Kisah 5.9 (Cinta Empat Segi)


Diam tak diam hampir setahun aku menjalinkan hubungan dengan 3 orang awek sekaligus. Dalam masa setahun itu juga aku terpaksa berlakon bermacam-macam cerita semata-mata untuk cover line supaya tidak terkantoi. Dalam sebulan aku akan mengatur pertemuan dengan FF sebanyak 2-3 kali manakala dengan C aku tetap setia melayani SMS dan surat-surat cintanya yang panjang berjela.

R pulak sering mengadu aku terlalu jarang menghubunginya. Kalau ada pun sebulan cuma 2-3 kali. Dengan alasan aku hanyalah sibuk dengan kerja pastu sebelah malam aku penat dan selalu tertidur awal. Tapi sepertinya R tidak dapat menerima alasanku. Walau apa pun setiap kali aku balik bercuti ke kampung aku pasti akan bertemu dengan R untuk melepaskan rindu. Memang ini semua adalah pilihan aku, jadi aku kena berani hadapi dan mengharunginya dengan cara yang paling bijaksana. Ibarat kata pepatah ‘menarik rambut di dalam tepung.’ (Ayat cover line dari buaya tak berekor).

Dugaan dalam mengharungi percintaan dengan 3 orang sekaligus memang banyak dan agak memenatkan. Macam inilah agaknya keadaan mereka yang kahwin sampai empat kot? Tapi kali ni berlaku lagi dugaan atau aku sendiri yang menempah bala? Aku sendiri pun tidak mampu untuk menolaknya. Sekali lagi melalui ruangan sembang mIRC, aku berkenalan pulak dengan J, sama negeri kelahiranku dan baru menamatkan pengajiannya di UUM. Buat sementara dia bekerja part time di Shah Alam.

Jadi seperti biasa, aku tetap berkawan walau dengan sejuta perempuan sekalipun kerana aku patuh dengan kata-kata orang tua yang begitu kuat tersemat menjadi peganganku. ‘Berkawan biarlah seribu, bercinta biarlah lima’. Eh, betul ke kata-kata tu? Pada mulanya seperti biasa, bertukar-tukar alamat email, kemudian bertukar-tukar nombor telefon. Selepas itu, dah dapat nombor telefon aku harus menjalankan rutin biasa iaitu untuk berbalas email dan berbalas SMS.

Lama-kelamaan ianya makin menimbulkan bibit-bibit kemesraan dan semakin akrab. Sudah mula berbunga-bunga rasa sayang dan sudah mula memanggil dengan panggilan manja. Hinggakan aku dah memasang hajat untuk berjumpa dengan J suatu hari nanti. Apakah aku ni sudah gila? Sudah kemaruk sangat sampai nak pasang awek ramai-ramai ni? Sukar aku hendak menjawab persoalan begitu kerana aku tidak mampu untuk menolak cinta pada masa itu.

Pucuk dicita ulam pegaga yang mendatang. Dah peluang depan mata cicah ajelah dengan sambal belacan atau budu sehingga menjilat jari kaki kucing Siam Mak Teh (Eh, melalut sakan dah ni). Atau ada ke kucing yang mampu menolak ikan percik yang terhidang di depan mata?
Secara kebetulan pulak aku ada seorang member baik yang aku kenal masa tengah study dulu yang bekerja di Shah Alam. Tanpa rasa malu dan segan aku berjanji dengan member aku nak pergi jalan-jalan kat tempat dia sambil berjumpa J bila ada masa cuti nanti.

Maka terlakarlah sekali lagi blind date aku untuk kesekian kalinya. Macam tak sabar-sabar pulak nak berjumpa dengan J sampaikan awek-awekku yang bertiga itu dah macam terabai sedikit. (Sedikit sahaja tau sebab aku ni tetap setia dengan mereka).

Selang dua-tiga hari kemudian, tiba-tiba pulak aku menerima email dari SZ (gadis berbibir cantik yang aku minat masa tengah study di UPM dulu). Di dalam emailnya itu, dia memaklumkan bahawa yang dia tengah sambung belajar Master di UPM. Dasyat jugak si SZ ni. Biasalah kalau dulu aku malu-malu tetapi sekarang aku tidak melepaskan peluang dan terus meminta nombor telefonnya yang terkini supaya senang untuk aku hubungi. Seronok tidak terhingga pulak apabila memperolehi nombor telefon dia yang merupakan cinta syok sendiri aku yang paling lama aku pendamkan.

Aku masih ada perasaan cinta terpendam ke kepada si dia? Rasa-rasanya camna? Memang sahih! Malam itu juga aku terus menghubungi SZ tanpa rasa segan silu lagi. Hampir 3 jam juga berborak di telefon. Maklumlah sudah hampir 2 tahun masing-masing menyepi tanpa berita. Walau apa pun aku pernah memberitahu dia yang aku dan dia tetap akan kawan baik sampai bila-bila pun.

Walaupun jauh di sudut hatiku, ingin rasanya meluahkan yang aku sayangkan dia lebih dari seorang kawan. Memandangkan aku pun sudah mempunyai perancangan untuk pergi ke Shah Alam untuk menemui J nanti, jadi aku pun memberi cadangan untuk kami bertemu di Serdang. Tanpa ragu-ragu SZ menerima pelawaan aku. Gembiranya hati seperti kaki jadi yang menang cabutan loteri bernilai 2 juta Pound Sterling. Apa lagi, dapatlah aku bertemu dengan J dan SZ bila cuti nanti. Dah tak sabar dah ni. Tapi apakan daya....


...Cerita ini bersambung lagi dalam Kisah 5.10..

1 comments:

jemmy76 said...

testing...

Post a Comment

Followers