Kisah 6.2 (Hanya Satu Permulaan)


Setelah menamatkan tempoh berkabung, aku kembali menjalani kehidupan seperti biasa, tiada lagi keinginan untuk mengingati kembali saat-saat yang memedihkan dalam hidup. Aku hanya memandang ke hadapan, kiri dan kanan tetapi sudah agak sukar untuk menoleh ke belakang. Bukan keana leherku bermasalah atau sakit tetapi kerana setiap kali aku menoleh ke belakang, aku akan ternampak segala peristiwa-peristiwa yang mampu menitiskan air mata jantanku. Aku tidak mahu berterusan hidup di dalam dunia kesedihan. Duniaku adalah keceriaan.

Aku mula kembali bergiat cergas di dalam arena chatting di alam siber. Walaupun cinta-cintaku di alam siber sebelum ini kesemuanya gagal dan menemui jalan mati, tetapi aku tidak pernah mengenal erti serik. Aku bermula secara perlahan-lahan dengan mencari beberapa orang kenalan baru dengan niat hanya sekadar untuk mengisi masa senggang. Sekurang-kurangnya untuk menghiburkan hati yang lara dek kerana cinta tak kesampaian!

Melalui arena chatting mIRC juga aku mengenali U yang tinggal di negeri kelahiranku dan berkerja sebagai Pengurus Promosi di sebuah hotel. Seperti biasa aku hanya menganggap dia sebagai teman untuk berbicara di alam siber untuk mengisi kekosongan dalam hati. Sebagai kesinambungan perhubungan itu, kami sering mengutus email dan kadang-kadang juga aku akan menghubungi U melalui telefon dan SMS.

Walau apa pun aku tidak berniat dan tidak pernah bertemu pun dengan U. Biarlah perhubungan aku dan dia hanya berdasarkan persahabatan alam siber semata-mata. Tetapi kalau sudah ditakdirkan untuk bertemu segalanya boleh berlaku. Pertemuan pertama kami terjadi apabila aku telah dihantar berkursus ke negeri kelahiranku selama seminggu. Ditakdirkan lagi, tempat aku berkursus ialah di hotel tempat U bertugas. Adakah ini secara kebetulan? Sememangnya kita tidak pernah menduga segala perjalanan dan ketentuan hidup kita yang telah ditentukan oleh-Nya yang Maha mengetahui.

Sengaja aku ingin memberikan kejutan buat U. Aku langsung tidak memberitahunya bahawa aku akan berkursus di hotel tempat dia bertugas. Sebelum menghadiri kursus aku terlebih dahulu pulang sehari lebih awal ke kampung untuk menjenguk kedua orang tuaku. Sempat juga aku tidur semalaman di rumah. Keesokkan paginya aku terus menuju ke hotel tempat aku berkursus. Setelah sampai sahaja ke parking hotel baru aku menghantar SMS memberitahunya yang aku sekarang berada di hotel tempat dia berkerja.

Antara percaya dengan tidak U menyuruh aku bertemunya di lobi hotel.
Selesai pendaftaran peserta yang hadir urusan check-in, aku terus menuju kearah seorang wanita yang sedang duduk di atas sofa dan seperti dalam cerita biasa pertemuan pertama bagi kawan alam siber aku tanpa segan silu terus meneka.

“Saudari ni Cik U kan?”
“Iye siapa lagi kalau bukan saya U. Kan saya dah cakap tadi suruh awak terus datang sini,” balas U dengan senyuman manis mengalahkan Pakcik Kordi yang gembira mendapat anak kambing kembar 5.
“So macam mana? Surprise tak?” Tanyaku sambil menatap senyumannya yang manis itu.
“Mestilah terkejut. Tak bagitau awal-awal yang awak nak datang sini. Tak sangka pulak kita boleh jumpa dalam keadaan macam ni,” ujar U dengan senyuman yang masih tak lekang dari ulas bibirnya yang lengkap dihiasi indah dengan tahi lalat di bawahnya.

“Anak sapalah ni cantik amat sangat!” Ujar hatiku kepada diriku sendiri yang begitu kagum dengan keindahan dan kecantikan yang Allah berikan terhadap seorang wanita yang bernama U ini.
Perbualan seterusnya antara aku dan U berlangsung hampir 10 minit.
Malangnya aku terpaksa menamatkan perbualan itu kerana kami masing-masing mempunyai urusan kerja.

“Oklah saya tahu awak pun tengah berkerja, nanti tak elok pulak kalau boss awak nampak. Lagipun saya dah kena mula masuk dewan tempat kursus. Sesi pertama akan tamat dalam pukul 5.00. So, kalau awak dah habis kerja nanti SMS kat saya dan kita keluar minum petang boleh?”
“Ok! Nanti kita jumpa dalam pukul 5.00 sebab saya memang habis kerja pukul 5.00,” jawab U masih dengan senyuman yang terlalu manis itu mengalahkan madu yang menitis keluar dari sarang lebah.

Tanpa membuang masa aku terus menuju ke dewan untuk menghadiri sesi taklimat dan seterusnya memulakan kursus sesi pertama.
Beberapa jam berada di dalam dewan yang sejuk itu seperti satu tempoh yang terlalu lama dan membosankan bagiku. Malah aku tidak dapat menumpukan 100 peratus perhatianku terhadap apa yang disampaikan oleh penceramahnya.
Sempat juga aku berSMS dengan U menyatakan betapa bosannya aku di di dalam dewan yang sejuk ini. Aku juga mengusiknya dengan mengatakan bahawa aku tak sabar untuk menanti pukul 5.00 kerana teringin sangat bertemu dengannya lagi.

Penantian itu memang satu penyeksaan. Setelah sesi bertukar sesi, penceramah bertukar ganti, segala aktiviti dah aku ikuti walaupun tidak dengan sepenuh hati maka tiba sudah masa dijanji. Telah terpatri jam lima akan ku temui, walau si dia baru ku kenali. Apa yag terjadi akan tetap terjadi dengan izin Illahi.

Tepat jam 5.00 tanpa melengahkan masa pantas aku menuju ke arah lobi hotel dan jelas di sana wajah yang aku kenali sudah siap sedia menanti.
“Jom keluar.” Dengan gelojohnya ibarat pengantin baru yang tak sabar menantikan malam pertama, aku terus mempelawa U untuk keluar minum denganku.
“Ok, tapi kita kena naik kereta masing-masing sebab nanti saya terus nak balik ke rumah,” jelas U.
“Tapi kita nak ke mana?” Tanyaku.
“Kita minum di tepi pantai airport sebab kat sana suasana ok sikit,” jawab U sambil kami terus beriringan menuju ke tempat parking. Lalu kami berpecah menuju ke arah kereta masing-masing.

Petang itu memang indah. Kami minum menghadap antara satu sama lain dengan diiringi muzik terindah ciptaan Allah iaitu alunan ombak yang damai. Sotong yang digoreng dicelup tepung itu pun terasa lebih lazat berbanding biasa kerana aku begitu asyik memerhatikan keindahan wajahnya itu. Tiba-tiba pulak dia boleh berkata:

“Janganlah asyik tenung muka saya lama-lama, seganlah.”
“Alamak sorry, saya cuma memandang keindahan yang tuhan ciptakan yang ada pada awak,” jawabku dengan jujur memuji sambil ku perhatikan memang muka dia sudah kemerahan malu kerana menerima pujian.

Kami meneruskan perbualan demi perbualan tentang pengalaman kerja masing-masing sehingalah mengimbau kembali zaman belajar masing-masing.
“Awak kata pernah belajar di sebuah institusi pengajian di sini kan?” Tiba-tiba pertanyaan itu keluar dari mulut U seperti ingin mengorek rahsia dari aku.“
“Aaaa… Pernah dulu di ******” (nama tempat yang terpaksa ku rahsiakan demi menjaga kerahsiaan aku). Kenapa awak tanya?” Giliran aku pula yang menyoal siasat U.

“Awak kenal seorang pensyarah yang bernama Hj. E?” Soal U lagi.
Dengan dahi yang berkerut-kerut aku cuba mengingati kembali satu-persatu nama-nama bekas pensyarah yang pernah mengajar aku dulu.
“Oh, ya! Baru saya teringat memang Hj. E pernah mengajar saya dulu. Jangan-jangan awak ni anak dia tak?” Soalku menyerkap jarang yang memang hampir mengena kerana aku baru teringat nama penuh yang dia pernah berikan semasa mula-mula berkenalan dalam MIRC dulu.

“Ya. Memang saya anak Haji E,” tutur U membuatkan aku seperti terkesima sehinggakan sotong goreng tepung yang aku cuba suapkan ke mulut sendiri hampir terlepas dari pegangan jariku. Antara percaya dengan tidak.
“Apa? Memang betul awak anak Haji E? Aduhai, tak sangka pulak yang saya keluar dating dengan anak pensyarah saya sendiri,” aku menuturkan kata-kata itu dengan perasaan yang berbelah-bagi.

Sungguh ku tak sangka biawak dah jadi buaya, cempedak dah jadi nangka, ular dah jadi naga. Memang sah lagi sahih bahawa U adalah anak bekas pensyarah aku. Aduh, segannya………


...Lagi-lagi Bersambung...

0 comments:

Post a Comment

Followers