke atas mukaku sendiri betul-betul di lubang hidung pulak tu. Apa boleh buat. Dah memang salah aku sendiri mengabaikan R. Maka terpaksalah aku menerima segala tempelaknya.

“Cukuplah bang. Saya rasa tiada gunanya lagi kita meneruskan perhubungan ini. Dulu saya dah bagi abang peluang 2 kali, tapi abang mempersia-siakannya. Jomlah kita balik,” sambung R lagi menyentap sama sekali sinar harapanku untuk kembali menjalinkan percintaanku dengannya. Tak ku sangka pula kali ini R benar-benar serius dan tidak mahu lagi memberikan aku peluang.

“Ambillah semula telefon abang ni. Terima kasih kerana sudi hadiahkan kat saya dulu.” Kali ni aku makin terkedu. Seakan mahu terkucil rasanya.
“Tak apalah. Awak simpan sahajalah sebagai kenangan. Kalau tak mahu gunakan pun, bungkuskan aje dalam kotak dan letak bawah katil awak.” Aku bersuara menolak dengan baik kerana aku tidak mahu menjadi buruk siku mengambil semula benda yang telah dihadiahkan kepada orang.

Dengan perasaan yang kecewa dan sedih berbaur, aku menghantar R pulang ke rumahnya. Buat kali terakhirnya, R menyalami tanganku dan memohon maaf di atas segalanya. Aku tidak terus pulang ke rumah tetapi menuju ke suatu destinasi yang aku sendiri belum fikirkan.


Setelah setengah jam memandu tanpa hala tuju aku membelokkan kereta menuju ke sebuah pantai untuk menenangkan perasaan. Kekecewaan berulang lagi dan lagi dan mungkin akan berulang lagi dalam episod yang seterusnya…..


…Sambungan kekecewaan…

0 comments:

Post a Comment

Followers