Kisah 5.11 (Terlerainya Sebuah Persahabatan)

Walaupun mendapat respon yang agak mengecewakan dari SZ sewaktu meluahkan perasaan aku tempoh hari tetapi aku masih berupaya menyembunyikan seribu perasaan kecewa yang aku rasai. Tidak sia-sialah segala usaha aku memasang awek lebih dari satu kerana di saat kecewa sebegini aku masih ada tempat untuk bergantung mengadu dan melupakan segala kesedihan.

Berbalik dengan sambungan kisah aku, selepas selesai pertemuan dengan SZ, malamnya aku tetap menghubungi dia sekejap sebagai tanda aku dengan dia masih bersahabat seperti biasa. Tetapi sebelum mengakhiri perbualan itu dia memberitahuku ada perkara penting yang ingin disampaikan padaku tetapi bukan melalui telefon katanya. Nanti dalam masa 2-3 hari dia akan tuliskan melalui email.

Eh, apa ke benda pulak ni? Aku dah mula merasa suspen dan dah bermacam-macam yang aku fikirkan sampai kotak fikiran aku yang tak berapa luas ni sendat dengan pertanyaan dan persoalan. Tak percaya? Anda boleh x-ray kepala aku pada masa itu. Confirm anda boleh nampak tanda soal yang begitu banyak dan besar berlegar-legar dalam otak aku ni.

Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi aku dah mintak tolong kawan aku hantar ke Stesen Komuter Serdang. Selepas subuh sahaja aku dah terpacak di stesen tu. (Nasib baik aku tak terpacak sebelum subuh lagi). Dengan perasaan riang campur sedikit kekecewaan yang masih belum terpadam sepenuhnya, masih berbelah bagi seperti perasaan seorang penternak ayam yang gagal menangkap kembali ayam peliharaannya yang terlepas. Dah la begitu badan pulak penuh dengan tahi ayam.

Aku pun memulakan perjalananku menuju ke Shah Alam dengan menaiki komuter. Sampai sahaja di Stesen Komuter Shah Alam, kawan aku sudah sedia menanti. Tanpa melengahkan masa kawan aku terus merempitkan motorsikal Yamaha RX-Znya menuju ke rumah sewa. Sempat jugak aku mandi-manda, berehat dan bersarapan sekejap.

Dah sampai masa untuk bertemu janji dengan J tepat jam 12.00 tengah hari, aku pun dihantar oleh kawanku ke KFC Seksyen 18 Shah Alam. (Betul ke wujud tempat ni? Aku pun dah ingat-ingat lupa) Seperti yang dijanjikan, J telah pun siap sedia menanti kehadiranku. Nampak sangat dia pun tak sabar-sabar jugak nak jumpa aku. Maklumlah baru pertama kali bersua muka setelah sekian lama berhubungan melalui SMS dan panggilan telefon sahaja.

Seperti kebiasaan dalam mana-mana temu janji dengan awek lain sebelum ini, aku pun terus menuju ke kaunter untuk memesan makanan yang diingini manakala J memilih tempat duduk yang agak selesa dan lebih privacy. (Kenapa ek zaman ni asal dating aje kat KFC? Kaya betul KFC sebab setiap kali buat first date atau blind date selalunya KFC yang menjadi tempat pilihanku.)

Jadi bermacam-macam perkara yang menjadi perbualan antara aku dan J yang sebahagian besar darinya aku pun dah tak berapa ingat. Tetapi apa yang aku ingat J ada memberitahu yang dia sudah nak berhenti kerja part time dan mungkin akan balik kampung untuk mencari perkerjaan di sana. Ini yang susah sikit sebab balik kampung nanti aku terpaksa membahagikan masa dengan seadilnya untuk 2 orang awekku. Aku pun tanpa sebarang bantahan bersetuju dengan keputusan J untuk balik ke kampung.
Kiranya pertemuan pertama aku dengan J hanya berlangsung dalam masa 2 jam lebih sahaja kerana aku pun kasihan dengan member aku yang terpaksa menunggu aku. Lagipun aku tak datang dengan kenderaan sendiri kerana tak biasa dengan jalan sekitar Shah Alam.

Sebelah malamnya pula, tiba-tiba si FF call aku sampai 3 kali tetapi aku tidak perasan kerana masa tengah dating dengan J petang tadi aku telah membuat mode vibrate sahaja di handphone kesayanganku. Mujurlah kali ke-4 aku mula perasan ada panggilan masuk. FF mula menyoal-siasat aku dengan bermacam-macam soalan sampaikan jenuh aku memberi alasan. Sehingga satu tahap dia menuduh aku.
" Entah-entah abang ni pergi dating dengan perempuan lain kat sana tak? Bukannya pergi berjumpa kawan kan?"

Mujurlah aku ni bukan yang jenis mudah gabra apabila berhadapan dengan suasana itu sekarang. Dengan elok-elok aku memberitahu yang aku memang bercuti untuk berjumpa dengan kawan-kawan lama. Selepas itu aku meminta kawanku itu berbicara dengan FF sekejap sebagai bukti yang aku berada dengan kawanku. Kasihan kawan aku dah terpaksa berbohong hanya kerana nak menyelamatkan aku. Maka selamatlah aku untuk kali ni dari terkantoi.

Selesai menjalankan kewajipan serta tugas aku untuk bertemu dengan SZ dan sesi dating dengan J, maka aku pun kembali semula ke daerah tempat aku bekerja mencari sesuap rezeki. Penat memang penat, tetapi terasa sangat berbaloi juga kerana sekurang-kurangnya aku dan J telah membuat pengisytiharan secara rasmi bahawa kami telah pun menjadi pasangan kekasih. Inilah yang dikatakan oleh orang tua; ‘Tiada bala, biawak hidup dipikul.’ Buatnya biawak tadi meronta-ronta dan mencakarkan kukunya yang panjang itu ke mukaku yang tak berapa hensem ni siapa yang susah? (Eh, ni apa kes pulak terbabas sampai cerita biawak pun keluar?)

Selang sehari selepas bertemu SZ seperti yang telah dia janjikan maka aku pun menerima satu email darinya.

'Assalamualaikum..
Hai Jemmy. Apa khabar? Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf sekiranya apa yang terkandung di dalam email ini nanti bakal menyakitkan hati Jemmy. Terima kasih kerana sudi datang bertemu dengan saya tempoh hari. Tetapi saya tidak menyangka bahawa pertemuan kita telah mengundang perasaan cemburu dan menyebabkan ada hati yang terluka. Iya, Jemmy. Teman lelaki saya amat berkecil hati dan sehingga sekarang demam dan menjadi seperti tidak terurus kerana begitu takut dan risau kerana saya bertemu dengan awak tempohari. Dia cemburu kerana dulu saya selalu ceritakan tentang diri awak kepada dia. Dia takut saya akan berubah hati dan menerima awak. Saya buntu. Saya terlalu menyayangi dia. Malah saya akan balik ke kampung esok untuk bersua dengan dia dan menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Saya sanggup kehilangan kawan, tetapi saya tak sanggup kehilangan dia Jemmy. Maafkan saya. Mungkin sudah takdir persabahaban kita hanya sampai di sini. Maafkan saya sekali lagi.
Wassalam.’

Begitu sukar untuk aku menelan air liur seperti ada seketul batu sebesar penumbuk menyekat salur esofagusku sebaik sahaja selesai membaca email dari SZ. Memang sudah ditakdirkan bahawa aku bukan jodohnya malah persahabatan kami pun sudah berakhir. Tak mengapalah, aku redha dengan ini semua.

Walau macam mana pahit sekalipun untuk ditelan, aku terima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Malah tidak ada perasaan dendam walaupun sekelumit. Cuma sekadar sekeping hati yang terguris luka kerana terlerainya sebuah janji ikatan persahabatan yang telah terpatri dulu kononnya takkan relai walau apa jua cabaran mendatang.

Namun segalanya telah terjadi. Gugurnya sebuah ikatan persahabatan. Aku pun membalas email dia dengan hanya menulis,
"Terima kasih untuk segalanya dan untuk persahabatan yang telah terjalin selama ini. Maafkan saya dan halalkanlah makan minum saya selama perkenalan kita."

Maka berakhirlah kisah cinta syok sendiriku dan terlerailah jua sebuah ikatan persahabatan.


...Terlerailah sudah...

0 comments:

Post a Comment

Followers